WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, akan bertemu Presiden China Xi Jinping, pada minggu depan sebagai sebahagian daripada lawatan ke Asia, kata Rumah Putih, sekali gus mengesahkan pertemuan itu yang telah dipersoalkan susulan peningkatan ketegangan dagangan.
Setiausaha akhbar Rumah Putih Cik Karoline Leavitt, berkata pada 23 Oktober bahawa Encik Trump akan berlepas ke Malaysia lewat malam 24 Ogos dan kemudian melawat Jepun dan Korea Selatan.
Di Korea Selatan, beliau akan bertemu Encik Xi pada 30 Oktober, selepas berucap di Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif, Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec).
“Pada pagi Khamis waktu tempatan, Encik Trump akan menyertai pertemuan dua hala dengan Presiden Xi sebelum berlepas pulang,” tambah Cik Leavitt.
Pada 26 Oktober, Encik Trump akan bertemu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan menghadiri majlis makan malam bersama pemimpin Asean, kemudian terbang ke Tokyo pada 27 Oktober untuk bertemu Perdana Menteri Jepun yang baru, Cik Sanae Takaichi.
Pada 29 Oktober, Encik Trump akan berkunjung ke Korea Selatan untuk mengadakan pertemuan dengan presiden negara itu, Encik Lee Jae Myung, menyampaikan ucapan di majlis makan tengah hari untuk para Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di luar Sidang Kemuncak forum Apec.
Perang dagangan Amerika dengan China yang telah berlarutan selama berbulan-bulan, menjadi tumpuan utama pada awal Oktober, selepas Beijing meluaskan sekatan eksport mineral nadir bumi secara dramatik.
Encik Trump dengan cepat mengancam untuk membalas dengan tarif dan langkah lain, tetapi sejak kebelakangan ini telah menyatakan optimisme tentang mencapai perjanjian dagangan dengan China.
“Saya fikir kita akan mencapai keputusan yang sangat baik, dan semua orang akan sangat gembira,” kata Encik Trump mengenai pertemuan dengan Encik Xi kelak.
Komen tersebut berbeza dengan kenyataan yang lebih lantang daripada perunding perdagangan tertinggi dan ketua kewangannya, yang turut ke Asia pada 22 Oktober untuk memastikan pertemuan Encik Trump dengan Encik Xi, yang pertama dalam penggal keduanya, berjalan lancar.
Encik Trump berkata soalan pertama yang akan ditanya kepada pemimpin China itu adalah mengenai bahan kimia fentanyl.
Washington menuduh Beijing gagal mengekang aliran bahan kimia untuk fentanyl, penyebab utama kematian akibat dos berlebihan di Amerika.
Beijing telah mempertahankan rekodnya dan menuduh Washington menggunakan fentanyl untuk “memeras ugut” China. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg