WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sekali lagi menggesa lebih banyak negara Asia Barat dan negara majoriti Islam menjalin hubungan diplomatik dengan Israel menerusi Perjanjian Abraham, ketika usaha rundingan damai dengan Iran terus berlangsung.

Encik Trump berkata, peluasan perjanjian itu boleh menjadi sebahagian daripada “penyelesaian bersejarah” di rantau berkenaan dan mendakwa kerjasama antara negara Asia Barat akan menjadi lebih kukuh sekiranya lebih banyak negara menyertainya.

Dalam hantaran di media sosial Truth Social pada 24 Mei, Encik Trump berkata beliau telah bercakap dengan beberapa pemimpin dunia mengenai usaha menamatkan konflik melibatkan Iran.

“Selepas segala usaha yang dilakukan Amerika Syarikat untuk menyusun teka-teki yang sangat kompleks ini, negara-negara terbabit sekurang-kurangnya perlu menandatangani Perjanjian Abraham secara serentak,” katanya.

Beliau turut menyebut bahawa Arab Saudi, Qatar dan Pakistan seharusnya “bersedia, rela dan mampu” menyertai perjanjian itu.

Encik Trump juga memberi bayangan bahawa Iran mungkin boleh menjadi sebahagian daripada perjanjian tersebut pada masa depan.

“Rundingan dengan Iran berjalan dengan baik,” katanya lagi.

Perjanjian Abraham dimeterai pada tahun 2020 ketika penggal pertama Encik Trump sebagai presiden.

Ia membuka jalan kepada hubungan diplomatik rasmi antara Israel dengan beberapa negara Arab termasuk Amiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Maghribi.

Sebelum itu, hanya Mesir dan Jordan yang mempunyai hubungan rasmi dengan Israel.

Encik Trump sering menyifatkan Perjanjian Abraham sebagai pencapaian terbesar dasar luarnya.

Perjanjian tersebut turut membuka ruang kepada peningkatan perdagangan, pelaburan, pelancongan dan kerjasama keselamatan antara Israel dan negara-negara Arab yang menandatanganinya.

Di Dubai misalnya, pelabur dan pelancong Israel mula membanjiri bandar itu selepas hubungan diplomatik dipulihkan. Nilai perdagangan antara Israel dan UAE dilaporkan melebihi AS$3 bilion (S$3.83 bilion) pada 2024.

Syarikat teknologi dan tenaga dari kedua-dua negara juga mula menjalinkan kerjasama baharu, manakala penerbangan terus antara Tel Aviv dan Dubai menjadi rutin.

Maghribi pula menyaksikan peningkatan ketara jumlah pelancong Israel selepas perjanjian itu ditandatangani.

Sebagai galakan kepada Maghribi, Washington ketika itu turut mengiktiraf wilayah Sahara Barat sebagai sebahagian daripada negara tersebut.

Namun, kesan perjanjian itu di Bahrain dilihat lebih sederhana. Demonstrasi membantah hubungan dengan Israel masih berlaku secara berkala di negara Teluk itu.

Walaupun Perjanjian Abraham berjaya memperbaiki hubungan diplomatik Israel dengan beberapa negara Arab, ia gagal menyelesaikan konflik utama antara Israel dan Palestin.

Malah, ramai penganalisis berpendapat penderitaan rakyat Palestin semasa perang di Gaza menjadikan usaha memperluaskan perjanjian itu semakin sukar.

Kerajaan Arab Saudi berulang kali menegaskan bahawa mereka tidak akan mengiktiraf Israel tanpa penubuhan negara Palestin yang merdeka.

Bagaimanapun, pemerintah Israel pimpinan Encik Benjamin Netanyahu secara terbuka menolak penubuhan negara Palestin.

Penganalisis berkata keadaan itu menjadi penghalang terbesar kepada cita-cita Washington untuk membawa Arab Saudi menyertai Perjanjian Abraham.

“Perang di Gaza telah mengubah sentimen rakyat Arab terhadap Israel,” kata seorang penganalisis Asia Barat.

“Sebarang usaha normalisasi kini berdepan tekanan politik dan emosi yang jauh lebih besar.”

Encik Trump dan Encik Netanyahu sebelum ini sering menggambarkan Perjanjian Abraham sebagai “perjanjian damai” yang mampu menamatkan konflik Arab-Israel.

Namun, sarjana hubungan antarabangsa menyatakan istilah itu agak mengelirukan kerana negara seperti UAE dan Bahrain sebenarnya tidak pernah berperang secara langsung dengan Israel.

Sebaliknya, mereka berkata perjanjian itu lebih kepada hubungan diplomatik dan ekonomi yang mengetepikan isu Palestin.

Gesaan Encik Trump untuk memperluaskan Perjanjian Abraham juga dilihat mempunyai dimensi politik dalaman Amerika Syarikat.

Sejak kebelakangan ini, beberapa ahli politik Republikan yang pro-Israel mengkritik pendekatan Trump yang cuba mencapai perjanjian damai dengan Iran.

Cik Lindsey Graham antara tokoh yang memberi amaran terhadap sebarang kompromi dengan Teheran.

Namun, Cik Graham berkata beliau menyokong penuh jika Arab Saudi dan negara Arab lain bersedia mengiktiraf Israel.

“Ia akan menjadi sesuatu yang bersejarah dan antara perjanjian paling penting dalam sejarah,” katanya.

“Matlamat utama selama ini adalah untuk mengasingkan Iran.”

Walaupun begitu, ramai penganalisis berpendapat peluang untuk lebih banyak negara Arab menyertai Perjanjian Abraham dalam masa terdekat masih tipis.

Mereka berkata perang antara Israel dan Iran serta krisis kemanusiaan di Gaza menyebabkan banyak kerajaan Arab lebih berhati-hati.

Tambahan pula, sentimen rakyat di rantau itu masih kuat menyokong perjuangan Palestin.

Bagi banyak negara Arab, pemulihan hubungan dengan Israel tanpa penyelesaian kepada isu Palestin dilihat sebagai langkah yang terlalu berisiko dari sudut politik domestik dan kestabilan serantau. - Agensi berita