Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump bangga pencapaian awal dalam ucaptama di Kongres

Mar 5, 2025 | 2:11 PM
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, ketika menyampaikan ucapan pada sesi bersama Kongres di Dewan Senat, Capitol, di Washington DC, Amerika Syarikat pada 4 Mac.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, ketika menyampaikan ucapan pada sesi bersama Kongres di Dewan Senat, Capitol, di Washington DC, Amerika Syarikat pada 4 Mac. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dengan penuh yakin mengisytiharkan bahawa “Amerika telah kembali” enam minggu selepas beliau berkuasa semula, dengan merombak dasar luar negara, mencetuskan perang dagang dan memberhentikan puluhan ribu kakitangan awam.

Ucapan beliau di hadapan Kongres yang berlangsung selama 100 minit itu – iaitu yang terpanjang dalam sejarah moden Amerika – disambut dengan sorakan daripada Republikan

Bagaimanapun, ia dibayangi oleh bantahan daripada ahli Demokrat yang sebahagiannya bertindak keluar dewan sebagai tanda protes.

Ucapan tersebut berlangsung di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi susulan keputusan Encik Trump mengenakan tarif besar-besaran ke atas Mexico, Canada, dan China, sekali gus menyebabkan pasaran saham terus mengalami kejatuhan.

Dalam perkembangan yang turut mengejutkan dunia, Encik Trump juga mengumumkan penggantungan bantuan ketenteraan kepada Ukraine, satu langkah yang mencetuskan kekhuatiran pemimpin Eropah yang bimbang Amerika semakin cenderung ke arah Russia.

Ucapan Encik Trump bermula dengan nada optimistik, dengan menyatakan bahawa Amerika berada di ambang “kebangkitan terbesar yang pernah disaksikan dunia”.

Kenyataannya itu disambut dengan tepukan gemuruh daripada ahli Republikan, tetapi dikecam hebat oleh Demokrat yang mengangkat pelekat bertulis, ‘No King!’ (Tiada Raja!) dan ‘Ini Bukan Normal’.

Hampir separuh daripada mereka meninggalkan dewan sebelum ucapan berakhir, termasuk Ahli Kongres Texas, Encik Al Green, yang diarahkan keluar selepas enggan mematuhi arahan untuk duduk.

Encik Trump tidak menunjukkan sebarang tanda meredakan retoriknya.

“Saya melihat Demokrat di hadapan saya, dan saya tahu tiada apa yang boleh saya katakan untuk membuat mereka gembira,” ujarnya dengan nada sinis selepas kejadian pengusiran Encik Green.

Walaupun ucapannya sebahagian besar tertumpu pada dasar domestik, Encik Trump hanya memperuntuk beberapa minit menyentuh tentang isu dasar luar, termasuk menyatakan bahawa Amerika telah menerima “isyarat kuat” daripada Russia bahawa mereka bersedia untuk berdamai.

“Bukankah itu sesuatu yang indah?” katanya, tanpa mengulas lanjut tentang kesan penggantungan bantuan kepada Ukraine.

Langkah tersebut mencetuskan kebimbangan besar dalam kalangan pemimpin Barat, kerana ia boleh melemahkan pertahanan Kyiv terhadap Russia, yang melancarkan serangan penuh ke atas Ukraine tiga tahun lalu.

Menurut tinjauan Reuters/Ipsos, 70 peratus rakyat Amerika, termasuk dua pertiga penyokong Republikan, percaya Russia bertanggungjawab terhadap peperangan itu.

Ini bertentangan dengan naratif Trump yang menyalahkan Ukraine.

Menerusi ucapannya, Encik Trump berkata beliau sudah menerima surat daripada Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelenskyy, yang menyatakan kesediaan Ukraine berunding semula bagi mencapai keamanan yang berkekalan.

Encik Trump juga mengulangi janji untuk memperluas Perjanjian Abraham, perjanjian yang ditandatangani semasa penggal pertamanya yang memulihkan hubungan antara Israel dengan beberapa negara Arab.

