WASHINGTON: Bakal Presiden Donald Trump berkata pada Selasa (22 Nov) beliau "ingin sekali" mencapai perjanjian bagi menamatkan konflik sukar antara Israel dan Palestin, walaupun sejarah percubaan Amerika Syarikat mencapai damai Timur Tengah penuh dengan pasang surut.
"Saya ingin sekali menjadi orang yang mencapai perdamaian antara Israel dan Palestin, ini akan menjadi satu pencapaian besar," kata Encik Trump dalam satu temu bual dengan akhbar The New York Times (NYT).
Seorang wartawan NYT menulis satu tweet bahawa Encik Trump juga mencadangkan bahawa menantunya, Encik Jared Kushner, boleh membantu mencapai perjanjian itu.
Encik Kushner, suami anak Encik Trump, Ivanka, daripada keluarga Ortodok Yahudi. Ahli perniagaan yang juga pelabur itu penasihat rapat Encik Trump semasa kempen pilihan raya presiden.
Selepas kemenangan Encik Trump, Encik Kushner dilaporkan meminta akses kepada taklimat keselamatan harian Rumah Putih yang diberi kepada bapa mentuanya.
Encik Trump menimbulkan kemarahan Palestin dengan mencadangkan Baitulmakdis diiktiraf sebagai ibu kota Israel. Idea ini bertentangan dengan dasar lama Amerika.
Golongan kanan Israel gembira dengan kemenangan Encik Trump kerana melihat ia sebagai tanda boleh meneruskan atau mempercepat pembinaan penempatan Yahudi di wilayah Palestin yang diduduki Israel, dan malah berakhirnya idea penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka.
Setiausaha Negara Amerika, Encik John Kerry, cuba selama beberapa bulan, tetapi gagal, membawa Israel dan Palestin ke meja rundingan damai. Rundingan langsung antara dua pihak itu berakhir dua setengah tahun lalu. - AFP