PALM BEACH, FLORIDA – Encik Donald Trump mengumumkan kemenangan dalam Pilihan Raya Presiden AS 2024 setelah Fox News meramalkan beliau telah menewaskan calon Demokrat, Cik Kamala Harris, dalam satu kejutan besar yang membawa Trump kembali ke Rumah Putih empat tahun selepas kekalahan sebelumnya.
Encik Trump menyatakan, “Amerika telah memberikan mandat yang luar biasa kepada kita,” di hadapan ribuan penyokong yang bersorak di Palm Beach County Convention Center.
Meskipun rangkaian berita lain belum mengesahkan kemenangan Trump, beliau hampir pasti meraih kemenangan selepas menguasai negeri medan tempur seperti Pennsylvania, North Carolina, dan Georgia, serta mendahului di beberapa negeri lain.
Kembalinya Trump ke Rumah Putih dilihat sebagai kejayaan politik yang luar biasa setelah kekalahan kepada Joe Biden pada 2020.
Di Washington, kem Cik Harris yang berkumpul di Universiti Howard, institusi pendidikan beliau, menyaksikan kekecewaan apabila Cik Harris memilih untuk tidak berucap kepada penyokongnya. Sebaliknya, pengarah kempen beliau, Encik Cedric Richmond, memberi ucapan ringkas selepas tengah malam, mengingatkan bahawa undi masih dikira dan menyatakan bahawa peluang Cik Harris masih ada.
Di sebalik cabaran yang dihadapinya sebelum ini, Encik Trump menunjukkan prestasi luar biasa, malah berjaya menarik lebih banyak sokongan daripada komuniti Hispanik serta kelompok isi rumah berpendapatan rendah yang terkesan dengan kenaikan harga sejak pilihan raya lepas.
erdasarkan tinjauan Encik Trump meraih 45 peratus sokongan pengundi Hispanik – peningkatan 13 peratusan mata berbanding 2020. Dalam kalangan pengundi yang menyatakan ekonomi sebagai isu utama mereka, Trump mendahului dengan margin 79 peratus berbanding 20 peratus.
Keputusan awal ini turut memberi impak kepada pasaran kewangan global, di mana pelabur semakin yakin dengan kemenangan Encik Trump. Nilai dolar dan niaga hadapan saham AS melonjak, bersama kenaikan kadar hasil perbendaharaan serta bitcoin – semuanya dilihat sebagai petanda keyakinan terhadap kemenangan Encik Trump. - Reuters
Kini, dengan undi yang masih dikira dan hasil akhir masih dinantikan, kemenangan Trump yang hampir pasti ini membayangkan perubahan besar dalam landskap politik AS, mengukuhkan mandat Republikan dalam menguasai Senat dan meningkatkan peluang untuk melaksanakan agenda mereka.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg