Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump bakal terima anugerah awam tertinggi Israel

Netanyahu pecah tradisi lapan dekad, Trump jadi penerima bukan warganegara pertama
Dec 30, 2025 | 11:58 AM
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump (tengah kanan), mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu (tengah kiri), di kediaman Trump, Mar-a-Lago, di Palm Beach, Florida, pada 29 Disember 2025.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump (tengah kanan), mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu (tengah kiri), di kediaman Trump, Mar-a-Lago, di Palm Beach, Florida, pada 29 Disember 2025. - Foto AFP

PALM BEACH, Florida: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, akan menerima Anugerah Israel, penghormatan awam tertinggi negara itu pada 2026, selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengumumkan keputusan luar biasa untuk menganugerahkan penghormatan tersebut kepada seorang bukan warganegara Israel buat pertama kali dalam sejarah hampir lapan dekad anugerah itu diwujudkan.

Pengumuman itu dibuat Encik Netanyahu pada 29 Disember selepas pertemuan dua hala bersama Encik Trump di kediaman peribadinya, Mar-a-Lago, Florida. Encik Netanyahu berkata keputusan tersebut mencerminkan “sentimen besar rakyat Israel” yang menghargai sokongan berterusan Encik Trump terhadap negara itu, khususnya dalam isu keselamatan dan konflik Gaza.

“Saya boleh katakan ini benar-benar mencerminkan sentimen rakyat Israel merentasi semua lapisan,” kata Encik Netanyahu kepada wartawan. “Mereka menghargai apa yang telah anda lakukan untuk membantu Israel dan perjuangan bersama kita menentang keganasan serta pihak yang mahu memusnahkan tamadun kita.”

Encik Trump yang akan dianugerahkan Anugerah Israel bagi Keamanan, merupakan satu kategori baharu yang tidak pernah diberikan sebelum ini. Penganugerahan ini menjadikan beliau individu pertama bukan warganegara Israel menerima anugerah tersebut sejak ia diperkenalkan pada 1953.

Secara tradisi, Anugerah Israel hanya diberikan kepada warganegara atau penduduk negara itu atas kecemerlangan dalam bidang sains, seni dan kemanusiaan, serta sumbangan luar biasa kepada negara. Namun, pada Julai 2025, kerajaan Israel meminda peraturan penganugerahan, sekali gus membolehkan warga asing dipertimbangkan dan membuka laluan kepada pemilihan Encik Trump.

“Presiden Trump telah memecahkan begitu banyak konvensyen sehingga mengejutkan ramai pihak,” kata Encik Netanyahu. “Oleh itu, kami juga memutuskan untuk memecahkan satu konvensyen, atau mencipta yang baru, dengan menganugerahkan Anugerah Israel kepada Presiden Trump.”

Menurut Encik Netanyahu, keputusan itu diumumkan secara rasmi oleh Menteri Pendidikan Israel semasa jamuan makan tengah hari bersama delegasi kedua-dua negara. Encik Trump, yang kelihatan terkejut dengan pengumuman tersebut, menyifatkan penghormatan itu sebagai sesuatu yang tidak dijangka.

“Ini benar-benar mengejutkan dan saya amat menghargainya,” kata Encik Trump, sambil memberi bayangan bahawa beliau mungkin hadir sendiri ke Israel untuk menerima anugerah itu. Majlis penyampaian dijadual berlangsung pada April 2026, bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Israel di Baitulmakdis.

Menteri Pendidikan Israel, Encik Yoav Kisch, turut menghubungi Trump secara langsung bagi memaklumkan keputusan jawatankuasa pemilihan. Dalam perbualan telefon itu, Encik Kisch berkata penganugerahan tersebut dibuat atas “sumbangan luar biasa dan berkekalan” Encik Trump kepada rakyat Yahudi dan negara Israel.

“Buat pertama kali dalam sejarah negara Israel, Anugerah Israel akan diberikan kepada Presiden Trump,” kata Kisch dalam satu hantaran di platform X.

Beliau menyenaraikan beberapa tindakan Trump yang dianggap signifikan oleh Israel, termasuk memindahkan Kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitulmakdis, mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas Bukit Golan, menyokong operasi keselamatan Israel, serta peranannya dalam rundingan gencatan senjata Gaza yang membawa kepada pembebasan tebusan Israel.

Encik Trump sebelum ini turut memainkan peranan penting dalam memeterai perjanjian damai Gaza pada Oktober 2025, yang menyaksikan pengunduran sebahagian tentera Israel, peningkatan bantuan kemanusiaan, serta pertukaran tebusan dan tahanan antara Israel dan Hamas.

Dalam nada berseloroh ketika pertemuan tersebut, Encik Trump bergurau mengenai popularitinya di Israel.
“Saya janji saya tidak akan bertanding menentang kamu, Bibi,” katanya kepada Netanyahu, yang disambut dengan gelak ketawa.

Bagi Encik Trump, anugerah ini menambah satu lagi pengiktirafan simbolik kepada imej yang sering beliau tonjolkan sebagai “pendamai global”. Encik Trump secara terbuka menyatakan keinginannya untuk memenangi Hadiah Nobel Keamanan, walaupun beberapa kali terlepas daripada pencalonan tersebut.

Pada Oktober lalu, Rumah Putih mengecam Jawatankuasa Nobel kerana didakwa “meletakkan politik mengatasi keamanan” selepas Encik Trump tidak dipilih. Encik Netanyahu sendiri pernah memuat naik imej janaan AI Trump menerima Hadiah Nobel Keamanan dengan kapsyen bahawa presiden Amerika itu “layak menerimanya”.

Anugerah Israel kepada Trump juga diberikan tidak lama selepas beliau menerima Anugerah Keamanan FIFA ( Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa) sempena undian Piala Dunia 2026, satu langkah yang dilihat pemerhati sebagai pengiktirafan simbolik terhadap peranan diplomatiknya.

Walaupun Anugerah Israel pernah dikritik sebelum ini kerana dipolitikkan, penganugerahan kepada Encik Trump menandakan satu perubahan besar dalam tradisi negara itu, sekali gus menegaskan hubungan erat antara kepimpinan Israel dan Encik Trump, serta usaha berterusan Encik Netanyahu untuk mengukuhkan sokongan Washington di tengah landskap geopolitik Asia Barat yang semakin rapuh. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg