SEOUL: Pihak berkuasa Korea Selatan mengumumkan pada 6 Februari bahawa semua lapangan terbang di negara itu akan diarahkan untuk memasang kamera pengesan burung dan radar selepas nahas pesawat Jeju Air yang mengorbankan 179 nyawa.
Tragedi ini berlaku pada 29 Disember apabila pesawat Boeing 737-800 yang dalam penerbangan dari Thailand ke Muan, Korea Selatan, terhempas ketika mendarat di Lapangan Terbang Muan. Pesawat itu membawa 181 penumpang dan anak kapal sebelum meletup selepas melanggar penghadang konkrit.
Ia merupakan bencana penerbangan paling buruk dalam sejarah Korea Selatan.
Menurut laporan awal, juruterbang telah memberi amaran mengenai kehadiran burung sebelum membatalkan percubaan pendaratan pertama. Ketika cubaan kedua, roda pendaratan gagal berfungsi, menyebabkan pesawat terhempas.
Sebagai tindak balas kepada insiden ini, Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan mengumumkan langkah keselamatan baharu termasuk pemeriksaan khas ke atas semua lapangan terbang serta kajian terhadap kemudahan yang menarik burung berhampiran kawasan penerbangan.
“Semua lapangan terbang akan dilengkapi sekurang-kurangnya satu kamera pengimejan haba,” menurut kenyataan kementerian. Pelaksanaan pemasangan dijangka bermula pada tahun 2026.
Selain itu, peranti ultrasonik bergerak akan diperkenalkan untuk menghalau burung bersaiz sederhana dan besar dari kawasan lapangan terbang.
“Radar pengesan burung juga akan dipasang di semua lapangan terbang bagi meningkatkan keupayaan pengesanan awal serta memperbaiki tindak balas terhadap ancaman burung kepada pesawat,” tambah kementerian itu.
Radar ini akan dapat mengesan saiz burung serta laluan pergerakannya. Maklumat tersebut akan disampaikan kepada pengawal trafik udara, yang seterusnya akan memberi amaran kepada juruterbang.
Selain pemasangan radar, pemerintah juga berusaha untuk “menetapkan dasar perundangan” bagi memindahkan kemudahan yang berpotensi menarik burung seperti pusat rawatan sisa makanan dan ladang buah-buahan, jauh dari kawasan lapangan terbang.
“Keselamatan penerbangan adalah keutamaan tertinggi. Kita perlu memperkenalkan langkah pembaharuan menyeluruh untuk mengelakkan tragedi ini daripada berulang,” kata Timbalan Menteri Penerbangan Awam, Encik Joo Jong-wan.
Siasatan ke atas punca nahas masih diteruskan oleh penyiasat dari Korea Selatan dan Amerika Syarikat. Media tempatan melaporkan bahawa bulu burung ditemui di kedua-dua enjin pesawat, menjadikan serangan burung salah satu faktor yang sedang diteliti.
Keadaan menjadi lebih rumit apabila Kementerian Pengangkutan mengesahkan bahawa kotak hitam pesawat, yang merekodkan data penerbangan dan rakaman suara kokpit, berhenti berfungsi empat minit sebelum kemalangan berlaku.
“Kami akan memastikan semua aspek disiasat dengan teliti dan mengambil tindakan yang perlu untuk meningkatkan keselamatan penerbangan di negara ini,” tegas Encik Jong-wan. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg