Trump dijangka mula gunakan jet hadiah Qatar jelang musim panas
Trump dijangka mula gunakan jet hadiah Qatar jelang musim panas
WASHINGTON: Presiden Donald Trump mungkin mula terbang lewat tahun 2026 ini dengan pesawat Boeing 747 yang disumbangkan oleh pemerintah Qatar.
Ini selepas Tentera Udara berkata ia menjangka dapat menghantar pesawat yang telah diubah suai itu selewat-lewatnya pada musim panas ini.
Tentera Udara telah berusaha sejak September untuk menaik taraf jet mewah itu bagi menampung keperluan keselamatan pengangkutan presiden, yang telah mendesak agar ia disiapkan secepat mungkin.
Penggubal undang-undang dan beberapa pegawai pentadbiran telah melahirkan kebimbangan tentang tempoh masa yang dipercepatkan kerana Tentera Udara mungkin tidak mempunyai masa yang cukup untuk memasang peralatan keselamatan sewajarnya.
Seorang yang biasa dengan projek itu, yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, berkata pesawat itu akan dicat mengikut citarasa Encik Trump dan semua kemudahan mewah akan dipasang menjelang musim panas tetapi tidak semua langkah keselamatan akan dipasang.
Namun, pegawai itu menjangkakan Encik Trump akan menandatangani tahap kesediaan pesawat itu kerana beliau mahu mula menggunakannya.
Pada 22 Januari, Tentera Udara berkata dalam satu kenyataan bahawa ia “komited untuk mempercepatkan penghantaran” pesawat itu, “dengan jangkaan penghantaran selewat-lewatnya pada musim panas 2026”.
Jurucakap Tentera Udara berkata pihaknya telah bekerjasama dengan “entiti pemerintah untuk memastikan langkah-langkah keselamatan yang sesuai dan keperluan misi berfungsi dipenuhi” untuk mengangkut presiden.
Serba mewah dan canggih, pesawat yang bernilai AS$400 juta ($521 juta) itu dihadiahkan kepada Encik Trump oleh keluarga diraja Qatar.
Pesawat Boeing 747-8 itu bakal dijadikan pesawat rasmi Air Force One.
Senator Tammy Duckworth, anggota Demokrat daripada Illinois, berkata bahawa beliau “sangat terganggu dengan betapa cepatnya Tentera Udara memaksa pesawat ini beroperasi”.
“Air Force One sepatutnya menjadi pesawat paling selamat di dunia, dan mengambil langkah berjaga-jaga yang boleh mengancam rahsia keselamatan negara kita, presiden dan seluruh negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.
“Itu tidak boleh diterima,” tambahnya.
Tentera Udara kini mempunyai dua pesawat yang digunakan sebagai pesawat presiden, kedua-duanya telah digunakan selama lebih 35 tahun dan mempunyai masalah penyelenggaraan.
Minggu ini sahaja, ketika Encik Trump dalam perjalanan ke Davos, Switzerland, untuk menghadiri Forum Ekonomi Sedunia, Air Force One terpaksa kembali ke Washington selepas mengalami apa yang digambarkan oleh Rumah Putih sebagai “masalah elektrik kecil”. – Agensi berita.

