MORRISTOWN (Amerika Syarikat): Amerika Syarikat hampir memuktamadkan beberapa perjanjian dagangan pada hari-hari mendatang dan akan memaklumkan negara lain mengenai kadar tarif yang lebih tinggi menjelang 9 Julai.
Mengumumkan demikian pada 6 Julai, Presiden Amerika Encik Donald Trump berkata kadar tarif yang lebih tinggi itu dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Ogos.
Encik Trump dan pegawai tertinggi lain telah membayangkan tarikh 1 Ogos lebih awal, tetapi tidak jelas sama ada semua tarif akan dinaikkan ketika itu.
Diminta menjelaskan lebih lanjut, Setiausaha Perdagangan Encik Howard Lutnick memberitahu pemberita bahawa tarif yang lebih tinggi akan berkuat kuasa pada 1 Ogos, tetapi Encik Trump “menetapkan kadar dan tawaran sekarang”.
Pada April, Encik Trump mengumumkan kadar tarif asas 10 peratus terhadap kebanyakan negara dan tarif tambahan sehingga 50 peratus tetapi menangguhkan tarikh berkuat kuasa untuk semua kecuali tarif 10 peratus sehingga 9 Julai.
Tarikh tarif baru itu menawarkan penangguhan tempoh tiga minggu kepada negara yang terjejas.
Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent berkata negara anggota Kesatuan Eropah telah mencapai kemajuan yang baik dalam perbincangan tarif dagangannya.
Menurutnya, Encik Trump akan menghantar surat kepada 100 negara yang lebih kecil dan tidak mempunyai banyak urusan perdagangan dengan Amerika.
Beliau berkata negara berkenaan akan dikenakan kadar tarif lebih tinggi yang pertama kali ditetapkan pada 2 April dan kemudiannya ditangguhkan sehingga 9 Julai.
“Presiden Trump akan menghantar surat kepada beberapa rakan dagangan untuk mengingatkan bahawa jika mereka tidak bersama-sama kami, maka pada 1 Ogos mereka akan dikenakan tahap tarif yang diumumkan pada 2 April. Jadi saya fikir kami akan melihat banyak tawaran dengan cepat,” kata Encik Bessent.
Sejak memegang jawatan, Encik Trump telah mencetuskan perang dagangan global yang telah menggugat pasaran kewangan dan menyebabkan penggubal dasar berebut untuk menjaga ekonomi mereka, termasuk melalui perjanjian dengan Amerika.
Encik Kevin Hassett, yang mengetuai Majlis Ekonomi Negara Rumah Putih, menyatakan mungkin ada ruang untuk negara yang bersungguh-sungguh dalam rundingan.
Encik Stephen Miran, pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Rumah Putih, menyatakan bahawa negara-negara perlu membuat konsesi untuk mendapatkan kadar tarif yang lebih rendah.
Encik Bessent menekankan bahawa pentadbiran Encik Trump memberi tumpuan kepada 18 rakan dagangan penting yang menyumbang 95 peratus daripada defisit perdagangan Amerika tetapi mereka berlengah dalam memuktamadkan perjanjian. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg