Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump dijangka bentang hala tuju baru pentadbiran dalam ucap utama di Kongres

Mar 3, 2025 | 5:04 PM
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, keluar dari Marine One ketika kembali ke Rumah Putih selepas lawatan hujung minggu ke Florida di Washington, D.C., AS, pada 2 Mac 2025. 
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, keluar dari Marine One ketika kembali ke Rumah Putih selepas lawatan hujung minggu ke Florida di Washington, D.C., AS, pada 2 Mac 2025.  - Foto REUTERS

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, akan berucap di hadapan sesi bersama Kongres pada 4 Mac, di mana beliau dijangka menggariskan visi pentadbirannya untuk masa depan negara dan dunia.

Ucapan ini berlangsung hanya enam minggu selepas beliau mengangkat sumpah sebagai presiden, dalam suasana yang masih bergolak akibat dasar Utamakan Amerika yang diperkenalkannya.

Ucapan yang dijadualkan berlangsung di Bangunan Capitol pada 9 malam waktu tempatan (10 pagi waktu Singapura pada 5 Mac) ini akan menjadi tumpuan utama kerana ia juga menandakan empat tahun sejak penyokong Trump menyerbu bangunan tersebut selepas kekalahannya dalam pilihan raya 2020.

Trump dijangka menekankan kejayaan yang telah dicapai melalui pelbagai perintah eksekutif dalam tempoh 43 hari pertamanya di Rumah Putih serta membentangkan hala tuju bagi baki penggalnya.

Senator Alabama, Tommy Tuberville, yang dikenali sebagai penyokong setia Trump, menyatakan bahawa ucapan tersebut akan memberi penekanan kepada pencapaian pentadbiran baru dan pelan tindakan untuk empat tahun akan datang.

“Satu perkara yang pasti: ia akan jauh berbeza daripada apa yang kita lalui dalam tempoh empat tahun di bawah Presiden (Joe) Biden,” kata Encik Tuberville menerusi hantaran di Instagram.

Sejak mengambil alih pentadbiran, Encik Trump telah mengambil langkah agresif dalam merombak sistem pemerintah. Ini termasuk membubarkan beberapa agensi persekutuan, memecat ribuan pekerja pemerintah dan mengarahkan penahanan pendatang tanpa dokumen di pangkalan tentera Amerika di Guantanamo Bay, Cuba.

Malah, Encik Trump turut menimbulkan kontroversi apabila secara terbuka menyatakan minat untuk menggabungkan Canada ke dalam Amereika melalui tekanan ekonomi jika perlu, selain mendakwa Kesatuan Eropah (EU) ditubuhkan untuk “menipu” Amerika Syarikat dalam hubungan perdagangan.

Satu lagi insiden yang menarik perhatian dunia ialah ketegangan yang berlaku semasa pertemuan Encik Trump dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, di Pejabat Oval pada 28 Februari lalu.

Encik Trump dilaporkan mengkritik secara terbuka pemimpin Ukraine itu, menandakan perubahan besar dalam pendekatan Amerika terhadap konflik Rusia-Ukraine.
Hanya segelintir anggota Parti Republikan yang secara terbuka menentang tindakan Encik Trump, walaupun parti itu menguasai kedua-dua dewan Kongres dengan majoriti yang tipis.

Speaker Dewan Perwakilan AS, Encik Mike Johnson, yang merupakan sekutu rapat Trump, telah menjemput Presiden untuk menyampaikan ucapan bagi berkongsi visi Utamakan Amarika dalam landskap perundangan negara.

“Era Keemasan (Golden Age) Amerika telah bermula,” kata Encik Johnson dalam surat jemputannya kepada Encik Trump, merujuk kepada frasa yang digunakan oleh Presiden semasa ucapan pelantikannya.

Pengaruh Trump dalam Parti Republikan semakin kukuh sejak kembalinya ke arena politik pada 2024. Kebanyakan ahli politik Republikan enggan mencabar beliau kerana bimbang akan kehilangan sokongan pengundi setia Trump.
Namun, dengan majoriti yang kecil dan pelbagai puak dalam parti, Republikan dijangka menghadapi cabaran dalam melaksanakan agenda perundangan Trump, termasuk pemotongan cukai secara besar-besaran.

Sementara itu, Parti Demokrat masih bergelut untuk membentuk strategi yang berkesan dalam menghadapi kepimpinan Trump. Senator baharu dari Michigan, Cik Elissa Slotkin, telah dipilih untuk memberikan respons rasmi daripada pihak pembangkang terhadap ucapan Trump.

Cik Slotkin, bekas penganalisis CIA yang dianggap sebagai ‘bintang meningkat’ dalam parti Demokrat, menyatakan bahawa beliau bersedia untuk bercakap secara terus kepada rakyat Amerika.

“Dari keselamatan ekonomi hingga keselamatan negara, kita perlu mencari jalan ke hadapan yang benar-benar dapat meningkatkan taraf hidup rakyat dalam negara yang kita cintai,” katanya, tanpa menyebut nama Trump secara langsung. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg