TOKYO: Pasaran saham Asia melantun kukuh pada awal dagangan 10 April apabila pelabur membeli saham-saham yang terjejas selepas Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengumumkan penangguhan 90 hari bagi tarif global yang diumumkan pada 2 April untuk setiap negara kecuali China.
Indeks Straits Times (STI) Singapura melonjak 8.2 peratus sebaik sahaja dagangan dibuka.
Indeks itu mengurangkan beberapa keuntungan dan naik 5.5 peratus pada 10.15 pagi.
Ia ditutup 5.4 peratus lebih tinggi kepada 3,577.83.
Indeks Nikkei Jepun melonjak 8.4 peratus; indeks TAIEX Taiwan melonjak 9.2 peratus; indeks Kospi Korea Selatan melonjak 5.5 peratus; manakala ASX 200 Australia meningkat 4.7 peratus.
Walaupun China diketepikan daripada penangguhan tarif Encik Trump itu, saham di tanah besar China dan di Hong Kong juga meningkat berikutan jangkaan sokongan dasar Beijing dan pembelian oleh syarikat pemerintah.
Indeks Shanghai Composite China menokok 0.9 peratus, manakala penanda aras Hong Kong, Hang Seng, meningkat 1.8 peratus, turun daripada paras pemulihan 4.3 peratus sebelumnya.
Semalaman, penangguhan tarif Encik Trump itu mendorong saham Amerika melonjak, dengan S&P 500 ditutup naik 9.5 peratus.
Indeks Dow berakhir 7.9 peratus lebih tinggi, manakala Nasdaq meningkat 12.2 peratus – mencatatkan hari terbaiknya dalam tempoh 24 tahun.
Dalam satu pengumuman petang pada 9 April, Encik Trump berkata beliau akan menurunkan banyak tarif baru buat sementara, tetapi menaikkan levi ke atas import dari China kepada 125 peratus.
Penangguhan ke atas tarif daripada berpuluh-puluh rakan dagangan itu datang kurang 24 jam selepas tarif itu bermula.
Kenaikan tarif ke atas China itu adalah sebagai tindak balas terhadap pengumuman China mengenai levi sebanyak 84 peratus ke atas barangan Amerika bermula 10 April.
Walaupun pengumuman Encik Trump itu masih menimbulkan ketidakpastian kepada pelabur tentang dasar tarif muktamadnya, pedagang telah mengambil peluang untuk membeli saham-saham yang terjejas.
Sejak Encik Trump mengumumkan tarif meluas pada lewat 2 April, saham Amerika telah jatuh lebih daripada 12 peratus, untuk penjualan selama empat hari terbesar dalam tempoh lima tahun.
“Pasaran telah beberapa hari mencari sebab untuk pulih. Pasaran hanya boleh mengekalkan keadaan yang melampau untuk sekian lama sebelum keletihan berlaku, seperti kanak-kanak kecil yang mengamuk,” kata ketua strategi pasaran BMO Private Wealth, Cik Carol Schleif.
“Penggantungan selama 90 hari itu memberikan ruang bernafas yang baik untuk membolehkan rundingan diselesaikan dan penilaian pasaran telah ditetapkan semula dengan jelas. Namun ketidaktentuan bagi syarikat masih ada,” tambah beliau.
Selepas pengumuman terbaru Encik Trump itu, Goldman Sachs berkata ia membatalkan ramalan kemelesetannya dan kembali kepada anggaran asas sebelumnya iaitu ekonomi akan berkembang pada 2025.
Pakar strategi pelaburan kanan syarikat kewangan Charles Schwab, Encik Kevin Gordon, berkata pemulihan pasaran daripada paras terlebih jual itu adalah wajar.
Namun beliau memberi amaran bahawa “mempunyai keyakinan tinggi terhadap apa-apa keputusan ketika ini adalah tindakan yang tidak bijak”.
“Kita hanya perlu menunggu dan melihat apakah dasar muktamadnya, malangnya dasar itu berubah hampir setiap hari,” kata Encik Gordon.
“Anda perlu meletakkan diri anda dalam kedudukan perniagaan yang cuba membuat perbelanjaan modal atau mendapatkan pekerja baru dalam persekitaran ini.
“Jika peraturannya sentiasa berubah dari hari ke hari, ia bukan persekitaran yang sihat untuk perniagaan,” tambah beliau. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg