Trump dakwa capai akses kekal ke Greenland, Nato tingkat keselamatan Artik

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump dakwa capai akses kekal ke Greenland, Nato tingkat keselamatan Artik

Jan 23, 2026 | 11:56 AM

Trump dakwa capai akses kekal ke Greenland, Nato tingkat keselamatan Artik

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Seorang individu menunggu di dalam hentian bas yang ditandai dengan papan tanda laluan di Nuuk, Greenland, pada 22 Januari 2026.
Seorang individu menunggu di dalam hentian bas yang ditandai dengan papan tanda laluan di Nuuk, Greenland, pada 22 Januari 2026. - Foto AFP

DAVOS: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 22 Januari berkata beliau telah memperoleh akses “menyeluruh dan kekal” Amerika Syarikat ke Greenland melalui satu rangka perjanjian dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), ketika ketua pakatan itu menegaskan keperluan sekutu meningkatkan komitmen keselamatan di rantau Artik bagi mengekang pengaruh Russia dan China.

Pengumuman itu dibuat ketika Encik Trump menarik balik ancaman tarif serta menolak penggunaan kekerasan untuk mengambil alih Greenland, sekali gus meredakan sementara ketegangan yang sebelum ini mengancam untuk menjadi perpecahan terbesar hubungan rentas Atlantik dalam beberapa dekad.

Namun, butiran sebenar perjanjian tersebut masih kabur, sementara Denmark menegaskan kedaulatan negara itu ke atas Greenland tidak boleh dirunding. Kementerian Luar Denmark tidak memberikan maklum balas segera terhadap kenyataan terbaru Encik Trump.

Encik Trump berkata rundingan masih berjalan, tetapi menekankan bahawa prinsip utama telah dipersetujui. “Ia sedang dirundingkan sekarang, perinciannya,” katanya kepada Fox Business Network dalam satu wawancara dari Davos, Switzerland, di Forum Ekonomi Dunia. “Tetapi pada asasnya ia adalah akses penuh. Tiada tarikh tamat, tiada had masa,” katanya.

Setiausaha Agung Nato, Encik Mark Rutte berkata kepada Reuters bahawa terpulang kepada kepimpinan ketenteraan kanan Nato untuk memperincikan keperluan keselamatan tambahan di Greenland dan rantau Artik.“Saya tidak ragu kita boleh melakukannya dengan cepat,” katanya. “Saya berharap ia dapat direalisasikan pada 2026, malah mungkin seawal awal 2026.”

Bagaimanapun, Encik Rutte menjelaskan bahawa isu eksploitasi mineral tidak dibincangkan dalam pertemuannya dengan Encik Trump. Menurut beliau, sebarang rundingan khusus berkaitan Greenland akan melibatkan Amerika Syarikat, Denmark dan Greenland sendiri.

Satu perjanjian pada 1951 antara Amerika Syarikat dan Denmark telah pun memberikan hak kepada Washington untuk membina pangkalan tentera dan bergerak bebas di wilayah Greenland, selagi Denmark dan pihak berkuasa Greenland dimaklumkan mengenai tindakan tersebut.

Perdana Menteri Denmark Encik Mette Frederiksen menegaskan bahawa tiada sebarang rundingan dengan Nato mengenai kedaulatan Greenland, yang merupakan wilayah separa autonomi Denmark.
“Ia masih satu situasi yang sukar dan serius, tetapi kemajuan telah dicapai dalam erti kata kita kini boleh membincangkan bagaimana untuk memperkukuh keselamatan bersama di rantau Artik,” katanya.

Hasrat Encik Trump sebelum ini untuk “merampas” Greenland daripada sekutu Nato telah mencetuskan kebimbangan serius dalam kalangan negara Eropah, kerana ia boleh meruntuhkan asas pakatan keselamatan Barat pasca Perang Dunia Kedua dan mencetuskan semula perang perdagangan dengan Eropah.

Walaupun pengunduran Encik Trump daripada ancaman itu telah mendorong pemulihan pasaran Eropah, diplomat berkata kerosakan terhadap kepercayaan dalam hubungan rentas Atlantik mungkin telah berlaku.

“Trump telah melintasi garis yang tidak boleh ditarik balik,” kata seorang diplomat Kesatuan Eropah (EU) kepada Reuters. “Beliau mungkin akan melakukannya lagi. Tidak ada jalan kembali kepada keadaan asal,” katanya, sambil menambah bahawa pemimpin EU kini terpaksa memikirkan alternatif kepada kebergantungan terhadap Amerika Syarikat.

Di Nuuk, ibu kota Greenland, reaksi penduduk juga bercampur. Seorang pemandu pelancong, Cik Ivi Luna Olsen, menyatakan kelegaan terhadap perubahan pendirian EncikTrump. “Saya sangat lega mendengarnya,” katanya. “Apabila beliau bercakap tentang mengambil Greenland dengan kekerasan, itu sangat menakutkan.”

Namun beliau mengakui masih berhati-hati. “Saya cuba merendahkan harapan dan bersedia untuk apa sahaja, kerana kadang-kadang dia boleh berkata macam-macam,” katanya.

Perdana Menteri Sweden Encik Ulf Kristersson pula berkata negaranya mahu menjadi sebahagian daripada kehadiran ketenteraan bersekutu yang semakin meningkat di Greenland dan Artik.
“Retorik baru dari Amerika Syarikat ini, kita sudah mula membiasakannya,” katanya dalam satu sidang media. “Tetapi kita juga perlu bersuara apabila ia benar-benar tidak munasabah, dan saya fikir Eropah telah berbuat demikian, dan ia memberi kesan.”

Presiden Russia Encik Vladimir Putin, ketika mengulas isu itu buat kali pertama secara terbuka, berkata pemilikan Greenland bukanlah kepentingan Russia. China pula melalui kementerian luarnya menyifatkan dakwaan mengenai “ancaman China” terhadap Greenland sebagai tidak berasas.

Dorongan Encik Trump untuk mendapatkan akses penuh ke Greenland sebelum ini turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan dunia perniagaan Eropah. Presiden persatuan borong dan eksport Jerman, Encik Dirk Jandura, berkata ketidaktentuan dasar Washington kekal menjadi risiko besar.

“Apa yang Trump umumkan hari ini mungkin tidak relevan esok,” katanya. “Ketidakpastian berterusan ini merosakkan keyakinan hubungan perdagangan dan menjadi ancaman serius kepada ekonomi global.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg