Trump ancam tarif lebih tinggi jika eksploit keputusan Mahkamah Agung

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump ancam tarif lebih tinggi jika eksploit keputusan Mahkamah Agung

Sifatkan keputusan mahkamah Presiden tiada kuasa kenakan tarif menyeluruh sebagai ‘memalukan’
Feb 24, 2026 | 10:34 AM

Trump ancam tarif lebih tinggi jika eksploit keputusan Mahkamah Agung

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
donald trump, keluarga angel
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump (tengah), menandatangani satu deklarasi semasa upacara ‘Majlis Peringatan Keluarga Angel’ di Rumah Putih, Washington D.C. pada 23 Februari. Upacara itu merangkumi penandatanganan deklarasi yang menetapkan 22 Februari sebagai ‘Hari Keluarga Angel’. Keluarga Angel merujuk kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang akibat keganasan dilakukan pendatang tanpa dokumen. - Foto EPA

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengeluarkan amaran bahawa mana-mana negara yang cuba mengambil kesempatan susulan keputusan Mahkamah Agung menyekat sebahagian besar tarif sejagatnya akan berdepan levi yang jauh lebih tinggi.

Dalam kenyataan di platform Truth Social, Encik Trump memberi peringatan keras kepada rakan dagang Washington supaya tidak menarik balik komitmen selepas keputusan mahkamah tersebut.

“Mana-mana negara yang mahu ‘bermain permainan’ dengan keputusan Mahkamah Agung ini, terutama yang telah merugikan Amerika Syarikat selama bertahun-tahun, akan berdepan tarif jauh lebih tinggi daripada yang dipersetujui sebelum ini,” katanya.

Mahkamah Agung pada 20 Februari lalu memutuskan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa 1977, tidak memberi kuasa kepada presiden untuk mengenakan tarif menyeluruh terhadap puluhan negara.

Tarif tersebut merupakan cukai import yang dibayar syarikat bagi barangan yang dibawa masuk ke Amerika.

Encik Trump menyifatkan keputusan itu sebagai memalukan, sambil berkata beliau mempunyai pelan sandaran dan berjanji akan mengekalkan semua tarif berkaitan keselamatan negara.

Beliau juga berkata pada 23 Februari bahawa Mahkamah Agung secara ‘tidak sengaja’ memberinya lebih banyak kuasa berhubung tarif berbanding sebelum keputusan itu dibuat.

Dalam laporan berasingan mengenai perkara yang sama, agensi kumpulan media, Sputnik/RIA Novosti, turut memetik Encik Trump sebagai berkata beliau tidak perlu merujuk semula kepada Kongres Amerika untuk mendapatkan kelulusan bagi mengenakan tarif import.

“Sebagai Presiden, saya tidak perlu kembali kepada Kongres untuk mendapatkan kelulusan tarif,” katanya di Truth Social.

Menurutnya, kebenaran itu telah diperoleh dalam pelbagai bentuk sejak sekian lama.

Keputusan tersebut segera mencetuskan ketidaktentuan dalam kalangan rakan dagang Amerika.

Kesatuan Eropah mengumumkan menggantung pengesahan perjanjian yang dimeterai sebelum ini, manakala India menangguhkan rundingan untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan baharu.

Pentadbiran Encik Trump bagaimanapun bertindak pantas dengan memperkenalkan tarif sejagat baharu sebanyak 10 peratus menggunakan peruntukan undang undang lain sebelum menaikkannya kepada 15 peratus.

Tarif itu dijadual berkuat kuasa pada 24 Februari, dengan beberapa pengecualian terhadap produk tertentu.

Rumah Putih menegaskan pendekatan dasar perdagangan tidak berubah walaupun asas perundangan berbeza.

Wakil Perdagangan Amerika, Encik Jamieson Greer, berkata pemerintah hanya menukar mekanisme pelaksanaan.

“Kami telah mencari jalan untuk menyusun semula apa yang kami lakukan.

“Alat perundangan mungkin berubah tetapi dasar tidak berubah,” kata Encik Greer, dalam wawancara bersama ABC News.

Dalam wawancara berasingan bersama CBS News, beliau menambah Amerika akan terus berpegang kepada perjanjian sedia ada.

“Kami menjangkakan rakan dagang kami juga mematuhi komitmen mereka,” katanya.

Beberapa negara bagaimanapun menyuarakan kebimbangan terhadap ketidaktentuan tersebut.

Setiausaha Perniagaan dan Perdagangan Britain, Encik Peter Kyle, berkata kerajaan sedang mendapatkan penjelasan daripada Washington.

“Saya mengakui pengumuman terkini Amerika mewujudkan ketidaktentuan. Semua pilihan sedang dipertimbangkan untuk melindungi perniagaan dan orang awam,” katanya.

Di Eropah, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa Parlimen Eropah, Encik Bernd Lange, berkata pihaknya menangguhkan kelulusan perjanjian sementara menunggu kepastian.

“Keadaan kini lebih tidak menentu berbanding sebelumnya,” katanya.

Encik Trump turut menggunakan Seksyen 122, undang-undang yang jarang digunakan, bagi membolehkan tarif dilaksanakan selama 150 hari tanpa kelulusan Kongres.

Selain itu, beliau mengarahkan siasatan di bawah Seksyen 301 untuk menangani amalan perdagangan yang dianggap tidak adil.

Tarif khusus terhadap keluli, aluminium dan kenderaan yang diumumkan sebelum ini kekal tidak terjejas oleh keputusan mahkamah.

Ketua Minoriti Demokrat Senat, Encik Chuck Schumer, berkata partinya akan menyekat usaha melanjutkan tarif tersebut selepas tempoh 150 hari.

“Demokrat tidak akan menyokong kemusnahan ekonomi yang diteruskan oleh Trump,” katanya.

Pasaran kewangan Amerika turut terkesan apabila indeks S&P 500 susut kira kira 1 peratus pada 23 Februari, dipengaruhi kebimbangan terhadap ketidaktentuan perdagangan sejagat.– Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg