WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menggesa Cuba supaya “membuat perjanjian” dalam masa terdekat sambil mengancam akan menghentikan sepenuhnya aliran minyak dan kewangan ke negara pulau itu, susulan kejatuhan sekutu utamanya, pemimpin Venezuela Encik Nicolas Maduro.
Dalam satu hantaran tegas di platform Truth Social Encik Trump berkata Amerika Syarikat tidak lagi akan membenarkan sebarang sokongan ekonomi atau tenaga disalurkan kepada Cuba, yang ditadbir pemerintah komunis sejak lebih enam dekad lalu.
“TIADA LAGI MINYAK ATAU WANG AKAN MENGALIR KE CUBA – KOSONG!” tulis Encik Trump. “Saya amat mencadangkan mereka membuat perjanjian, SEBELUM TERLAMBAT.”
Namun, Encik Trump tidak menjelaskan bentuk perjanjian yang dimaksudkan atau apa yang bakal diperoleh Cuba sekiranya bersetuju dengan desakan tersebut.
Ancaman itu mencetuskan reaksi keras Havana. Presiden Cuba Encik Miguel Diaz-Canel menegaskan negaranya tidak akan tunduk kepada tekanan luar.
“Cuba ialah sebuah negara yang bebas, merdeka dan berdaulat. Tiada siapa berhak mengarah kami,” tulis Encik Diaz-Canel di platform X. Beliau turut menyatakan rakyat Cuba “bersedia mempertahankan tanah air hingga titisan darah terakhir”.
Tekanan terbaru ini berlaku ketika Washington meningkatkan langkah agresif terhadap sekutu-sekutu Caracas dan Havana.
Pada 3 Januari lalu, pasukan khas Amerika Syarikat menahan Encik Maduro dan isteri dalam satu operasi kilat di Caracas, yang mengorbankan puluhan anggota keselamatan Venezuela dan Cuba.
Encik Trump mendakwa kebanyakan anggota keselamatan Cuba yang berkhidmat di Venezuela terbunuh dalam operasi tersebut. Beliau juga menegaskan bahawa Amerika Syarikat kini menguasai Venezuela secara de facto melalui sekatan laut terhadap sektor minyak negara itu.
“Cuba hidup selama bertahun-tahun dengan minyak dan wang Venezuela,” kata Encik Trump. “Sebagai balasan, Cuba menyediakan ‘perkhidmatan keselamatan’ kepada dua diktator Venezuela sebelum ini, tetapi tidak lagi.”
Encik Trump sebelum ini turut mendakwa krisis ekonomi Cuba semakin meruncing dan Havana sukar bertahan tanpa bekalan minyak bersubsidi dari Venezuela. Dalam satu kenyataan sebelum ini, beliau menyebut bahawa “Cuba hampir tumbang”.
Menambah provokasi, Encik Trump turut berkongsi semula satu hantaran media sosial pada 11 Januari yang secara berseloroh mencadangkan Setiausaha Negara Ameriika, Encik Marco Rubio, yang merupakan anak kepada pendatang Cuba, boleh menjadi presiden Cuba. Encik Trump menambah komen ringkas: “Kedengaran bagus bagi saya!”
Menteri Luar Cuba, Encik Bruno Rodriguez menegaskan bahawa undang-undang dan keadilan berpihak kepada Havana.
“Amerika Syarikat bertindak seperti hegemoni jenayah yang tidak terkawal, yang mengancam keamanan dan keselamatan bukan sahaja Cuba dan hemisfera ini, tetapi seluruh dunia,” kata Encik Rodriguez di X.
Beliau menegaskan Cuba berhak mengimport bahan api daripada mana-mana negara tanpa “campur tangan atau penundukan kepada langkah paksaan unilateral Amerika Syarikat”.
Sejak 1962, Cuba berdepan embargo perdagangan Amerika Syarikat yang bermula era Perang Dingin. Sejak tahun 2000, Havana semakin bergantung kepada minyak Venezuela hasil perjanjian tenaga yang dimeterai ketika era Hugo Chavez.
Di Havana, reaksi rakyat bercampur-campur. Pesara berusia 65 tahun, Encik Mercedes Simon, meremehkan kenyataan Trump. “Trump tidak akan menyentuh Cuba,” katanya kepada AFP.
“Semua presiden Amerika bercakap, bercakap, bercakap tentang Cuba selama berdekad-dekad, tetapi akhirnya mereka tidak bertindak.”
Seorang pekerja restoran berusia 21 tahun, Encik Marcos Sanchez, berkata kedua-dua negara sepatutnya mencari titik persamaan. “Kami perlukan dialog, bukan keganasan,” katanya.
Retorik keras Encik Trump terhadap Cuba turut disambut oleh beberapa ahli politik Republikan. Ahli Kongres dari Florida, Encik Mario Diaz-Balart, memuji pendirian presiden itu.
“Kezaliman di Cuba tidak akan bertahan dalam penggal kedua Presiden Trump,” tulisnya dalam bahasa Sepanyol di X.
“Cuba akhirnya akan bebas selepas puluhan tahun penderitaan dan tragedi.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg