Trump cuba redakan penyokong dakwa Israel heret AS perangi Iran
Trump cuba redakan penyokong dakwa Israel heret AS perangi Iran
WASHINGTON: Presiden Donald Trump cuba meredakan kekecohan mengenai sama ada Israel telah mengheret Amerika Syarikat ke dalam kancah peperangan dengan Iran, tetapi beliau dan pegawai tertinggi memberikan penjelasan yang bercanggah mengenai apa yang sebenarnya berlaku.
Ramai penyokong anti-campur tangan presiden kini ragu tentang kempen ketenteraan bersama Amerika-Israel lebih-lebih lagi selepas Setiausaha Negara Encik Marco Rubio mencadangkan bahawa Amerika menghadapi ancaman jika Israel menyerang Iran.
Jika Israel menyerang, jelas Encik Rubio, Iran bersedia untuk membalas dendam terhadap tentera Amerika.
Komen beliau itu mencadangkan kepada beberapa penyokong teras Encik Trump bahawa keputusan Israel telah membawa Amerika ke dalam kancah peperangan yang telah pun meletus pada 28 Februari itu.
Ramai sekutu telah bertahun-tahun menggesa presiden dan gerakan Make America Great Again supaya beralih daripada hubungan rapat mereka dengan Israel dan penglibatan ketenteraan di Timur Tengah.
“Komen Rubio merupakan detik yang paling memberangsangkan,” tulis Encik Mike Cernovich, seorang pengulas media sosial pro-Trump.
“Beliau berkata apa yang kebanyakan orang jangkakan adalah benar. Beliau lantang berkata bahawa ini adalah perubahan besar dalam dasar luar negara. Akan ada seruan besar-besaran untuk berundur,” tambahnya.
Encik Trump dan Encik Rubio cuba meredakan ketegangan pada 3 Mac, tetapi mereka terus memberikan laporan yang bercanggah tentang peristiwa yang telah membawa Amerika ke dalam konflik ketenteraan paling meluas sejak pencerobohan Iraq pada 2003.
Apabila ditanya sama ada Israel telah memaksanya menyerang Iran, Encik Trump berkata, “Tidak, saya mungkin telah memaksa mereka.” Beliau kemudian menambah, “Jika ada, saya mungkin telah memaksa Israel.”
Encik Rubio juga cuba menarik balik komennya bahawa operasi itu telah dicetuskan oleh rancangan Israel untuk menyerang Iran, menegaskan keputusan itu telah dibuat secara bebas oleh Encik Trump.
“Kesimpulannya ialah: Presiden memutuskan bahawa kita tidak akan terkena serangan dahulu,” katanya.
Namun, dalam sepucuk surat kepada Kongres pada 2 Mac yang sehari kemudian didedahkan kepada umum, Encik Trump menulis bahawa beliau telah mengarahkan tindakan ketenteraan di Iran untuk memajukan kepentingan Amerika, menghapuskan Iran sebagai ancaman global; ia telah dijalankan “sebagai pembelaan kolektif sekutu serantau kami, termasuk Israel,” katanya.
Israel, khususnya, telah menyebabkan keretakan dalam kalangan penyokong Encik Trump mengenai berapa banyak sokongan yang harus diberikan oleh Amerika kepada Israel. - Agensi berita

