Topik diikuti
Pergi ke BHkuTragedi banjir Nepal: 2 lelaki ditahan curi subang emas mayat wanita
KATHMANDU: Sanggup mencuri barang kemas daripada mayat mangsa banjir. Itu tindakan tidak berperikemanusiaan dua lelaki di Nepal yang ditahan selepas didakwa menanggalkan subang emas daripada mayat seorang wanita yang dihanyutkan arus deras.
Memetik laporan NDTV India, kedua-dua lelaki berkenaan ditahan selepas rakaman video perbuatan mereka tular di media sosial ketika operasi bantuan dan menyelamat masih giat dijalankan susulan banjir besar di kawasan sempadan Nepal-China.
Dalam rakaman itu, dua lelaki terbabit dilihat menggunakan papan kayu dan rambut wanita berkenaan untuk menarik mayatnya keluar dari Sungai Narayani.
Mereka kemudian menanggalkan subang emas daripada kedua-dua belah telinga mayat wanita terbabit sebelum meletakkannya di tepi.
Beberapa individu yang berada berhampiran turut merakam keseluruhan kejadian itu yang kemudiannya menjadi bahan siasatan polis.
Hasil siasatan polis Chitwan mengesahkan mayat berkenaan milik seorang wanita yang dihanyutkan banjir besar sehingga sampai ke Sungai Narayani.
Berdasarkan rakaman video itu, polis mengenal pasti kedua-dua suspek sebagai Madan Gurung, 25 tahun, dan Umesh Chaudhary, 38 tahun.
Menurut portal media Nepal, Khabarhub, kedua-duanya ditahan pada 27 Ogos berhampiran Bus Park Pokhara di bandar metropolitan Bharatpur-1.
Polis menegaskan bahawa sebarang perbuatan merompak atau tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap mangsa ketika bencana tidak akan dibiarkan tanpa tindakan.
Kejadian itu berlaku ketika Nepal berdepan antara tragedi banjir dan tanah runtuh terburuk dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Pasukan penyelamat kini giat mencari lebih 3,000 orang yang dilaporkan hilang di bawah timbunan lumpur dan runtuhan.
Banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan sempadan Nepal-Tibet setakat ini meragut sekurang-kurangnya 669 nyawa manakala beberapa kampung musnah dihanyutkan air.
Menurut CCTV, lumpur dianggarkan setebal 1.5 meter terkumpul di kawasan sekitar manakala semua jalan menuju ke pos sempadan mengalami kerosakan.
Hujan yang berterusan turut meningkatkan risiko tanah runtuh dan mendapan tanah di kawasan berkenaan.
