Topic followed successfully
Go to BHkuTrump dakwa perang Iran hampir tamat, rundingan baru dijangka minggu ini
Trump dakwa perang Iran hampir tamat, rundingan baru dijangka minggu ini
Trump mahu perjanjian besar dengan Iran, gencatan senjata selama dua minggu dijadual tamat minggu depan
Trump dakwa perang Iran hampir tamat, rundingan baru dijangka minggu ini
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menyatakan konflik ketenteraan antara Amerika Syarikat-Israel dengan Iran kini hampir berakhir, sambil memberi bayangan bahawa rundingan damai pusingan kedua mungkin berlangsung dalam masa terdekat.
Dalam wawancara bersama Fox Business, Encik Trump berkata keadaan semasa menunjukkan perkembangan positif ke arah penamatan konflik.
“Saya rasa ia hampir berakhir. Ya, saya melihatnya sebagai sangat hampir tamat,” katanya ketika ditanya sama ada perang tersebut sudah berakhir.
Sebelum ini, Encik Trump dilaporkan berkata pusingan kedua rundingan dengan Iran “boleh berlangsung dalam tempoh dua hari akan datang”.
Namun, beliau turut memberi amaran tekanan terhadap Iran masih belum berakhir sepenuhnya.
“Jika kita berhenti sekarang, mereka akan mengambil masa 20 tahun untuk membina semula negara itu. Kita belum selesai.
“Kita lihat apakah yang akan berlaku. Saya fikir mereka sangat mahu mencapai perjanjian,” katanya.
Encik Trump turut memaklumkan rundingan langsung antara Washington dengan Teheran mungkin disambung semula dalam tempoh dua hari, dengan Pakistan dilihat sebagai lokasi utama.
Dalam wawancara bersama New York Post, beliau berkata rundingan tersebut pada awalnya dirancang di Eropah sebelum berubah kepada Islamabad.
“Lebih berkemungkinan ia akan berlangsung di sana (Pakistan),” katanya, sambil memuji peranan negara itu sebagai pengantara.
Namun, pelan rundingan tersebut masih belum dimuktamadkan, termasuk siapakah yang akan mewakili Amerika.
Encik Trump menegaskan beliau tidak akan terlibat secara langsung dalam rundingan itu.
Sebelum ini, rundingan maraton selama lebih 20 jam di Islamabad yang diketuai Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance, gagal mencapai sebarang perjanjian.
Turut terlibat dalam delegasi Amerika ialah utusan khas, Encik Steve Witkoff, dan penasihat kanan, Encik Jared Kushner.
Menurut Encik Vance, kegagalan rundingan berpunca daripada keengganan Iran untuk memberi komitmen jelas mengenai isu senjata nuklear.
“Kami mahukan jaminan bahawa Iran tidak akan membangunkan senjata nuklear, tetapi mereka menolak,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa Encik Trump berhubung secara berterusan dengan pasukan rundingan sepanjang proses tersebut.
“Kami berhubung dengan presiden secara konsisten, antara enam dengan 12 kali dalam tempoh 21 jam rundingan,” katanya.
Salah satu isu utama yang masih menjadi kebuntuan ialah cadangan Amerika untuk menggantung kegiatan nuklear Iran selama 20 tahun, berbanding larangan kekal.
Encik Trump secara terbuka menyatakan tidak bersetuju terhadap cadangan tersebut.
“Saya sudah lama mengatakan mereka tidak boleh memiliki senjata nuklear. Jadi saya tidak suka tempoh 20 tahun itu,” katanya.
Sebagai balasan, Iran dilaporkan mencadangkan penggantungan kegiatan nuklear selama lima tahun sahaja satu cadangan yang pernah dikemukakan sebelum ini dalam rundingan di Geneva.
Perbezaan ini dilihat sebagai halangan utama kepada sebarang perjanjian jangka panjang.
Walaupun rundingan gagal sebelum ini, perkembangan diplomatik berlaku dalam konteks gencatan senjata dua minggu yang dikendali Pakistan sejak 8 April, yang setakat ini masih bertahan.
Menurut laporan, usaha untuk mengatur rundingan baharu sedang giat dijalankan, dengan harapan momentum semasa dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang lebih kekal.
Seorang penyampai Fox Business, Cik Maria Bartiromo, berkata Encik Trump beberapa kali merujuk konflik tersebut dalam bentuk lampau, seolah-olah ia telah berakhir.
“Beliau berkata: “Ia sudah berakhir,” katanya ketika menceritakan semula perbualan tersebut.
Encik Vance semasa berucap dalam satu acara awam di Universiti Georgia di Athens berkata Presiden Trump mahu mencapai satu perjanjian besar dengan Iran, bukannya sekadar penyelesaian sementara melalui rundingan terhad.
“Beliau tidak mahu membuat perjanjian kecil. Beliau mahu satu perjanjian besar,” kata Encik Vance, merujuk kepada Encik Trump ketika beliau mengulas perkara itu susulan kegagalan rundingan antara Amerika dengan Iran di Pakistan pada 12 April lalu.
Menurut laporan agensi berita, Yonhap, Encik Vance turut memaklumkan Encik Trump menyasarkan gencatan senjata selama dua minggu yang sedang berlangsung akan berakhir minggu depan, sekali gus membuka ruang kepada perjanjian yang lebih menyeluruh. – Agensi berita.