Namun, Encik Trump tidak memberikan butiran lanjut tentang bagaimana beliau akan mencapai matlamat tersebut.

Dalam usaha mempertahankan dasar tarifnya yang kontroversial, Encik Trump menegaskan bahawa “negara lain telah mengenakan tarif ke atas kita selama beberapa dekad, dan kini giliran kita untuk melakukannya”.

Ucapan itu turut disertakan dengan pengumuman rancangan untuk mengenakan lebih banyak tarif pada 2 April, yang dijangka menambah ketidaktentuan dalam pasaran kewangan.

Namun, di sebalik sokongan padu daripada Republikan, ramai dalam kalangan parti itu sendiri tidak menyokong langkah tarif Encik Trump, dengan sebahagian mereka kekal duduk ketika beliau mengumumkannya.

Keputusan untuk mengenakan tarif 25 peratus ke atas Mexico dan Canada, serta tambahan 10 peratus ke atas import dari China, telah meningkatkan kebimbangan pelabur.

Sejak Disember, indeks Nasdaq mengalami kejatuhan lebih 9 peratus daripada paras tertingginya, namun Encik Trump tidak menyentuh isu penurunan pasaran dalam ucapannya.

Beliau sebaliknya menyalahkan mantan presiden, Encik Joe Biden, atas kenaikan harga barangan keperluan, termasuk harga telur, dan mendakwa bahawa peningkatan pengeluaran tenaga akan membawa kepada penurunan inflasi.

Namun, tinjauan Reuters/Ipsos menunjukkan hanya satu pertiga rakyat Amerika bersetuju dengan cara Encik Trump mengendalikan kos sara hidup, sekali gus menimbulkan risiko politik kepada pentadbirannya.

Encik Trump turut mengumumkan cadangan pemotongan cukai besar-besaran yang akan menelan belanja AS$4.5 trilion ($6.02 trilion).

ni termasuk lanjutan pemotongan cukai 2017 serta peruntukan besar untuk kawalan sempadan dan pengusiran pendatang tanpa izin.

Namun, cadangan itu bercanggah dengan janji beliau untuk mengimbangi belanjawan persekutuan, memandangkan ia dijangka menambah lebih AS$5 trilion kepada hutang negara yang kini mencecah AS$36 trilion.

Jawatankuasa Bertanggungjawab terhadap Belanjawan Persekutuan menganggarkan bahawa agenda penuh Encik Trump, termasuk pemansuhan cukai ke atas tip, kerja lebih masa, dan manfaat keselamatan sosial, boleh menelan kos antara $5 trilion dengan $11.2 trilion dalam tempoh sedekad.

Encik Trump turut memuji usaha Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk, yang menurutnya telah membantu mengenal pasti “ratusan bilion dolar penipuan” dalam pemerintah.

Dakwaan ini bagaimanapun jauh melebihi anggaran rasmi. Encik Musk, yang hadir di galeri Kongres, menerima tepukan gemuruh daripada Republikan.

Sementara Republikan meraikan ucapan Encik Trump, parti Demokrat tidak melepaskan peluang untuk memberi tindak balas.

Senator Cik Elissa Slotkin, yang dipilih untuk memberikan ucapan balas, mengkritik Encik Trump dengan menyebut mantan Presiden Ronald Reagan sebagai contoh pemimpin yang lebih baik dalam menangani krisis antarabangsa.

“Sebagai anak era Perang Dingin, saya bersyukur Reagan dan bukan Trump yang memimpin Amerika pada 1980-an. Jika tidak, kita mungkin telah kalah dalam Perang Dingin,” katanya.

Cik Slotkin juga mempersoalkan patriotisme Encik Trump, dengan menyatakan bahawa “Tindakan Donald Trump mencerminkan bahawa dalam hatinya, beliau benar-benar tidak percaya bahawa kita adalah sebuah negara yang luar biasa”.

Dalam kritikannya, Cik Slotkin menyatakan: “Amerika adalah negara yang hebat bukan kerana pemimpinnya, tetapi kerana rakyatnya yang berani mempertahankan nilai dan prinsip demokrasi.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg