Trump umum rangka kerja perjanjian Greenland, gugur ancaman tarif Eropah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump umum rangka kerja perjanjian Greenland, gugur ancaman tarif Eropah

Tiada butiran lanjut didedah, namun AS tegaskan tidak akan guna kekerasan bagi dapatkan Greenland
Jan 22, 2026 | 10:57 AM

Trump umum rangka kerja perjanjian Greenland, gugur ancaman tarif Eropah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Naalakkersuisut di Nuuk, Greenland
Risalah rasmi pemerintah Greenland mengenai langkah yang perlu diambil sekiranya berlaku krisis atau peperangan dipamerkan selepas satu sidang media di Naalakkersuisut di Nuuk, Greenland, pada 21 Januari. - Foto AFP

DAVOS: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengumumkan satu “rangka kerja perjanjian masa depan” berkaitan Greenland, pada masa sama menarik balik ancaman tarif baru terhadap negara Eropah yang diumumkannya beberapa hari sebelum ini.

Namun, langkah itu dinilai oleh banyak pihak sebagai satu pengunduran taktikal, memandangkan butiran perjanjian masih tidak jelas dan kedudukan Greenland kekal seperti sedia ada.

Setakat ini, tiada penjelasan terperinci diberikan mengenai kandungan rangka kerja perjanjian itu, termasuk sama ada ia melibatkan pemilikan Greenland oleh Amerika seperti yang berulang kali ditegaskan oleh EncikTrump.

Ketidakpastian ini terus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan sekutu Eropah dan mencerminkan ketegangan yang semakin ketara dalam hubungan rentas Atlantik.

Reaksi awal dari Copenhagen bersifat berhati-hati.

Menteri Luar Denmark, Encik Lars Lokke Rasmussen, menyambut baik pengumuman Encik Trump tetapi pada masa sama menolak secara tegas sebarang kemungkinan penyerahan Greenland kepada Amerika.

“Hari ini berakhir dengan lebih baik berbanding ia bermula,” katanya, sebelum menegaskan dengan nada tegas bahawa Amerika tidak akan memiliki Greenland.

“Itu adalah satu garis merah,” tambah beliau.

Encik Trump menjelaskan bahawa rangka kerja tersebut dicapai hasil perbincangan dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Encik Mark Rutte, beberapa jam selepas ucapan panjangnya di Forum Ekonomi Dunia di Davos.

Dalam ucapan itu, Encik Trump menegaskan beliau tidak akan menggunakan kekerasan bagi mendapatkan Greenland, satu kenyataan yang dilihat meredakan kebimbangan segera di pulau tersebut, yang dilaporkan sudah mula membuat persiapan menghadapi kemungkinan pencerobohan.

“Penyelesaian ini, jika dimuktamadkan, akan menjadi sesuatu yang hebat untuk Amerika dan semua negara Nato,” tulis Encik Trump di Truth Social selepas pertemuannya dengan Encik Rutte.

Beliau turut memaklumkan bahawa perbincangan lanjut sedang dijalankan berkaitan projek ‘Golden Dome’, iaitu perisai pertahanan peluru berpandu yang dicadangkan, yang menurutnya berkait rapat dengan kedudukan strategik Greenland.

Encik Trump menamakan Naib Presiden Encik JD Vance; Setiausaha Negara Encik Marco Rubio dan utusan khas Steve Witkoff sebagai individu yang akan meneruskan rundingan mengenai isu tersebut.

Dalam temu bual ringkas dengan media ketika menghadiri mesyuarat di Davos, Encik Trump berkata perjanjian itu “meletakkan semua pihak dalam kedudukan yang sangat baik, khususnya dari segi keselamatan, mineral dan segala-galanya”.

Apabila ditanya mengenai tempoh perjanjian, beliau menjawab secara dramatik: “Selamanya. Tiada had masa. Ia kekal selama-lamanya.”

Laporan media Amerika menyatakan bahawa perjanjian itu mungkin melibatkan pemberian hak keutamaan kepada Amerika dalam pelaburan sumber mineral Greenland, langkah yang bertujuan menghalang Russia dan China daripada mengakses kekayaan pulau itu.

Sebagai balasan, Encik Trump dilaporkan bersetuju menarik balik ancaman tarif terhadap beberapa negara Eropah, satu keputusan yang disambut positif oleh pasaran kewangan, dengan indeks S&P 500 melonjak 1.2 peratus.

