WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mencetuskan kejutan global pada 30 Oktiber selepas mengumumkan arahan kepada tentera Amerika untuk menyambung semula ujian nuklear, menandakan kemungkinan kembalinya dunia ke era paling tegang zaman Perang Dingin.
Pengumuman mengejut itu, dibuat ketika Encik Trump dalam penerbangan pulang dari Korea, segera mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pakar keselamatan antarabangsa yang menyifatkannya sebagai langkah berisiko tinggi yang boleh menghidupkan semula perlumbaan senjata nuklear global.
“Selama bertahun-tahun kita menghentikan ujian ini, tetapi dengan negara lain kini melakukannya, saya rasa sudah tiba masanya kita juga berbuat demikian,” kata Encik Trump kepada wartawan di pesawat Air Force One.
Namun kenyataan itu tidak bertepatan dengan fakta. Hakikatnya, tiada negara besar lain termasuk Russia dan China menjalankan ujian nuklear sebenar sejak berdekad lamanya. Satu-satunya negara yang melakukannya dalam 25 tahun kebelakangan ialah Korea Utara, dengan ujian terakhirnya pada September 2017.
Russia tidak pernah melakukan ujian sejak 1989, manakala China menghentikannya sejak 1996. Tetapi Encik Trump dipercayai keliru antara ujian senjata nuklear sebenar dengan ujian sistem penghantaran senjata, seperti peluru berpandu jelajah bertenaga nuklear dan torpedo Poseidon milik Russia yang direka untuk mengelak sistem pertahanan Amerika.
Langkah ini dilihat bertentangan dengan semangat Perjanjian Larangan Ujian Nuklear Komprehensif (CTBT) yang ditandatangani pada pertengahan 1990-an, bertujuan menghentikan ujian nuklear bagi mengekang perlumbaan senjata. Walaupun belum berkuat kuasa penuh kerana tidak semua negara meratifikasinya, Amerika Syarikat selama ini mematuhi semangat perjanjian tersebut.
Kini, keputusan Encik Trump dilihat menghidupkan semula perdebatan lama di Washington - adakah Amerika perlu kembali menguji senjata untuk menunjukkan “kekuatan melalui ketegasan”?
Arahan itu turut menimbulkan kekeliruan dalam pentadbiran sendiri. Encik Brandon Williams, pegawai kanan yang bertanggungjawab ke atas dasar ujian nuklear, sebelum ini menyatakan semasa sesi pengesahannya di Senat bahawa beliau “tidak menasihati Amerika untuk kembali menjalankan ujian.”
“Saya rasa kita patut bergantung kepada data saintifik dan simulasi komputer berprestasi tinggi,” katanya ketika itu. Namun beliau turut mengakui, “keputusan akhir bukan di bawah bidang kuasa saya.”
Encik Trump pada 30 Oktober turut menulis di media sosial bahawa beliau mengarahkan “Jabatan Perang” (merujuk kepada Pentagon) untuk menyambung ujian “serta-merta dan secara seimbang dengan pesaing utama Amerika.” Ungkapan itu bagaimanapun menimbulkan tanda tanya besar di kalangan pegawai keselamatan negara kerana sebenarnya ujian nuklear dikendalikan oleh Jabatan Tenaga, bukan Pentagon.
Pakar keselamatan memberi amaran bahawa tindakan Amerika menyambung semula ujian akan memberi “lesen moral” kepada negara lain untuk melakukan perkara sama.
“Sekiranya Amerika memulakan semula ujian, Russia dan China pasti akan mengikutinya — dan dunia akan kembali ke kitaran berbahaya yang kita tinggalkan tiga dekad lalu,” kata Dr Siegfried S. Hecker, bekas pengarah Makmal Senjata Los Alamos di New Mexico.
Dr Hecker menegaskan bahawa Amerika kini memiliki kelebihan besar dalam teknologi senjata nuklear moden dan tidak mempunyai sebab saintifik untuk kembali kepada letupan sebenar. “Ya, kita boleh belajar sesuatu daripada ujian, tetapi kita mempunyai lebih banyak yang akan hilang daripada yang bakal diperoleh,” katanya.
Naib Presiden Encik  JD Vance pula mempertahankan langkah Encik Trump, dengan alasan bahawa ujian adalah penting bagi memastikan senjata nuklear Amerika berfungsi sepenuhnya.
“Untuk kejelasan, kita tahu senjata kita berfungsi dengan baik, tetapi kita perlu memastikan ia sentiasa dalam keadaan optimum,” katanya. Beliau menambah bahawa keputusan presiden itu “bukan tanda agresi, tetapi satu langkah berjaga-jaga.”
Namun pakar pertahanan memberi amaran bahawa langkah itu diumumkan hanya 100 hari sebelum tamatnya perjanjian kawalan senjata terakhir antara AS dan Russia, yang mengehadkan saiz arsenal nuklear kedua-dua negara.
Berbeza dengan Russia dan China, yang dikatakan mampu melakukan ujian bawah tanah dalam tempoh singkat, tapak ujian Nevada milik Amerika kini berada dalam keadaan usang. Banyak kemudahan ujian telah rosak atau hilang sejak ujian terakhir pada 1992, ketika pentadbiran Presiden George H.W. Bush.
Dalam tempoh pertama pentadbirannya, Encik Trump pernah menimbulkan idea mempercepatkan persiapan ujian dengan memendekkan tempoh persediaan daripada beberapa tahun kepada enam bulan. Namun pakar menilai rancangan itu tidak realistik.
“Ujian memerlukan peralatan khusus, kemudahan bawah tanah dan langkah keselamatan ketat, semua ini mengambil masa bertahun-tahun untuk dibangunkan semula,” kata seorang pakar nuklear dari Nevada Test Site.
Walaupun Encik Trump mendakwa ujian perlu bagi menunjukkan kekuatan negara, pengkritik melihatnya sebagai langkah politik berisiko tinggi yang boleh mencetuskan perlumbaan senjata baharu.
“Jika Amerika Syarikat mula meletupkan bom nuklear lagi, ia bukan hanya mesej kekuatan, ia mesej ketakutan,” kata seorang bekas penasihat keselamatan Amerika yang enggan dinamakan.
Pakar-pakar antarabangsa mengingatkan bahawa ujian nuklear yang dihentikan sejak 1996 adalah antara kejayaan terbesar diplomasi global dalam mengurangkan risiko kemusnahan besar-besaran.
Seperti kata Dr Hecker: “Dengan segala kemajuan teknologi yang kita miliki, kita tidak perlu kembali ke zaman letupan bawah tanah. Jika kita berbuat demikian, dunia akan kehilangan tiga dekad keamanan strategik yang dibina dengan susah payah.” - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg