SYDNEY: Sambutan Krismas kelihatan suram di Pantai Bondi yang terkenal di Sydney, Australia, pada 25 Disember susulan serangan keganasan yang mengorbankan 15 orang di sana lebih seminggu yang lalu.
Hingga ke detik ini, penduduk Australia sulit melupakan kejadian tembakan pada skala besar yang paling dahsyat dalam tempoh hampir tiga dekad.
Polis membuat rondaan di seluruh kawasan Pantai Bondi, sebuah destinasi tradisi setiap Krismas, sementara beratus-ratus orang yang memakai topi Santa berkumpul di kawasan pasiran pantai.
“Saya rasa ia kejadian yang tragis, dan saya rasa semua orang menghormati dan sangat sedih atas apa yang berlaku. Dan saya rasa orang ramai berada di pantai ini kerana ia umpama satu perayaan, tetapi semua orang menyimpannya dalam ingatan mereka dan semua orang menghormati kejadian yang berlaku,” kata pelancong British, Encik Mark Conroy, kepada agensi berita Reuters.
“Semua orang turut bersimpati dengan keluarga dan rakan-rakan yang sedang melalui peristiwa paling buruk yang dapat anda bayangkan,” tambahnya lagi.
Serangan senjata api pada 14 Disember dalam satu sambutan keagamaan masyarakat Yahudi, Hanukkah, telah mencetus gesaan agar undang-undang senjata api yang lebih ketat dan tindakan yang lebih tegas diambil terhadap sentimen anti-Yahudi, manakala peraturan perhimpunan awam di Sydney telah diperketatkan di bawah undang-undang baharu yang diluluskan pada 24 Disember.
Pengunjung pantai dilihat mengambil gambar di sebelah pokok Krismas, manakala sesetengahnya bergambar dengan penyelamat pantai, walaupun keadaan cuaca berangin nampaknya menyebabkan jumlah orang ramai berkurangan dari masa ke masa.
“Ini bukanlah keadaan terbaik untuk Krismas hari ini, ombak agak bergelora... jadi tidak begitu ideal, tetapi orang ramai masih berada di sini,” kata Kapten Peronda Penyelamat Pantai Surf, Encik Thomas Hough.
Bendera dikibarkan separuh tiang di luar bangunan Bondi Pavilion yang diwartakan sebagai warisan berhampiran lokasi serangan itu, yang menurut polis didakwa dilakukan oleh seorang bapa dan anak lelakinya, atas inspirasi kumpulan militan ISIS.
Di Melbourne, sebuah kereta dengan tanda “Happy Chanukah!” (Hanukkah) telah dibakar pada Krismas di bahagian tenggara bandar itu. Tiada kecederaan dilaporkan, jelas media Australia.
Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, yang berdepan kritikan semakin memuncak daripada pihak pembangkang yang mendakwa kerajaannya tidak melakukan secukupnya untuk membendung peningkatan anti-Semitisme, menyifatkan kejadian membakar kereta itu sebagai “sukar diterima akal”.
“Apakah jenis ideologi dan pemikiran jahat pada masa ini yang boleh mendorong seseorang (untuk lakukan pengganasan)?” kata Encik Albanese kepada wartawan pada 25 Disember.
Sejak bermulanya perang Israel di Gaza pada Oktober 2023, terdapat serangan terhadap saumaah, rumah ibadah milik kaum Yahudi dan kereta di Australia. - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg