NEW JERSEY: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, mencuri perhatian pada perlawanan akhir Piala Dunia 2026 apabila beliau bukan sahaja disambut dengan ejekan para penyokong, malah kekal berada di pentas ketika pemain Sepanyol meraikan kejayaan menjulang trofi selepas menewaskan Argentina 1-0.

Trump, yang hadir bersama Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Gianni Infantino, menerima sorakan bercampur-campur sebaik melangkah masuk ke padang Stadium MetLife bagi menghadiri upacara penyampaian trofi.

Sorakan “boo” dan siulan kedengaran jelas di dalam stadium, serta menerusi siaran televisyen ketika kamera menyorot ke arah beliau, yang melambai kepada penyokong.

Walaupun menerima reaksi negatif, Trump tetap kelihatan tenang dan menikmati perhatian ramai.

Beliau turut melakukan gerakan ringkas tarian ikoniknya, yang sering digelar “tarian Trump”, di hadapan pemain Sepanyol sebelum upacara penyerahan trofi.

Detik paling mencuri perhatian berlaku apabila Trump terus berdiri di atas pentas ketika skuad Sepanyol mengangkat trofi kejuaraan.

Infantino dilihat cuba membimbing beliau meninggalkan pentas, namun Trump terus berada bersama para pemain ketika mereka meraikan kemenangan.

Beliau kemudian menyerahkan trofi bersama Infantino, kepada kapten Sepanyol sebelum pasukan itu memulakan sambutan kejuaraan.

Trump tiba di stadium menggunakan helikopter rasmi Marine One dan menyaksikan perlawanan bersama Wanita Pertama Melania Trump, serta Infantino di ruang khas tetamu kehormat.

Turut berada berhampiran beliau ialah Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum; Perdana Menteri Canada, Mark Carney, dan Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez.

Kehadiran mereka menarik perhatian, memandangkan hubungan Washington dengan Mexico dan Canada masih tegang, susulan dasar imigresen serta ancaman tarif yang diperkenalkan pentadbiran Trump.

Trump turut berjabat tangan dengan Sanchez walaupun sebelum ini beliau mengkritik Sepanyol, berhubung perbelanjaan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) serta pendiriannya terhadap konflik Iran.

Sebelum sepakan bermula, Trump meramalkan Argentina mempunyai kelebihan untuk muncul juara kerana dibarisi kapten Lionel Messi.

Beliau turut memuji Presiden Argentina Javier Milei, yang tidak menghadiri perlawanan itu, kerana berpegang pada kepercayaan karut bahawa kehadirannya boleh membawa nasib malang kepada pasukan kebangsaan.

“Messi mampu memberikan kelebihan kepada Argentina. Javier Milei (presiden Argentina), ialah rakan saya dan beliau telah melakukan tugas yang hebat,” kata Trump.

Namun, ramalan itu meleset apabila Sepanyol muncul juara menerusi kemenangan tipis 1-0.

Ini merupakan kali pertama Trump menghadiri perlawanan Piala Dunia sepanjang dua penggal pentadbirannya, walaupun beliau aktif mempromosikan kejohanan itu sejak Amerika dipilih sebagai tuan rumah bersama Mexico dan Canada.

Sebelum ini, beliau beberapa kali menggelar Piala Dunia 2026 sebagai kejohanan sukan paling berjaya dalam sejarah.

“Ini mungkin acara sukan paling berjaya dalam sejarah dunia. Ia luar biasa,” katanya pada majlis sambutan Fifa di Trump Tower beberapa hari sebelum perlawanan akhir.

Trump berkata kejohanan itu turut berjaya meningkatkan populariti bola sepak di Amerika.

“Kita kini sebuah negara bola sepak dan saya percaya ia akan kekal begitu,” katanya sambil mendedahkan anaknya, Barron Trump, merupakan peminat tegar sukan itu.

Namun, penglibatan Trump sepanjang kejohanan turut mencetuskan beberapa kontroversi.

Pada awal Julai, beliau dilaporkan menghubungi Infantino bagi meminta Fifa menyemak semula kad merah yang diterima penyerang Amerika, Folarin Balogun, sekali gus mencetuskan kritikan mengenai campur tangan politik dalam urusan sukan.

Selain itu, dasar imigresen pentadbiran Trump turut menyebabkan sebahagian penyokong luar negara berdepan kesukaran mendapatkan visa untuk menghadiri kejohanan.

Hubungan rapat Trump dengan Infantino juga terus menjadi perhatian, apabila kedua-duanya kerap muncul bersama dalam beberapa acara rasmi Fifa sejak beberapa tahun lalu.

Infantino sebelum ini menyifatkan hubungan baik dengan Trump sebagai penting, dalam memastikan penganjuran Piala Dunia 2026 berjalan lancar.

Kehadiran Trump pada perlawanan akhir turut menyebabkan kawalan keselamatan diperketatkan di sekitar Stadium MetLife.

Beberapa kumpulan aktivis mengadakan bantahan aman di luar stadium dengan mengagihkan kad merah kepada penyokong sebagai simbol bantahan terhadap Trump, Infantino serta dakwaan campur tangan politik dalam bola sepak.

Trump sebelum ini pernah menerima reaksi bercampur ketika menghadiri beberapa acara sukan utama, termasuk Super Bowl, Terbuka Amerika dan perlawanan akhir NBA.

Bagaimanapun, sorakan mengejek pada perlawanan akhir Piala Dunia kali ini dilihat antara yang paling ketara, khususnya di New Jersey yang majoriti pengundinya menyokong Parti Demokrat dalam pilihan raya presiden 2024.

Walaupun berdepan kritikan daripada sebahagian penyokong, Trump tetap menyifatkan Piala Dunia 2026 sebagai kejayaan besar dan berharap kejohanan itu dapat kembali dianjurkan di Amerika pada masa depan, walaupun Fifa telah menetapkan edisi 2030 akan berlangsung di Sepanyol, Portugal dan Maghribi, manakala Arab Saudi menjadi tuan rumah pada 2034. – Agensi berita.