Namun, dalam ucapan khasnya di Davos di hadapan lebih 600 pemimpin dunia, Encik Trump sekali lagi mengulangi hasratnya memperoleh Greenland, menyifatkannya sebagai kepentingan keselamatan nasional teras Amerika.

“Pulau ais yang besar ini sebenarnya sebahagian daripada Amerika Utara, di barisan hadapan hemisfera Barat,” katanya.

“Ia adalah kepentingan keselamatan nasional teras Amerika dan dasar kami selama ratusan tahun adalah menghalang ancaman luar daripada memasuki hemisfera ini,” tambah beliau.

Encik Trump menegaskan bahawa Amerika tidak boleh mempertahankan Greenland secara berkesan tanpa memilikinya.

“Anda tidak boleh mempertahankannya melalui pajakan,” katanya.

“Secara psikologi, siapa yang mahu mempertahankan satu perjanjian lesen atau pajakan bagi sekeping ais besar di tengah lautan?” tegas beliau lagi.

Nada keras Encik Trump turut disasarkan kepada Nato dan Eropah.

Beliau mengkritik pakatan itu kerana didakwa gagal memikul beban kewangan yang adil, malah menyindir Denmark dengan merujuk kekalahannya kepada Jerman dalam Perang Dunia Kedua.

“Kami akan berada di sana untuk mereka 100 peratus, tetapi saya tidak pasti mereka akan berada di sana untuk kami,” katanya.

Kenyataan tersebut mencetuskan reaksi bercampur-campur di Davos. Perdana Menteri Denmark, Encik Mette Frederiksen, memilih untuk tidak menghadiri forum itu, manakala Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, meninggalkan Davos lebih awal selepas menegaskan bahawa Eropah tidak harus teragak-agak menggunakan semua instrumen yang ada untuk melindungi kepentingannya.

Encik Trump turut menyerang Perdana Menteri Canada, Encik Mark Carney, yang sebelum itu menerima tepukan gemuruh di Davos selepas menyeru negara kecil bersatu menghadapi dominasi Amerika, China dan Russia.

“Canada mendapat banyak kemudahan percuma daripada kami,” kata Encik Trump. “Mereka sepatutnya berterima kasih.

Di sebalik retorik keras itu, penganalisis melihat isu Greenland menyentuh persoalan yang jauh lebih mendalam iaitu kedaulatan.

“Hari Pembebasan mungkin mengejutkan, tetapi isu ini menyentuh kelangsungan asas,” kata seorang eksekutif perbankan Canada, sambil merujuk kepada implikasi jangka panjang terhadap susunan keselamatan dan politik global.

Walaupun Encik Trump belum secara rasmi mengemukakan tawaran membeli Greenland, laporan menyebut harga sekitar AS$700 bilion ($899 bilion), satu jumlah yang besar bagi Amerika yang sudah dibebani hutang hampir AS$38 trilion.

Penjualan itu juga memerlukan pengesahan dua pertiga Senat, sesuatu yang dilihat amat sukar dicapai dalam suasana politik yang terbahagi.

Di Kongres, beberapa Rang Undang-Undang dwipartisan telah diperkenalkan bagi mengehadkan keupayaan Encik Trump menggunakan kekerasan atau dana persekutuan untuk menuntut wilayah negara sekutu Nato.

Tinjauan awam pula menunjukkan kebanyakan rakyat Amerika lebih mengutamakan isu kos sara hidup berbanding pengembangan wilayah di Artik.

Di Nuuk, ketika pihak berkuasa mula mengedarkan risalah mengenai cara menghadapi krisis, pesara berusia 65 tahun, Cik Lis Steenholdt, berkata Greenland dan Denmark tetap tegas bahawa pulau itu bukan untuk dijual.

“Anda perlu percaya kepada sistem. Itulah satu-satunya pilihan yang kita ada sekarang,” katanya.

Encik Trump, 79 tahun, beberapa kali tersilap merujuk Greenland sebagai Iceland dalam ucapannya.

Namun, di pentas Davos, Encik Trump membayangkan tuntutan terhadap Greenland masih menjadi keutamaan strategiknya.

“Amerika Syarikat adalah enjin ekonomi dunia... Apabila kami berkembang, dunia berkembang. Anda semua mengikuti kami turun, dan anda mengikuti kami naik,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg