Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Transformasi BH untuk kukuh hubungan dengan masyarakat, relevan dan penuhi selera pembaca

UCAPAN EDITOR
Nov 8, 2025 | 12:51 PM
Editor Berita Harian, Encik Nazry Mokhtar, menyatakan kekuatan Berita Harian bukan sahaja terletak pada berita yang dilaporkan tetapi juga hubungan yang dibina dengan masyarakat.
Editor Berita Harian, Encik Nazry Mokhtar, menyatakan kekuatan Berita Harian bukan sahaja terletak pada berita yang dilaporkan tetapi juga hubungan yang dibina dengan masyarakat. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Berikut ucapan penuh Editor Berita Harian / Berita Minggu, Encik Nazry Mokhtar, di upacara penyampaian Anugerah Jauhari 2025 di Hotel Four Seasons Singapore pada 7 November.

Cincin di jari lambang cinta sejati,

Seri mempelai menawan hati,

Sembah salam hadirin dihormati,

Moga ceria, sentiasa dirahmati.

Tahun ini, kita raikan ulang tahun ke-27 Anugerah Jauhari, dan saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada anda semua terutama para pembaca, pengiklan, rakan korporat, dan panel hakim, termasuk penyampai utama baru kami, OCBC, dan penaja lain – MES Group, Persatuan Bank Singapura (ABS), Call Lade Enterprises dan Nets. Terima kasih atas sokongan anda.

Mengukuhkan hubungan dengan masyarakat khususnya pembaca adalah keutamaan baru Berita Harian di bawah transformasi yang kami jalankan sejak lebih dua tahun lalu.

Kami percaya kekuatan BH bukan sekadar terletak pada berita yang kami laporkan, tetapi juga pada hubungan yang kami bina dengan masyarakat.

Sebagai akhbar bahasa Melayu nasional, kami mahu memahami aspirasi, cabaran dan impian masyarakat dengan lebih mendalam agar setiap laporan kami benar-benar mencerminkan suara masyarakat Melayu/Islam Singapura.

Kami ingin menjadi bukan sahaja sumber maklumat tetapi juga rakan dialog – tempat di mana suara masyarakat boleh didengari, dihargai dan diperkasa dalam usaha kita membina masyarakat yang inklusif, bersepadu dan berjaya.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru pertubuhan masyarakat, badan korporat dan rakan strategik – marilah kita bekerjasama dengan lebih rapat demi kepentingan masyarakat dan negara.

BH akan membuka pintu kolaborasi seluas-luasnya baik dalam bentuk fizikal mahupun di alam maya.

Kami percaya apabila media, rakan kongsi dan anggota masyarakat berganding bahu kita mampu membawa perubahan lebih besar dan bermakna.

Dua tahun yang lalu, Berita Harian memulakan perjalanan transformasi yang komprehensif.

Ini merupakan langkah strategik yang direka untuk mencipta semula diri kami dan meluaskan jangkauan kami dalam kalangan pembaca dan khalayak ramai.

Kami lakukan pelbagai pendekatan. Kami menstruktur semula fokus editorial kami dan memperkenalkan tonggak kandungan baru seperti Kaki Makan, Kaki Jalan dan Dunia Anak DNA.

Kami kini mempunyai pasukan media sosial yang berdedikasi untuk menyegarkan dan mengembangkan kandungan digital kami.

Ini telah membolehkan kami melangkaui penyampaian berita tradisional seperti media cetak kepada platform digital yang menarik seperti video dan podcast.

Kami memperkenalkan Podcast #NoTapis BHerbual yang mengupas isu dan dasar secara mendalam, menawarkan perbincangan yang bernuansa dan analisis pakar.

Menyedari minat yang kuat terhadap sukan, terutamanya bola sepak, kami memperkenalkan Kaki Bola yang menyediakan ulasan yang meriah, analisis mendalam dan temu bual eksklusif dengan pemain bola sepak tempatan.

Platform khalayak muda kami, OMGxBH, menghubungkan generasi muda melalui kandungan yang menarik dan relevan sesuai dengan suara hati mereka.

Untuk meningkatkan aksesibiliti, kami juga telah memanfaatkan kuasa teknologi pada platform digital kami.

Saya dengan sukacitanya berkongsi bahawa laman web dan aplikasi kami kini merangkumi ciri-ciri kecerdasan buatan (AI) yang direka untuk khalayak moden yang boleh melakukan pelbagai tugas.

Ciri-ciri ini termasuk: alat terjemahan daripada bahasa Melayu ke bahasa Inggeris, ringkasan berita dan ciri teks-ke-pertuturan yang membolehkan anda mendengar teks kami dalam audio – ciri yang sempurna bagi mereka yang lebih suka membaca berita ketika dalam perjalanan.

Melalui inisiatif ini, kami memastikan Berita Harian bukan sekadar akhbar, tetapi sebuah organisasi pelbagai media yang komprehensif.

Saya dengan sukacitanya melaporkan bahawa transformasi ini telah membuahkan hasil yang baik.

Dalam tinjauan persepsi GfK oleh SPH baru-baru ini, Berita Harian menduduki tempat pertama dalam kepercayaan dan kepuasan daripada khalayak sasarannya – mendahului semua tajuk berita tempatan.

