Trump dakwa lakukan “kebangkitan luar biasa” dalam ucaptama negara terpanjang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump dakwa lakukan “kebangkitan luar biasa” dalam ucaptama negara terpanjang

Feb 25, 2026 | 3:24 PM

Trump dakwa lakukan “kebangkitan luar biasa” dalam ucaptama negara terpanjang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
trump, ucaptama
Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump meninggalkan Dewan Perwakilan selepas menyampaikan Ucapan Negara pertama bagi penggal keduanya kepada sidang bersama Kongres di Bangunan Capitol, Washington, DC, pada Selasa, 24 Februari 2026. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyampaikan Ucapan Negara terpanjang dalam sejarah negara itu pada malam Selasa, 24 Februari dengan mendakwa beliau telah membawa “perubahan luar biasa” dalam tempoh setahun kembali memegang kuasa, walaupun keyakinan pengundi terhadap pengurusan ekonomi masih lemah.

Ucapan selama satu jam 47 minit itu lebih menekankan naratif politik dan simbolik berbanding pengumuman dasar baharu, sambil menjadi pentas awal kempen menjelang pilihan raya pertengahan penggal tahun ini.

“Selepas hanya satu tahun, saya boleh katakan dengan penuh bangga kita telah mencapai transformasi yang tidak pernah dilihat sebelum ini satu kebangkitan untuk zaman ini,” kata Encik Trump kepada sidang bersama Kongres.

Sepanjang ucapan, Encik Trump berulang kali menyasarkan Parti Demokrat, menuduh mereka enggan menyokong agenda keselamatan, imigresen dan ekonomi. Beliau meminta ahli Kongres berdiri jika bersetuju bahawa “tugas pertama pemerintah Amerika adalah melindungi rakyatnya, bukan pendatang tanpa izin.”

Apabila pihak Demokrat kekal duduk, Encik Trump membalas: “Bukankah memalukan? Kamu patut malu.”
Beliau kemudian menambah: “Mereka ini gila, saya beritahu anda. Mereka gila.”

Strategi itu dilihat sebagai usaha mengukuhkan sokongan penyokong Republikan ketika parti tersebut berdepan risiko kehilangan majoriti di Kongres dalam pilihan raya November.

Nada ucapan berubah-ubah antara optimistik dan dramatik, apabila Encik Trump memuji pencapaian negara termasuk kemenangan emas Olimpik, tetapi pada masa sama mengetengahkan kisah jenayah domestik serta konflik luar negara dengan gambaran yang jelas bagi menguatkan hujah keselamatan dan kepimpinannya.

Beliau mengundang pasukan hoki ais lelaki Amerika Syarikat ke dewan dan mengumumkan anugerah Pingat Kebebasan Presiden kepada penjaga gol pasukan itu.

Dalam satu lagi detik emosi, beliau mempertemukan seorang bekas tahanan politik Venezuela dengan keluarganya. “Saya gembira memaklumkan bukan sahaja bapa saudara kamu telah dibebaskan, tetapi beliau berada di sini malam ini,” kata Encik Trump sebelum lelaki itu muncul di dewan.

Encik Trump mendakwa beliau mewarisi “negara dalam krisis” dan telah memulihkan ekonomi, dengan merujuk kepada pasaran saham, harga petrol dan pertumbuhan pekerjaan. Namun beliau kurang mengakui kesukaran kos sara hidup rakyat.

Beliau menuduh pihak lawan memanipulasi isu kemampuan hidup: “Mereka tahu kenyataan mereka adalah satu pembohongan kotor.”

Tinjauan pendapat menunjukkan hanya kira kira empat daripada 10 rakyat Amerika berpuas hati dengan cara Presiden Donald Trump mengurus ekonomi, manakala tahap sokongan keseluruhan terhadap beliau sekitar 39 peratus.

Walaupun Amerika Syarikat mengumpulkan kekuatan ketenteraan besar di Asia Barat, Encik Trump hanya menyentuh Iran selepas lebih 90 minit ucapan. Beliau menegaskan Teheran tidak akan dibenarkan memiliki senjata nuklear tetapi masih membuka ruang diplomasi. “Keutamaan saya ialah menyelesaikan masalah ini melalui diplomasi,” katanya.

Encik Trump turut mendakwa Iran sedang membangunkan peluru berpandu yang mampu mencapai wilayah Amerika Syarikat serta menghidupkan semula program nuklear selepas serangan Amerika pada 2025. Pegawai Amerika dijadual mengadakan rundingan baharu dengan Iran di Geneva pada 26 Februari ini.

Ucapan itu berlangsung beberapa hari selepas Mahkamah Agung menolak strategi tarif perdagangan Trump. Walaupun sebelum ini beliau menggelar hakim sebagai “bodoh”, nada kali ini lebih sederhana.
Encik Trump menyifatkan keputusan itu sebagai “amat malang” namun berikrar meneruskan tarif lain tanpa kelulusan Kongres.

Empat hakim Mahkamah Agung hadir pada sidang tersebut dan duduk tanpa menunjukkan sebarang reaksi ketara sepanjang ucapan berlangsung, termasuk ketika Presiden Trump mengkritik keputusan mahkamah berhubung dasar tarifnya.

Encik Trump turut menyerang dakwaan berlakunya penipuan meluas dalam program pemerintah serta kegiatan perdagangan saham orang dalam oleh ahli Kongres. Dalam konteks itu, beliau mengumumkan bahawa Naib Presiden JD Vance akan mengetuai apa yang disifatkannya sebagai “perang terhadap penipuan” bagi membersihkan ketirisan dalam program pemerintah dan meningkatkan akauntabiliti.

Namun, dalam menekankan isu integriti tersebut, beliau tidak menyentuh kontroversi berkaitan dakwaan keuntungan perniagaan keluarganya ketika memegang jawatan presiden. Encik Trump juga merupakan satu satunya presiden Amerika Syarikat yang pernah didapati bertanggungjawab dalam kes penipuan sivil, satu fakta yang sering dibangkitkan pengkritiknya apabila beliau menegaskan agenda pembanterasan penyelewengan.

Menjelang akhir ucapan, Encik Trump kembali menggunakan retorik keras terhadap pendatang tanpa izin dan mendakwa pilihan raya Amerika mengalami penipuan meluas, sambil mendesak undang-undang pengenalan pengundi lebih ketat. Pengkritik berkata cadangan itu boleh menyekat pengundi sah.

Ucapan tersebut dilihat sebagai percubaan mengubah momentum politik selepas tahun pertama pentadbiran kedua yang penuh kontroversi. Encik Trump berharap mesej bahawa Amerika kini “lebih besar, lebih kaya dan lebih kuat” mampu meningkatkan sokongan pengundi. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg