Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump dedah rancangan ubah suai padang golf bersejarah di Washington
Trump dedah rancangan ubah suai padang golf bersejarah di Washington
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 18 Oktober mendedahkan rancangan mengubah suai padang golf awam yang popular di ibu negara itu, dalam projek yang terpalit dengan pertikaian undang-undang.
Menerusi Truth Social, Encik Trump menyiarkan reka bentuk padang golf 18 lubang yang bakal mengubah East Potomac Golf Links yang bersejarah, dengan pembinaan dijadualkan bermula pada November.
“Apabila siap, padang golf ini akan dibuka kepada orang ramai, direka mengikut piawaian tertinggi serta mampu menganjurkan kejohanan bertaraf dunia seperti Terbuka Amerika Syarikat, Kejohanan PGA, Piala Ryder dan Piala Presiden,” katanya.
Minggu lalu, seorang hakim persekutuan mengecam pentadbiran Encik Trump kerana menebang ratusan pokok dengan notis kurang sehari, langkah yang dilihatnya sebagai satu cubaan memintas perintah terdahulu yang mewajibkan pemberitahuan awal.
Hakim Ana Reyes menetapkan sesi perbicaraan susulan pada 19 Oktober dan mengarahkan pegawai kanan Jabatan Dalam Negeri, yang mengawasi kawasan itu, memberikan keterangan.
Sementara itu, pentadbiran Encik Trump meminta Hakim Reyes menarik diri daripada kes tersebut, mendakwa beliau menunjukkan sikap “permusuhan” terhadap pemerintah.
Rancangan mengubah suai East Potomac Golf Links, yang telah beroperasi lebih 100 tahun, merupakan satu daripada beberapa projek pilihan Encik Trump untuk mengubah wajah Washington tanpa mendapatkan persetujuan pihak lain, sepanjang penggal kedua dan terakhirnya sebagai Presiden.
Projek lain termasuk pembinaan dewan besar di Rumah Putih yang memerlukan keseluruhan bahagian ‘East Wing’ bersejarah dirobohkan, rombakan pusat kesenian Kennedy Center serta pembinaan gerbang kemenangan gergasi.
Semua projek itu turut menghadapi cabaran undang-undang, termasuk dakwaan bahawa perubahan besar sedemikian memerlukan persetujuan Kongres.
Padang golf tersebut terletak di sebuah pulau di Sungai Potomac, dikelilingi jalan raya dan laluan yang sering digunakan penunggang basikal, pengunjung yang berkelah serta pemancing.
Reka bentuk yang didedahkan Encik Trump pada 18 Oktober dilihat akan menghapuskan kawasan awam tersebut.
Sebagai peminat tegar golf dan pemilik beberapa kelab golf, Encik Trump berhasrat mengubah suai padang golf East Potomac sejak kembali berkuasa pada 2025.
“Padang golf sedia ada sudah usang, rosak, terbiar dan tidak lagi berguna. Keadaannya amat buruk, dengan pokok berbahaya yang hampir tumbang dan dijangkiti penyakit serta, yang lebih penting, tembok penahan air yang semakin runtuh dan membahayakan keselamatan,” katanya pada 18 Oktober.
Encik Trump berkata projek baharu itu dijadualkan bermula pada 15 November dan mengambil masa 15 bulan untuk disiapkan, tanpa mengulas pertikaian undang-undang yang berlarutan. – AFP.