ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 17 Mei berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan presiden Russia dan Ukraine pada 19 Mei.
Ini menyusuli rundingan antara kedua-dua negara di mana wakil Ukraine mendakwa perunding Moscow telah mengemukakan tuntutan baru sebelum gencatan senjata dapat dicapai.
Di Moscow, jurucakap Kremlin, Encik Dmitry Peskov, memberitahu agensi berita Russia bahawa persiapan sedang dijalankan menjelang perbincangan antara Presiden Russia, Encik Vladimir Putin dengan Encik Trump.
Rundingan di Turkey pada 16 Mei merupakan kali pertama kedua-dua pihak itu bertemu secara bersemuka sejak Mac 2022 iaitu beberapa minggu selepas Russia melancarkan serangan besar-besaran ke atas negara jirannya itu, lapor Reuters.
Menurut seorang pegawai kanan Ukraine, perunding Russia telah menetapkan syarat bahawa tentera Ukraine mesti berundur dari semua wilayah yang didakwa milik Russia sebelum gencatan senjata boleh dipersetujui.
Encik Trump, dalam catatan di platform Truth Social, berkata beliau akan berbincang dengan Encik Putin pada 10 pagi waktu Timur (10 malam waktu Singapura) pada 19 Mei bagi membincangkan usaha menghentikan peperangan tersebut.
“Perkara utama perbincangan adalah untuk menghentikan ‘pertumpahan darah’ yang telah mengorbankan purata lebih 5,000 anggota tentera Russia dan Ukraine setiap minggu, dan (menjejaskan) perdagangan,” tulisnya.
Menurut Encik Trump, selepas itu beliau akan mengadakan perbincangan dengan Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky dan beberapa pemimpin Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).
“Harapnya hari itu akan membuahkan hasil, satu gencatan senjata dapat dicapai dan perang yang amat ganas ini – perang yang sepatutnya tidak berlaku – akan berakhir.”
Encik Trump sebelum ini menawarkan untuk ke Turkey bagi menghadiri rundingan itu semasa lawatannya ke Teluk minggu lalu, sekiranya Encik Putin turut hadir.
Namun, Encik Putin hanya menghantar pasukan perunding.
Presiden Amerika itu kini giat mendesak Encik Putin dan Encik Zelensky agar mencapai persetujuan bagi menamatkan perang yang telah berlarutan lebih tiga tahun.
Kremlin enggan mengulas syarat-syarat yang dikemukakan Russia dalam pertemuan pada 16 Mei yang berlangsung selama sejam 40 minit itu.
Rundingan tersebut menghasilkan persetujuan untuk menukar 1,000 tahanan perang dari setiap pihak.
Namun, kedua-dua negara belum menyatakan bila langkah itu akan dilaksanakan.
Pada 17 Mei, Presiden Ukraine menggesa sekatan yang lebih tegas dikenakan terhadap Moscow, susulan serangan dron Russia yang mengorbankan sembilan penumpang bas di wilayah Sumy, timur laut Ukraine.
Russia menafikan serangan itu menyasarkan orang awam dan berkata ia menyasarkan sasaran ketenteraan di Sumy.
Kementerian Pertahanan Russia turut memaklumkan bahawa tenteranya telah menawan satu lagi kawasan petempatan di timur Ukraine.
Ukraine dan pemerintah Barat, termasuk Amerika, menuntut agar Russia bersetuju melaksanakan gencatan senjata segera tanpa syarat selama sekurang-kurangnya 30 hari.
Namun, Russia menuntut tentera Ukraine berundur dari empat wilayah sebelum langkah gencatan dapat dimuktamadkan.
Usaha mencapai persetujuan ini sering terganggu dengan campur tangan Encik Trump, yang menegaskan rundingan damai hanya boleh berlaku selepas beliau bertemu dengan Encik Putin. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg