Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump beri perintah larang warga 12 negara masuk AS

Jun 5, 2025 | 1:21 PM
donald trump
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menandatangani larangan perjalanan yang menyasarkan 12 negara, dengan menyatakan ia didorong oleh kejadian serangan di Colorado pada 1 Jun melibatkan kumpulan penunjuk perasaan pro-Israel. - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Donald Trump menandatangani pengisytiharan bagi melarang warga dari 12 negara memasuki Amerika Syarikat dengan alasan langkah itu perlu demi melindungi negaranya daripada “pengganas asing” dan ancaman keselamatan lain.

Negara yang terjejas ialah Afghanistan, Myanmar, Chad, Congo, Equatorial Guinea, Eritrea, Haiti, Iran, Libya, Somalia, Sudan dan Yaman.

Kemasukan warga dari tujuh negara lain: Burundi, Cuba, Laos, Sierra Leone, Togo, Turkmenistan dan Venezuela pula akan dibataskan.

Larangan itu tidak akan dikenakan kepada mereka yang sudah mempunyai visa, penduduk tetap Amerika yang sah, atau anggota pasukan yang menyertai Piala Dunia atau Olimpik.

Mereka yang mempunyai visa khas untuk melarikan diri daripada penganiayaan di Iran atau membantu usaha ketenteraan Amerika di Afghanistan turut dikecualikan.

Sekatan perjalanan itu pertama kali dilaporkan oleh CBS News.

“Kami tidak akan membenarkan orang memasuki negara kami yang ingin membahayakan kami,” kata Encik Trump, dalam video yang disiarkan di X.

Menurutnya, senarai itu boleh disemak dan negara baru boleh dimasukkan ke dalamnya.

Pengisytiharan itu berkuat kuasa pada 9 Jun.

Visa yang dikeluarkan sebelum tarikh itu tidak akan dibatalkan, kata perintah itu.

Semasa penggal pertamanya memegang jawatan, Encik Trump mengumumkan larangan terhadap pelancong dari tujuh negara majoriti Islam.

Mantan Presiden Joe Biden, seorang Demokrat yang menggantikan Encik Trump, memansuhkan larangan tersebut pada 2021.

“Kami tidak boleh melakukan penghijrahan terbuka dari mana-mana negara apabila kami tidak boleh memeriksa dan menyaring mereka yang ingin memasuki Amerika Syarikat dengan selamat dan boleh dipercayai,” ujar Encik Trump.

Beliau memetik kejadian pada 1 Jun di Boulder, Colorado, yang menyaksikan seorang lelaki melemparkan bom petrol ke dalam kumpulan penunjuk perasaan pro-Israel, sebagai contoh mengapa sekatan baru itu diperlukan.

Lelaki warga Mesir itu, Mohamed Sabry Soliman, didakwa melakukan serangan tersebut.

Pegawai persekutuan berkata Soliman telah tinggal lebih masa visa pelancongnya dan mempunyai permit kerja tamat tempoh – walaupun Mesir tiada dalam senarai negara yang dikenakan sekatan perjalanan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg