Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump, Harris semarak kempen saat akhir pada pilihan raya AS

Usaha pikat pengundi di negeri ‘atas pagar’ Pennsylvania jelang hari mengundi 5 Nov yang turut jadi tumpuan seluruh dunia
Nov 5, 2024 | 1:52 PM
Kertas undi dikira pada tengah malam di ruang tamu Tillotson House di Balsams Grand Resort, di Dixville Notch, New Hampshire, menandakan undi pertama dalam pilihan raya Amerika Syarikat pada 5 November. 
Kertas undi dikira pada tengah malam di ruang tamu Tillotson House di Balsams Grand Resort, di Dixville Notch, New Hampshire, menandakan undi pertama dalam pilihan raya Amerika Syarikat pada 5 November.  - Foto AFP

PITTSBURGH: Encik Donald Trump dan Cik Kamala Harris menunjukkan keyakinan akan memenangi pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada hari terakhir kempen di Pennsylvania, di tengah-tengah persaingan sengit antara dua calon itu.

Dalam baki jam-jam terakhir berkempen, mereka memberikan tumpuan di beberapa negeri ‘atas pagar’, dengan fokus di Pennsylvania, yang dilihat sebagai negeri paling berkemungkinan menjadi penentu sama ada Cik Harris, daripada parti Demokrat, atau Encik Trump, daripada parti Republikan, akan menerima mandat sebagai Presiden Amerika ke-47.

Kempen menjelang hari mengundi pada 5 November, yang turut menjadi tumpuan seluruh dunia, dipenuhi pelbagai kejutan. Ini termasuk isu dua percubaan bunuh dan sabitan jenayah terhadap Encik Trump, serta kebangkitan mendadak Cik Harris ke kedudukan teratas setelah Presiden Joe Biden, yang berusia 81 tahun, menarik pencalonannya.

Sejak Mac, lebih AS$2.6 bilion ($3.4 bilion) dibelanjakan untuk mempengaruhi pengundi, menurut syarikat analitik AdImpact.

Tinjauan pendapat menunjukkan Encik Trump, 78 tahun, dan Cik Harris, 60 tahun, berada dalam kedudukan yang sangat rapat, hingga pemenang mungkin tidak diketahui selama beberapa hari setelah pengundian.

Encik Trump telah memberi isyarat bahawa beliau akan mencabar sebarang kekalahan, seperti yang dilakukannya pada 2020.

Kedua-dua calon berkumpul di Pennsylvania pada 5 November untuk meminta penyokong yang belum mengundi agar hadir pada hari mengundi.

Di hadapan ribuan penyokong di Pittsburgh, Encik Trump menyampaikan pesanan terakhir kepada pemilih. “Kita telah menunggu selama empat tahun untuk saat ini,” ujar Encik Trump, yang berusaha bangkit semula selepas kalah kepada Encik Biden pada pilihan raya 2020.

Dalam ucapannya, Encik Trump menekankan isu ekonomi, dengan mendakwa bahawa pemilihan Cik Harris akan membawa kesengsaraan ekonomi.

“Undi untuk Trump bermakna belanja harian anda akan lebih rendah, gaji anda akan lebih tinggi, jalan raya anda akan lebih selamat, komuniti anda akan lebih kaya, dan masa depan anda akan lebih cerah dari sebelumnya,” kata beliau.

Sementara itu di Allentown, Cik Harris juga yakin akan kemenangannya dan berjanji akan menjadi presiden bagi “semua rakyat Amerika”, sambil menyuarakan keprihatinan kepada komuniti Puerto Rico yang besar di bandar itu, yang marah mengenai penghinaan yang dilontarkan oleh seorang pelawak di acara kempen Encik Trump sebelum ini.

Setelah itu, Cik Harris berkunjung ke rumah pengundi di Reading dan mengadakan satu kempen singkat di Pittsburgh, tempat bintang pop Katy Perry membuat persembahan. Cik Harris merancang untuk menutup harinya dengan acara yang dipenuhi selebriti di Philadelphia.

“Esok adalah hari mengundi dan momentum berada pada pihak kita,” kata Cik Harris di Pittsburgh. “Kita tahu sudah tiba masanya untuk generasi kepimpinan baru di Amerika... Dan jangan sekali-kali ragu, kita akan menang,” tambah Cik Harris, dengan disambut oleh sorakan penyokong yang bersemangat.

Pasukan kempen Cik Harris menyatakan bahawa sukarelawan mereka telah mengetuk pintu ratusan ribu rumah di setiap negeri medan pertempuran hujung minggu. Mereka juga mengemukakan data dalaman yang menunjukkan bahawa pemilih yang belum membuat keputusan kini cenderung menyokong mereka, serta peningkatan dalam pengundian awal di kalangan kelompok inti mereka, termasuk pemilih muda dan pemilih kulit berwarna.

Encik Tom Bonier, ketua firma analitik Demokrat TargetSmart, mengatakan bahawa undian awal menunjukkan semangat tinggi di kalangan kelompok penyokong Demokrat, terutama wanita. Namun, tidak ada tanda-tanda peningkatan yang sama di kalangan lelaki muda, yang merupakan sasaran utama kempen Encik Trump.

Pada pihak Encik Trump, pegawai kempen mengatakan mereka memantau hasil undi awal yang menunjukkan lebih ramai wanita mengundi berbanding lelaki.

Ini penting memandangkan Cik Harris mendahului Encik Trump dengan 50 peratus berbanding 38 peratus dalam kalangan pengundi wanita berdaftar, sementara Encik Trump mendahului dalam kalangan lelaki dengan 48 peratus berbanding 41 peratus.

“Para lelaki mesti mengundi!” tulis Encik Elon Musk, seorang penyokong Trump yang terkenal, di platform media sosial X. Kempen Encik Trump telah menyerahkan sebahagian besar kerja jangkauan pemilih kepada kumpulan luar, termasuk yang dikendalikan oleh Encik Musk, yang menumpukan perhatian kepada penyokong yang tidak secara konsisten mengundi, bukannya pemilih yang tidak membuat keputusan.

Dalam temu bual dengan wartawan, pegawai kempen Encik Trump menyatakan keyakinan mereka untuk menang dengan melihat prestasi undian awal yang baik di beberapa negeri. “Angka menunjukkan bahawa Presiden Trump akan memenangi perlumbaan ini,” kata penasihat kanan Encik Jason Miller kepada wartawan.

Di sebalik semua dakwaan pasukan Trump, Cik Harris dan pasukannya tetap tenang dan menekankan bahawa cubaan Trump untuk mengaitkan penipuan dalam pilihan raya tidak akan berjaya. “Pemilih yang memilih presiden, bukan Donald Trump,” kata Cik Dana Remus, penasihat undang-undang kempen Cik Harris.

Sementara itu, Encik Trump merancang untuk berkempen di Pittsburgh dan Grand Rapids, Michigan, sebelum kembali ke Palm Beach, Florida, untuk mengundi dan menunggu keputusan pilihan raya.

Cik Harris merancang berkempen di Pittsburgh dan Philadelphia, dengan menutup kempennya di depan Muzium Seni Philadelphia, yang menampilkan Lady Gaga, Ricky Martin, dan Oprah Winfrey. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg