WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menaiki penerbangan rasmi pertama pada 1 Julai menggunakan pesawat Boeing 747 mewah yang diterima sebagai hadiah daripada Qatar.

Ia sekali gus mencetuskan semula perdebatan mengenai isu etika dan penggunaan dana awam di negara itu.

Pesawat bernilai kira-kira AS$400 juta ($540 juta) itu secara rasmi menyertai armada, Air Force One, selepas menjalani pengubahsuaian besar termasuk peningkatan sistem keselamatan sebelum dibenarkan digunakan bagi penerbangan presiden.

Encik Trump menggunakan pesawat berkenaan untuk terbang ke North Dakota bagi menghadiri lawatan ke Perpustakaan Presiden Theodore Roosevelt yang baharu.

Encik Trump menerima pesawat berkenaan daripada Qatar pada Mei 2025 meskipun berdepan kritikan hebat daripada ahli politik pembangkang dan kumpulan pemantau etika.

Beliau bagaimanapun mempertahankan tindakannya dengan menyatakan bahawa pesawat itu diperlukan sebagai pengganti sementara kepada armada, Air Force One, sedia ada yang sudah berusia lebih 35 tahun.

Menurut beliau, pesawat dari Qatar itu akan digunakan sebagai “pesawat jambatan” sehingga Boeing menyiapkan pesawat, Air Force One, baharu yang ditempah pemerintah Amerika dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi.

“Saya meminta Amir Qatar sama ada kami boleh menggunakan salah sebuah pesawat mereka buat sementara waktu,” kata Encik Trump kepada wartawan.

“Ia adalah hadiah daripada sebuah negara yang melayan kami dengan sangat baik. Qatar ialah sekutu kami di Timur Tengah.”

Encik Trump turut menyifatkan pesawat baharu itu sebagai peningkatan besar berbanding armada lama, Air Force One, yang menurutnya sudah ketinggalan zaman berbanding pesawat moden lain.

“Tiada sesiapa dapat menandingi pesawat ini,” katanya ketika memperkenalkan pesawat berkenaan.

Sebelum berlepas pada 1 Julai, Encik Trump berkata rakyat Amerika seharusnya berbangga dengan pesawat itu.

“Sejujurnya, saya teruja dengan penerbangan pertama ini,” katanya.

“Anda boleh memilih untuk tidak menonjolkannya atau mempamerkannya. Saya fikir negara ini patut berbangga dengannya. Ia sangat cantik.”

Ketika ditanya mengenai kos pengubahsuaian yang ditanggung pembayar cukai Amerika, Encik Trump berkata jumlahnya kecil berbanding kos membeli pesawat baharu yang setanding melalui kaedah biasa.

Walaupun begitu, penggunaan pesawat hadiah daripada negara asing itu terus mengundang kontroversi di Washington.

Ahli Parti Demokrat menyifatkan penerimaan pesawat mewah itu sebagai “rasuah terang-terangan” dan membangkitkan persoalan mengenai kemungkinan konflik kepentingan serta pengaruh asing terhadap Rumah Putih.

Beberapa pakar undang-undang turut mempersoalkan sama ada penerimaan hadiah bernilai tinggi daripada pemerintah asing melanggar peraturan persekutuan Amerika.

Namun, Encik Trump menolak semua kritikan itu dan menegaskan pesawat berkenaan hanya digunakan sementara sebelum Boeing menghantar armada, Air Force One, yang baharu pada 2028.

Pesawat Boeing 747 itu turut diubah suai mengikut cita rasa Encik Trump dengan warna biru gelap di bahagian bawah badan pesawat serta jalur merah dan emas.

Menurut laporan media Amerika, pesawat itu dilengkapi pelbagai kemudahan mewah termasuk permaidani tebal, tempat duduk yang boleh dibaringkan sepenuhnya, panel kayu eksklusif dan lambang presiden pada tali pinggang keledar.

Encik Trump sebelum ini berkata pesawat itu kemungkinan akan ditempatkan di perpustakaan presidennya selepas tamat digunakan oleh pemerintah Amerika. – Agensi berita.