Transformasi BH juga telah mendapat pujian antarabangsa.

BH telah menduduki tempat ketiga bagi Transformasi Bilik Berita Terbaik di majlis Anugerah Media Global INMA yang berprestij tahun ini.

Dan dua hari lalu, wartawan grafik eksekutif BH, Samad Afandie, membawa pulang satu lagi anugerah antarabangsa – anugerah perak WAN-IFRA untuk infografik terbaik.

Di luar bilik berita, misi kami lebih besar daripada sekadar kitaran berita.

Kami memahami tanggungjawab sosial korporat kami terhadap masyarakat.

Tahun ini sebagai sebahagian daripada sambutan SG60, kami menganjurkan golf amal sulung kami bersama AMP.

Acara Golf Amal BH-AMP berjaya mengumpul lebih daripada $271,000 untuk tujuan amal.

Dana yang dikumpul akan digunakan untuk menyokong program AMP dan Persatuan Kanak-Kanak Singapura untuk meningkatkan kehidupan mereka yang kurang bernasib baik.

BH juga akan mengagihkan sebahagian daripada dana itu sebagai dermasiswa kepada pelajar yang mengikuti pengajian media, komunikasi atau bahasa Melayu di politeknik dan universiti tempatan.

Butiran dermasiswa akan diumumkan kemudian.

Akhir sekali, saya ada satu lagi berita baik untuk dikongsikan dengan anda. Sebagai sebahagian daripada transformasi kami, BH merancang untuk mengubah suai format akhbar fizikal kami – daripada lembaran lebar kepada saiz kompak.

Kami merancang untuk melancarkan format baru ini pada suku pertama tahun depan.

Beginilah rupa akhbar baru ini.

Kami telah membangunkan produk baru ini berdasarkan maklum balas daripada pembaca tentang bagaimana media sepatutnya lebih relevan kepada pembaca. Ini dilakukan melalui tinjauan dan perbincangan kumpulan fokus dengan pembaca dan pihak berkepentingan.

Dengan menjadi kompak, BH berharap bukan saja dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada kumpulan pembaca cetak kami sekarang tetapi juga memupuk pembaca baru terutamanya generasi muda.

Edisi kompak yang diubah suai ini direka bentuk untuk menjadi produk premium. Ia akan mempunyai kandungan yang dipertingkatkan, lebih banyak analisis berita, senarai berita, ringkasan berita dan akses yang lebih mudah kepada kandungan digital BH melalui kod QR.

Kesemua ini akan membolehkan pembaca menikmati pengalaman membaca yang lancar daripada cetak kepada digital.

Saya ingin memberi jaminan kepada anda bahawa perubahan ini bukan sekadar soal saiz atau reka bentuk.

Akhbar ini mungkin bersaiz kecil tetapi misi kami tetap besar. Ia adalah sebahagian daripada perjalanan transformasi BH untuk menyegarkan dan memodenkan produknya agar kekal relevan sesuai dengan selera pembaca berita hari ini.

Lebih penting lagi, ia tidak akan mengubah komitmen BH untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Teras dan nilai BH kekal sama – untuk menjadi media yang dipercayai dan kredibel dengan menyampaikan berita dan kandungan yang tepat, mendalam dan seimbang.

Transformasi Berita Harian tidak mungkin berlaku tanpa kepimpinan, visi dan dedikasi mantan-mantan editornya yang memimpin BH pada pelbagai peringkat perjalanannya.

Mereka adalah Encik Saat Abdul Rahman, Allahyarham Encik Guntor Sadali, semoga Allah memberkati rohnya, Encik Zainul Abidin Rasheed dan Encik Yatiman Yusof.

Mereka telah membantu meletakkan asas untuk transformasi BH dan membimbing BH melalui pelbagai bab perubahan, sentiasa dengan tujuan yang jelas - untuk berkhidmat kepada masyarakat kita dengan kejujuran, ketekunan dan sepenuh hati.

Encik Saat, Encik Zainul dan Encik Yatiman berada di sini bersama kita malam ini. Sila sertai saya memberi mereka tepukan gemuruh.

Saya perlu berterima kasih kepada ramai pihak atas perjalanan transformasi kami. Saya bernasib baik kerana bos-bos yang sangat baik – menyokong, memahami dan memberi galakan.

Saya juga ingin memberi penghormatan kepada pasukan saya di BH. Mereka seperti keluarga saya sendiri. Merekalah pemacu di sebalik transformasi kami.

Bagaimanapun, adalah ideal jika mereka berhenti meminta saya berlakon dalam video BH.

Selepas ini, anda akan melihat saya memainkan peranan lain dalam video BH. Tetapi sila abaikan lakonan agak kaku dan sebaliknya fokus pada penerbitan video.

Ini adalah keupayaan baru BH – penerbitan video – dan saya percaya kami mempunyai salah satu pasukan video terbaik di pasaran.

Mereka boleh menjadikan apa sahaja kelihatan baik – termasuk saya.

Jadi, jika anda seorang pengiklan atau sebuah agensi, anda mungkin perlu mengambil perhatian terhadap video ini. Saya harap anda menikmati video ini dan terima kasih kerana mendengar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg