CHUKAI (Terengganu): Operasi mencari dan menyelamat (SAR) empat lagi mangsa tragedi fenomena kepala air di Jeram Air Putih di sini masih diteruskan pada Selasa.
Hampir 170 petugas daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Pasukan Gerakan Am serta penduduk kampung menyertai operasi pencarian berkenaan.
Petang Isnin, polis mengesahkan enam mayat tragedi itu ditemui, bukan sembilan seperti yang dimaklumkan sebelum itu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan, berkata kekeliruan timbul kerana masalah komunikasi berikutan tempat operasi jauh di dalam hutan.
Mangsa tragedi itu ialah sembilan beranak iaitu bapa, Karim Abdullah, 39 tahun; ibu Azizah Eiyi, 40 tahun; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18 tahun; Putri Alleya Maisarah Karim, 16 tahun; Putri Nor Fatin Karim, 14 tahun; Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11 tahun; Putri Nurerina Natasya Karim, 10 tahun; Muhammad Haziq Ziqree Karim, enam tahun; dan Putri Aryana Umaira Karim, empat tahun.
Seorang lagi mangsa ialah tunang kepada Putri Balqis Izzati, iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24 tahun, yang berasal dari Batu Pahat, Johor.
Empat mangsa yang ditemui Isnin ialah Muhammad Haziq Ziqree Karim, yang ditemui terapung oleh pasukan pencarian sekitar 11.05 pagi sebelum menemui tiga lagi mangsa iaitu Putri Aryana Umaira Karim, Putri Nurerina Natasya Karim dan bapa mereka, Karim Abdullah.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, sebelum ini menyatakan bahawa pihaknya percaya Karim yang bekerja sebagai pemandu jengkaut di Hutan Air Putih di sini, mahir dengan laluan di lokasi sehingga mampu masuk ke kawasan itu menggunakan kenderaan yang kurang sesuai.
“Bagaimanapun, mereka mungkin tidak menyedari keadaan kepala air yang datang dengan deras secara tiba-tiba. Kalau tengok keadaan di lokasi tadi, paras air dipercayai meningkat sebanyak lima hingga 10 meter sekali gus, tidak sempat untuk melarikan diri ketika sedang mandi di situ,” tambahnya. – BHM.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg