Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump arah siasatan keselamatan negara terhadap cip China, tarif baru menyusul

Apr 14, 2025 | 11:10 AM
Pemandangan bandar Shanghai dari kawasan kewangan utama dirakam pada 14 April 2025. Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 13 April menegaskan bahawa tiada negara akan “terlepas” daripada dikenakan tarif, meskipun sebahagian cukai import diberi penangguhan selama 90 hari. Beliau juga memandang rendah pengecualian sementara terhadap produk teknologi dari China. 
Pemandangan bandar Shanghai dari kawasan kewangan utama dirakam pada 14 April 2025. Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 13 April menegaskan bahawa tiada negara akan “terlepas” daripada dikenakan tarif, meskipun sebahagian cukai import diberi penangguhan selama 90 hari. Beliau juga memandang rendah pengecualian sementara terhadap produk teknologi dari China.  - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 13 April memperkukuh pendirian pentadbirannya bahawa pengecualian telefon pintar dan komputer daripada tarif balas terhadap China hanyalah bersifat sementara, apabila beliau mengumumkan siasatan perdagangan baru berkaitan sektor semikonduktor atas nama keselamatan negara.

“Peralatan elektronik ini hanya dipindahkan ke ‘kategori tarif’ yang lain,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.

“Kami sedang mengkaji industri semikonduktor dan rantaian bekalan elektronik secara menyeluruh dalam Siasatan Tarif Keselamatan Negara akan datang,” tambah beliau.

Rumah Putih sebelum ini mengumumkan pengecualian produk elektronik tertentu daripada tarif tinggi terhadap China pada 11 April.

Namun, Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat, Encik Howard Lutnick, berkata pada 13 April bahawa produk teknologi penting dari China akan tetap dikenakan tarif baru bersama produk semikonduktor dalam tempoh dua bulan akan datang.

Pengecualian tersebut dilihat sebagai kelegaan besar buat syarikat teknologi seperti Apple dan Dell Technologies yang bergantung kepada import dari China.

Dasar tarif Trump yang sering berubah-ubah telah mencetuskan perang perdagangan dengan China dan menyebabkan pasaran saham Wall Street mengalami turun naik paling ketara sejak pandemik Covid-19 pada 2020.

Indeks Standard & Poor’s 500 kini susut lebih 10 peratus sejak beliau mula memegang jawatan pada 20 Januari.

Encik Lutnick memaklumkan bahawa Encik Trump akan memperkenalkan tarif khas terhadap telefon pintar, komputer dan produk elektronik lain dalam tempoh sebulan atau dua, selain tarif sektor terhadap semikonduktor dan farmaseutikal.

“Beliau berkata, produk itu dikecualikan daripada tarif balas, tetapi tetap termasuk dalam tarif semikonduktor yang akan dikuatkuasakan dalam tempoh sebulan atau dua,” katanya kepada rancangan This Week terbitan ABC.

“Ini adalah soal keselamatan negara dan kita perlukan produk ini dihasilkan di Amerika,” ujarnya.

Sebagai tindak balas, Beijing meningkatkan tarif terhadap import Amerika kepada 125 peratus pada 11 April.

Pada 13 April, sebelum kenyataan Encik Lutnick, Kementerian Perdagangan China berkata pihaknya sedang menilai kesan pengecualian produk teknologi tersebut.

“Loceng di leher harimau hanya boleh ditanggalkan oleh orang yang mengikatnya,” kata Kementerian Perdagangan China.

Pelabur terkenal, Encik Bill Ackman, yang sebelum ini menyokong kempen Trump tetapi mengkritik dasar tarifnya, menggesa Encik Trump pada 13 April agar menangguhkan tarif balas terhadap China selama tiga bulan, sama seperti tindakan beliau terhadap kebanyakan negara lain pada 9 April lalu.

“Jika Presiden Trump menangguhkan tarif China selama 90 hari dan mengurangkannya sementara kepada 10 peratus, beliau masih boleh mencapai matlamat untuk memaksa syarikat Amerika mengubah rantai bekalan mereka dari China tanpa menjejaskan operasi jangka pendek syarikat-syarikat ini,” kata Encik Ackman di platform X.

Sementara itu, pengasas NorthmanTrader, Encik Sven Henrich, mengkritik cara isu tarif ini ditangani.

“Sentimen pasaran: Kenaikan terbesar tahun ini mungkin berlaku pada hari Lutnick dipecat,” katanya di X.

“Saya syorkan pentadbiran ini menyelaraskan mesej mereka kerana ia berubah setiap hari. Perniagaan Amerika sukar untuk merancang atau melabur dalam keadaan yang tidak menentu ini,’‘ tambahnya.

Senator Elizabeth Warren, dari Parti Demokrat, turut mengkritik pelan tarif Encik Trump yang disifatkan oleh ahli ekonomi berpotensi melambatkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan inflasi.

“Ini bukan dasar tarif — ini hanyalah kekacauan dan rasuah,” kata Cik Warren di rancangan This Week.

Dalam notis kepada pengirim barangan pada lewat 11 April, agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika telah menerbitkan senarai kod tarif produk yang dikecualikan daripada cukai import.

Ia melibatkan 20 kategori produk termasuk komputer, komputer riba, pemacu cakera, peranti semikonduktor, cip memori dan paparan panel rata.

Namun, pengecualian ini hanya terpakai untuk tarif balas Encik Trump yang meningkat kepada 125 peratus minggu ini.

Tarif terdahulu sebanyak 20 peratus ke atas semua import China berkaitan krisis fentanyl masih kekal.

Dalam wawancara di rancangan Meet The Press, Penasihat Perdagangan Rumah Putih, Encik Peter Navarro, berkata Amerika Syarikat telah membuka pintu rundingan kepada China tetapi mengkritik penglibatan negara itu dalam rantaian bekalan fentanyl.

Encik Navarro tidak memasukkan China dalam senarai tujuh negara — United Kingdom, Kesatuan Eropah, India, Jepun, Korea Selatan, Indonesia dan Israel — yang sedang dirunding oleh pentadbiran Encik Trump.

“Mereka sedang beratur di luar pejabat Jamieson Greer (Wakil Perdagangan Amerika Syarikat),” katanya merujuk kepada wakil perdagangan Amerika.

Dalam program Face The Nation terbitan CBS, Encik Greer berkata tiada rancangan setakat ini untuk Encik Trump mengadakan perbincangan dengan Presiden China, Encik Xi Jinping, mengenai isu tarif.

“Kita berada dalam keadaan ini kerana China memilih untuk membalas,” katanya.

Encik Ray Dalio, pengasas firma lindung nilai terbesar dunia, turut menyuarakan kebimbangan terhadap risiko kemelesetan ekonomi akibat tarif ini.

“Kita kini berada di persimpangan penting dan sangat hampir dengan kemelesetan. Saya bimbang kita bakal berdepan sesuatu yang lebih buruk daripada kemelesetan jika perkara ini tidak ditangani dengan baik,” katanya pada 13 April. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg