WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata pemimpin syarikat teknologi utama dunia bersetuju mengawal sendiri pembangunan kecerdasan buatan (AI).

Ini dilaksanakan menerusi satu komitmen yang disifatkannya sebagai “mengikat dari segi moral”, ketika kebimbangan terhadap risiko teknologi itu semakin meningkat.

Persetujuan yang dikenali sebagai Perjanjian Rumah Putih itu dicapai dalam pertemuan di Rumah Putih pada 29 September yang menghimpunkan pemimpin utama industri AI, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Encik Jensen Huang; Presiden OpenAI, Encik Greg Brockman; dan Ketua Pegawai Eksekutif Anthropic, Encik Dario Amodei.

Turut hadir ialah pengasas Amazon, Encik Jeff Bezos; Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Encik Satya Nadella; Ketua Pegawai Eksekutif Google, Encik Sundar Pichai; Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Encik Mark Zuckerberg; dan Encik Elon Musk.

“Mereka akan mengawal diri mereka sendiri,” kata Encik Trump selepas pertemuan itu.

Menurut beliau, pemimpin syarikat teknologi terbabit menandatangani dokumen yang menyatakan komitmen mereka untuk memastikan pembangunan AI dilakukan secara bertanggungjawab.

Namun, persetujuan itu tidak mempunyai kuasa undang-undang dan syarikat yang menandatanganinya tidak boleh dikenakan tindakan hanya kerana gagal mematuhinya.

Perjanjian Rumah Putih bagaimanapun membuka kemungkinan supaya beberapa langkah yang dipersetujui itu akhirnya dimasukkan ke dalam undang-undang atau peraturan rasmi sekiranya dianggap perlu.

Encik Zuckerberg berkata persetujuan tersebut bertujuan memberi keyakinan kepada pengguna bahawa teknologi AI akan berfungsi mengikut tujuan asalnya dan mempunyai perlindungan mencukupi bagi mengurangkan risiko.

Antara langkah yang dipersetujui ialah memperkenalkan kawalan dalaman yang kukuh serta beberapa peringkat audit.

Ini termasuk penilaian risiko oleh syarikat sendiri, audit oleh pihak luar dan pengawasan lembaga pengarah syarikat.

Encik Zuckerberg menyifatkan persetujuan itu sebagai titik permulaan ke arah mewujudkan piawaian keselamatan yang lebih luas bagi seluruh industri AI.

Encik Musk pula berkata pendekatan tersebut pada dasarnya bermakna syarikat teknologi akan saling menilai langkah keselamatan masing-masing.

Beliau menyifatkannya seperti “menilai kerja rumah satu sama lain”, yang menurutnya lebih baik daripada membiarkan setiap syarikat menilai prestasinya sendiri.

Pertemuan itu diadakan ketika kebimbangan mengenai perkembangan pesat AI semakin meningkat di Washington.

Anggota Kongres berdepan tekanan supaya memperketat kawal selia atau memperlahankan pembangunan AI berikutan kebimbangan bahawa teknologi tersebut boleh menggantikan pekerjaan manusia dan membawa perubahan besar kepada masyarakat.

Isu keselamatan turut mendapat perhatian selepas beberapa kejadian membabitkan sistem AI autonomi yang dilaporkan gagal beroperasi dalam batasan yang ditetapkan.

OpenAI pada 28 September turut mengumumkan pembatalan pelancaran model terbaharunya, Astra 6.1, selepas ujian dalaman mendapati sistem itu tidak memenuhi piawaian keselamatan syarikat.

Perkembangan itu menyerlahkan dilema yang dihadapi industri AI – bagaimana mempercepat pembangunan teknologi yang dianggap penting kepada pertumbuhan ekonomi sambil memastikan sistem yang semakin berkuasa itu tidak membawa risiko yang sukar dikawal.

Encik Trump selama ini menggesa Amerika mempercepat pembangunan AI bagi memastikan negara itu kekal mendahului China.

Beliau berpandangan bahawa negara yang menguasai teknologi AI akan memperoleh kelebihan besar dari segi ekonomi dan strategik.

Selepas pertemuan itu, Encik Trump turut berkata beliau mahu teknologi berkenaan dikenali sebagai ‘super intelligence’ atau ‘kecerdasan super’, bukannya kecerdasan buatan, kerana menurutnya teknologi itu “bukan buatan”.

Pada masa sama, pembangunan pusat data berskala besar yang diperlukan untuk mengendalikan sistem AI semakin menjadi isu politik di Amerika.

Penduduk di sesetengah kawasan bimbang pusat data akan meningkatkan penggunaan elektrik, sekali gus mendorong kenaikan bil tenaga, selain menggunakan bekalan air dan tanah dalam jumlah besar.

Encik Trump bagaimanapun berkata syarikat AI akan memberi manfaat kepada masyarakat yang menerima pembinaan pusat data.

“Mereka akan membantu sekolah, mereka akan membantu guru,” katanya.

Dalam kalangan syarikat AI sendiri, masih terdapat perbezaan pandangan mengenai sejauh manakah teknologi itu perlu dikawal.

OpenAI dan Anthropic, misalnya, pernah memberi amaran secara terbuka mengenai risiko pembangunan sistem AI yang semakin berkuasa tanpa perlindungan keselamatan mencukupi, walaupun kedua-duanya terus membangunkan teknologi tersebut.

Anthropic juga dilaporkan memberi amaran kepada pelabur mengenai kemungkinan risiko besar terhadap manusia daripada AI yang tidak terkawal menjelang rancangan syarikat itu untuk melaksanakan Tawaran Awam Awal (IPO).

Encik Amodei berkata persaingan untuk menguasai AI sememangnya penting kepada Amerika, tetapi risiko teknologi tersebut juga tidak boleh diketepikan.

“Seperti yang Presiden katakan, siapa yang memenangi AI, akan menang. Saya fikir itu sangat penting,” katanya.

“Tetapi saya fikir teknologi ini mempunyai risiko yang sangat nyata, dan mekanisme bagaimana kita menangani risiko tersebut masih dalam perbincangan.” – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti