Trump enggan jelaskan apakah akan terima keputusan pilihan raya

LAS VEGAS: Jutawan Donald Trump enggan berkata beliau akan menerima keputusan pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada 8 Nov, sekali gus menimbulkan kemungkinan beliau mencabar keputusan muktamad.

Encik Trump berkata beliau akan menunggu untuk memutuskan apakah keputusan itu sah.

"Saya akan memberitahu anda pada masa itu, saya akan membuat anda suspen," katanya dalam perbahasan ketiga dan terakhir calon presiden Amerika pada Rabu (Khamis, 20 Sep waktu Singapura).

Calon Republikan itu dan pesaingnya daripada parti Demokrat, Cik Hillary Clinton, tidak berjabat tangan sepanjang perbahasan televisyen selama 90 minit di Las Vegas, 20 hari sebelum rakyat Amerika mengundi.

Kedua-dua calon muram dan tidak senyum dalam perbahasan berapi-api yang berkisar lebih mengenai dasar berbanding perbahasan sebelum ini.

Encik Trump menuduh kempen Cik Clinton mendalangi rentetan tuduhan oleh wanita yang berkata beliau mengurat mereka secara seksual.

Ahli perniagaan itu berkata semua cerita itu "tidak benar sama sekali" dan mencadangkan Cik Clinton mendalangi tuduhan itu, sambil menyifatkan kempen beliau sebagai "kotor".

Cik Clinton berkata wanita itu tampil selepas Encik Trump berkata dalam perbahasan lalu bahawa beliau tidak pernah mengurat wanita.

Dalam sebuah video 2005, Encik Trump dirakam bercakap besar mengenai beraba wanita tanpa kerelaan mereka.

"Donald berasa memperkecil wanita menjadikan dia lebih besar. Dia menyasarkan maruah mereka, harga diri mereka dan saya tidak fikir ada seorang pun wanita di mana-mana yang tidak tahu apa itu boleh membuat kami berasa," ujar Cik Clinton.

"Ini adalah satu corak. Satu corak memecah belah, satu wawasan sangat gelap dan dalam banyak cara berbahaya mengenai negara kita di mana beliau menghasut keganasan, di mana beliau memuji orang yang menolak-nolak dan menarik-narik dan menumbuk di perhimpunan beliau. Itu bukan Amerika yang sebenar," ujarnya.

Cik Clinton juga menuduh Encik Trump calon Rumah Putih paling berbahaya dalam sejarah moden negara itu.

Beliau berkata rancangan Encik Trump mahu mengusir berjuta-juta pendatang haram akan merobek keluarga dan Amerika.

"Saya tidak mahu melihat kuasa pengurisan yang Donald cakap," "Saya fikir ia adalah satu idea yang akan merobek negara kita."

Encik Trump mempertahankan rancangannya dengan berkata ada beberapa "hombres buruk" di Amerika yang perlu dihantar balik ke negara asal mereka.

Cik Clinton memberi amaran bahawa Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, menyokong Encik Trump dalam perlumbaan ke Rumah Putih kerana calon Republikan itu akan menjadi "bonekanya".

Dalam perbahasan panjang lebar mengenai perkara itu, Cik Clinton memetik laporan agensi perisikan Amerika bahawa serangan siber Russia telah menyasarkan parti dan kempen beliau, dan menuntut Encik Trump mengutuk perbuatan itu.

"Mereka menggodam laman web rakyat Amerika, akaun rakyat biasa Amerika, institusi," kata beliau.

"Kemudian mereka beri maklumat itu kepada WikiLeaks untuk tujuan meletakkannya di Internet."

Encik Trump menolak laporan perisikan itu, dan berkata: "Negara kita tidak tahu."

Hartawan hartanah itu berkata beliau mungkin mempunyai hubungan lebih baik dengan Moscow daripada Cik Clinton, dan berkata: "Putin, daripada semua yang saya lihat, tidak menghormati orang ini."

Jawapan Cik Clinton tajam: "Nah, itu kerana dia lebih suka mempunyai seorang boneka sebagai presiden Amerika Syarikat." - Reuters, AFP

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:01
Zuhur
1:08
Asar
4:33
Maghrib
7:12
Isyak
8:28
3 HR PSI: 28
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.