WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengumumkan beberapa perjanjian besar dalam sektor minyak dengan Iraq dijangka dimeterai dalam masa terdekat ketika beliau menerima kunjungan Perdana Menteri baharu Iraq, Encik Ali al-Zaidi, di Rumah Putih, sekali gus menandakan usaha kedua-dua negara memperkukuh hubungan ekonomi dan strategik.

Encik Trump berkata Iraq mempunyai potensi ekonomi yang besar, khususnya dalam sektor minyak, dan syarikat Amerika akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan pengeluaran tenaga negara itu.

“Kami akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan untuk kedua-dua negara dan mengeluarkan lebih banyak minyak. Syarikat Amerika akan terbabit dalam usaha itu,” katanya ketika mengalu-alukan Encik Zaidi di Pejabat Oval.

Beliau turut memberi bayangan bahawa beberapa pengumuman berkaitan pelaburan baharu akan dibuat “minggu ini atau minggu depan”.

“Terdapat banyak perjanjian besar. Sebahagiannya antara yang terbesar pernah dimeterai,” katanya tanpa mendedahkan butiran lanjut.

Encik Trump turut menyifatkan lawatan Encik Zaidi sebagai permulaan era baharu hubungan Washington-Baghdad selepas hubungan kedua-dua negara dikatakan kurang berkembang dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kami sayangkan Iraq. Negara itu mempunyai potensi luar biasa kerana sumber minyaknya dan banyak lagi kelebihan lain,” katanya.

Lawatan Encik Zaidi berlangsung ketika Iraq berusaha mengimbangi hubungannya dengan Amerika dan Iran, dua kuasa yang bersaing mendapatkan pengaruh di negara itu sejak kejatuhan pemerintahan Saddam Hussein pada 2003.

Walaupun Iran dan Iraq pernah berperang selama lapan tahun pada 1980-an, Teheran berjaya membina hubungan rapat dengan majoriti masyarakat Syiah Iraq serta beberapa kumpulan politik dan bersenjata selepas perubahan pemerintahan di Baghdad.

Sejak beberapa bulan lalu, pentadbiran Encik Trump meningkatkan tekanan terhadap Iraq supaya mengurangkan pengaruh Iran, termasuk mendesak Baghdad melucutkan senjata kumpulan bersenjata yang disokong Tehran serta memutuskan hubungan kewangan yang dipercayai membantu Iran mengelak sekatan antarabangsa.

Sebelum pelantikan Encik Zaidi sebagai perdana menteri, Washington turut mengurangkan bantuan kepada pasukan keselamatan Iraq dan buat pertama kali menyekat sementara pemindahan dolar Amerika dari bank-bank di Amerika ke Iraq.

Langkah itu dilihat memberi tekanan kepada Baghdad supaya melaksanakan pembaharuan ekonomi dan kewangan.

Encik Zaidi, seorang ahli perniagaan yang sebelum ini tidak mempunyai pengalaman dalam politik atau diplomasi antarabangsa, muncul sebagai calon kompromi selepas Encik Trump dilaporkan menolak pencalonan bekas Perdana Menteri, Encik Nouri al-Maliki.

Beliau memiliki sebuah stesen televisyen popular, syarikat pembekalan makanan serta Bank Islam Al-Janoob.

Pada 2024, Bank Pusat Iraq menggantung urus niaga bank itu menggunakan dolar Amerika atas desakan Washington selepas timbul syak wasangka bahawa institusi berkenaan terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram yang memberi manfaat kepada Iran dan kumpulan bersenjata sekutunya.

Bagaimanapun, sejak mengambil alih pentadbiran, Encik Zaidi berusaha menampilkan dirinya sebagai rakan strategik Encik Trump.

Antara langkah awal beliau ialah memujuk tiga kumpulan bersenjata utama di Iraq supaya bersetuju melucutkan senjata, selain melancarkan kempen antirasuah yang menyaksikan puluhan tokoh politik dan pegawai kanan ditahan.

Pemerintah Iraq percaya usaha membanteras rasuah mampu mengurangkan pengaruh politik Iran di negara itu dan meningkatkan keyakinan pelabur asing.

Dalam lawatan ke Washington, Encik Zaidi turut dijangka memuktamadkan beberapa perjanjian tenaga dan ekonomi sambil menggesa lebih banyak pelaburan Amerika bagi membantu Iraq meningkatkan kapasiti pengeluaran minyak dan gas.

Beliau juga dijangka membincangkan cadangan mewujudkan hab eksport alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada Selat Hormuz sekiranya laluan strategik itu sekali lagi ditutup akibat konflik serantau.

Jurucakap pemerintah Iraq berkata, Baghdad turut mencadangkan penubuhan dana khas berasaskan hasil eksport minyak ke Amerika yang boleh digunakan untuk membiayai pelaburan syarikat-syarikat Amerika di Iraq.

Lawatan itu bagaimanapun berlangsung dalam suasana politik yang sensitif.

Kurang seminggu sebelum berlepas ke Washington, Encik Zaidi menghadiri upacara penghormatan terakhir bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, yang diadakan di Iraq dan dihadiri ratusan ribu orang.

Kehadiran beliau dilihat mencerminkan hubungan rapat antara Baghdad dan Teheran, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kemampuan Iraq mengekalkan keseimbangan hubungan dengan kedua-dua kuasa itu.

Pengkritik turut mempersoalkan keberkesanan langkah pembaharuan yang diumumkan pemerintahan Encik Zaidi.

Mereka mendakwa kumpulan bersenjata yang berjanji melucutkan senjata masih belum mengambil tindakan sebenar, manakala beberapa tokoh yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan Iran dilaporkan menghilangkan diri sebelum operasi tangkapan antirasuah dilancarkan.

Keadaan itu mencetuskan tanggapan dalam kalangan pemerhati politik Iraq bahawa terdapat pihak yang membocorkan maklumat bagi melindungi individu tertentu.

Pada masa sama, perang antara Amerika dan Iran sebelum ini turut memberi kesan besar kepada ekonomi Iraq apabila penutupan sementara Selat Hormuz menjejaskan eksport minyak negara itu.

Baghdad kini turut mendesak Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (Opec) meningkatkan kuota pengeluaran minyaknya bagi menampung kerugian akibat konflik berkenaan.

Ketika ditanya sama ada beliau menyokong desakan Iraq terhadap Opec, Encik Trump enggan campur tangan.

“Itu keputusan beliau,” katanya sambil merujuk kepada Encik Zaidi.

Pemerhati berpendapat kejayaan lawatan Encik Zaidi bergantung kepada sejauh mana beliau mampu menarik pelaburan Amerka tanpa menjejaskan hubungan strategik Iraq dengan Iran, yang masih mempunyai pengaruh besar dalam politik dan keselamatan negara itu. – Agensi berita.