WASHINGTON: Beberapa pertubuhan advokasi Muslim dan Yahudi di Amerika Syarikat mengecam Presiden Donald Trump selepas beliau merujuk pemimpin Demokrat Senat, Senator Chuck Schumer, sebagai “seorang Palestin” dalam satu kenyataan yang disifatkan sebagai penghinaan berbaur perkauman.
Insiden itu berlaku semasa sidang media di Pejabat Oval pada 12 Mac ketika Trump menerima kunjungan Perdana Menteri Ireland, Micheál Martin. Ketika ditanya mengenai dasar cukai korporat Amerika, Encik Trump mengambil kesempatan untuk menyerang Demokrat yang menurutnya tidak menyokong agendanya.
“Schumer ialah seorang Palestin pada pandangan saya. Dia telah menjadi Palestin. Dahulu dia Yahudi, kini dia bukan Yahudi lagi. Dia seorang Palestin,” kata Encik Trump.
Senator Schumer merupakan pegawai tertinggi berbangsa Yahudi yang dipilih di peringkat persekutuan, dan bukan berketurunan Palestin.
Kenyataan Encik Trump itu mencetuskan kecaman segera daripada pelbagai pihak, termasuk aktivis hak asasi dan pemimpin komuniti.
Pengarah Eksekutif Majlis Hubungan Islam-Amerika (CAIR), Nihad Awad, berkata:
“Penggunaan istilah ‘Palestin’ sebagai satu penghinaan kaum oleh Presiden Trump adalah menjijikkan dan tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang pemimpin negara.”
Encik Awad, yang berketurunan Palestin, menambah bahawa kenyataan itu mencerminkan “penghinaan berterusan terhadap rakyat Palestin” dan memperkukuh stereotaip negatif yang semakin menular sejak tercetusnya perang di Gaza.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Hal Ehwal Awam Yahudi, Cik Amy Spitalnick, turut mengutuk kenyataan Trump. Beliau disertai oleh Cik Halie Soifer, Ketua Eksekutif Majlis Demokratik Yahudi Amerika menyifatkan ucapan itu sebagai cubaan menimbulkan perpecahan antara komuniti Yahudi dan Palestin.
Encik Trump sebelum ini pernah mengundang kritikan semasa kempen pilihan raya 2024 apabila beliau menyifatkan bekas Presiden Joe Biden sebagai “seorang Palestin” semasa debat presiden. Beliau juga pernah menyatakan bahawa orang Yahudi yang tidak mengundinya perlu “diperiksa kewarasannya”.
Beliau menafikan tuduhan sebagai seorang yang prejudis, namun kenyataan-kenyataannya terus menimbulkan ketegangan antara kumpulan etnik dan agama di Amerika. Rumah Putih dan pejabat Senator Schumer tidak mengeluarkan sebarang kenyataan balas setakat ini.
Aktivis hak asasi juga melaporkan peningkatan insiden Islamofobia, kebencian terhadap Palestin dan antisemitisme sejak konflik Gaza bermula pada Oktober lalu.- Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg