SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Trafik kapal Selat Hormuz rendah, Trump tuduh Iran gagal urus laluan minyak

Trafik kapal Selat Hormuz rendah, Trump tuduh Iran gagal urus laluan minyak

Apr 10, 2026 | 3:25 PM

Trafik kapal Selat Hormuz rendah, Trump tuduh Iran gagal urus laluan minyak

selat hormuz
Seorang wanita berjalan melewati mural anti-Amerika Syarikat dan anti-Israel di Teheran pada 8 April. Amerika Syarikat dan Iran bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama dua minggu hanya kira-kira sejam sebelum tarikh akhir yang ditetapkan Presiden Donald Trump untuk melancarkan serangan besar, sekali gus mencetuskan kelegaan global. - Foto AFP

TEHERAN: Laluan strategik Selat Hormuz terus mencatat pergerakan kapal yang minimum walaupun gencatan senjata antara Amerika Syarikat dengan Iran masih berkuat kuasa, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap keberkesanan perjanjian tersebut.

Data penjejakan oleh MarineTraffic pada 10 April menunjukkan hanya beberapa kapal melalui laluan yang mengendalikan kira-kira satu perlima perdagangan minyak dunia itu sejak gencatan senjata diumumkan.

Iran dan Amerika menyatakan bahawa selat sepanjang 167 kilometer (km) antara Teluk dengan Lautan Hindi itu akan dibuka semula selepas gencatan senjata dua minggu diumumkan pada 7 April.

Keadaan ini mencerminkan gangguan berterusan terhadap aliran tenaga global, dengan hanya sekitar 10 kapal dilaporkan melintasi selat tersebut setakat ini.

Situasi itu menimbulkan persoalan terhadap kestabilan gencatan senjata dua minggu antara Washington dengan Teheran, yang kini dilihat semakin rapuh menjelang rundingan penting di Pakistan.

Amerika menuduh Iran gagal mematuhi komitmen berkaitan pembukaan laluan itu, manakala Teheran pula menyalahkan serangan Israel di Lebanon sebagai punca sekatan masih dikekalkan.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, secara terbuka mengkritik tindakan Iran, menyifatkan pengurusan laluan tersebut sebagai tidak memuaskan.

“Iran sedang melakukan kerja yang sangat buruk dalam membenarkan minyak melalui Selat Hormuz. Itu bukan perjanjian kita!” katanya dalam hantaran di platform Truth Social.

Beliau turut memberi amaran terhadap cadangan Iran untuk mengenakan bayaran kepada kapal yang melalui laluan tersebut.

“Terdapat laporan bahawa Iran mengenakan bayaran kepada kapal tangki. Mereka tidak sepatutnya berbuat demikian, dan jika benar, mereka perlu berhenti sekarang,” katanya.

Dalam satu lagi kenyataan, Encik Trump berkata aliran minyak akan kembali normal dalam masa terdekat.

“Tidak lama lagi anda akan melihat minyak kembali mengalir, dengan atau tanpa bantuan Iran,” katanya.

Ketegangan semakin meningkat apabila Iran mencadangkan sistem tol ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz, sebagai usaha membiayai pembinaan semula negara selepas serangan oleh Amerika dan Israel.

Cadangan itu dijangka menjadi isu utama dalam rundingan antara kedua-dua pihak di Pakistan.

Pada masa sama, Kesatuan Eropah mengecam cadangan tersebut, manakala laporan media menyebut syarikat perkapalan mungkin perlu membayar sehingga AS$2 juta ($2.55 juta) bagi setiap kapal.

Walaupun Iran bersetuju membuka semula selat itu secara sementara semasa tempoh gencatan senjata, kawalan ketat terhadap laluan masih dikekalkan.

Pakar insurans maritim menyatakan proses kelulusan Iran untuk transit melalui selat itu masih berkuat kuasa, dengan beberapa kapal berdepan kelewatan dan syarat yang tidak jelas.

Sumber diplomatik Iran pula menjelaskan bahawa mekanisme baharu sedang dibangunkan bersama Oman bagi mengurus laluan tersebut.

Selat Hormuz merupakan laluan kritikal menjadi nadi utama perdagangan tenaga dunia.

Sebarang gangguan di laluan ini boleh memberi kesan besar kepada harga minyak global serta kestabilan ekonomi antarabangsa. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg