WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat , Encik Donald Trump, mendesak anggota Kongres Demokrat beragama Islam, Cik Ilhan Omar, meletak jawatan selepas Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ) mengemukakan dokumen mahkamah yang menyenaraikan nama lain bagi ahli politik kelahiran Somalia itu.

Kontroversi tersebut mencetuskan semula dakwaan lama mengenai identiti, sejarah perkahwinan dan status imigresen Cik Omar, yang kini menjadi subjek siasatan Persekutuan.

Dalam dokumen mahkamah yang dikemukakan baru-baru ini, DOJ merujuk kepada beliau sebagai “Ilhan Nur Said Elmi, a/k/a Ilhan Abdullahi Omar”, dengan singkatan a/k/a bermaksud “juga dikenali sebagai”.

Bagaimanapun, dokumen tersebut tidak membuktikan bahawa Cik Omar melakukan penipuan atau menggunakan identiti palsu.

Cik Omar, yang mewakili Minnesota di Dewan Perwakilan Amerika, menolak dakwaan itu dan menegaskan bahawa namanya sentiasa Ilhan Omar.

“Biar saya jelaskan dengan sejelas-jelasnya. Nama saya sentiasa Ilhan Omar,” katanya menerusi platform X.

Beliau turut menuduh Encik Trump menggunakan Jabatan Kehakiman untuk menyebarkan teori konspirasi dan menyerang lawan politiknya.

Kontroversi itu tercetus menjelang pilihan raya pertengahan penggal Amerika pada 3 November, ketika Cik Omar berusaha mempertahankan kerusinya bagi penggal kelima.

Pada 12 Oktober, ejen Persekutuan menggeledah kediaman Cik Omar di Washington, DC, menggunakan waran geledah yang diluluskan mahkamah.

Siasatan itu dilaporkan tertumpu kepada kemungkinan maklumat tidak benar dikemukakan dalam dokumen imigresen ketika keluarga beliau melarikan diri dari Somalia dan memasuki Amerika pada 1995.

Ketika itu, Cik Omar masih kanak-kanak.

Penyiasat turut meneliti sama ada arwah bapanya memberikan maklumat tidak tepat ketika memohon kewarganegaraan Amerika.

Selain itu, pihak berkuasa sedang menyemak sama ada Cik Omar memenuhi syarat umur untuk memperoleh kewarganegaraan melalui bapanya pada 2000.

Beliau menafikan sebarang salah laku dan menyifatkan penggeledahan tersebut sebagai cubaan menakut-nakutkannya atas sebab politik.

Susulan kejadian itu, Cik Omar berkata beliau merancang berpindah dari kediamannya di Washington kerana bimbang terhadap keselamatan diri dan keluarganya.

Siasatan turut memberi perhatian kepada perkahwinan Cik Omar pada 2009 dengan Encik Ahmed Nur Said Elmi, seorang warga Britain.

Sejak 2016, beberapa kumpulan konservatif mendakwa lelaki tersebut merupakan saudara kandungnya dan perkahwinan itu bertujuan membantu beliau mendapatkan kad pemastautin tetap Amerika atau ‘green card’.

Cik Omar berulang kali menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai teori konspirasi berunsur politik.

Menurut laporan, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri pernah menyiasat perkahwinan itu pada 2016.

Beberapa pegawai yang mengetahui siasatan tersebut mendakwa penyiasat menemui petunjuk yang menimbulkan persoalan mengenai kesahihan perkahwinan berkenaan.

Bagaimanapun, kes itu tidak diteruskan, terutama kerana kemungkinan kesalahan berkenaan telah melepasi had masa lima tahun untuk pendakwaan.

Sehingga kini, tidak jelas apakah bukti yang dimiliki pendakwa raya untuk membuktikan bahawa Encik Elmi mempunyai pertalian keluarga dengan Cik Omar.

Cik Omar juga belum didakwa atas sebarang kesalahan jenayah berkaitan siasatan terbaru itu.

Encik Trump sebelum ini berulang kali mempersoalkan latar belakang Cik Omar dan menuduhnya melakukan penipuan imigresen.

Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Encik Markwayne Mullin, turut memberi amaran bahawa Cik Omar mungkin berdepan tindakan pengusiran sekiranya kerajaan dapat membuktikan beliau memperoleh status imigresen secara tidak sah.

Bagaimanapun, sebarang tindakan sedemikian memerlukan asas undang-undang dan bukti yang mencukupi.

Jurucakap Cik Omar, Cik Jackie Rogers, menolak tuduhan tersebut dan menyifatkannya sebagai usaha memburukkan nama ahli politik Demokrat itu.

Menurutnya, dakwaan berkenaan bertujuan mengalihkan perhatian daripada prestasi pentadbiran Trump dan kegagalan Parti Republikan.

Cik Omar pula berkata serangan terhadapnya mencerminkan sikap sesetengah pihak yang tidak dapat menerima seorang wanita Islam dan bekas pelarian sebagai anggota Kongres.

“Saya mempunyai hak yang sah untuk menjadi anggota Kongres dan saya berbesar hati memegang tanggungjawab ini,” katanya.

Kebimbangan serangan terhadap ahli politik Islam

Kontroversi membabitkan Cik Omar berlaku ketika beberapa ahli politik Islam lain turut menjadi sasaran serangan berunsur agama dan perkauman.

Antaranya ialah calon Demokrat bagi kerusi Senat Michigan, Encik Abdul El-Sayed, yang berdepan tuduhan tidak berasas mengenai hubungan dengan kumpulan Islam tertentu.

Penyokong Cik Omar mendakwa siasatan terhadapnya mencerminkan usaha menggunakan institusi kpemerintah untuk menekan lawan politik.

Mereka turut mempersoalkan masa penggeledahan kediamannya, yang dilakukan hanya beberapa minggu sebelum pilihan raya.

Bagaimanapun, pihak berkuasa menegaskan bahawa siasatan berkaitan imigresen masih berjalan.

Pertikaian itu dijangka terus menjadi isu politik menjelang pilihan raya 3 November, ketika masyarakat Islam Amerika semakin bimbang terhadap peningkatan sentimen anti-Islam.

Bagi Cik Omar, yang mencipta sejarah pada 2018 sebagai antara wanita Islam pertama dipilih ke Kongres Amerika, kontroversi terbaru ini bukan sahaja menguji kedudukan politiknya, malah turut menimbulkan persoalan mengenai layanan terhadap ahli politik daripada golongan minoriti di negara tersebut. - Agensi berita