MIAMI: Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Gianni Infantino, mungkin disiasat oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Ini selepas kumpulan hak asasi manusia FairSquare mengumumkan pada 8 Julai bahawa mereka akan memfailkan aduan yang mendakwa beliau melanggar peraturan berkecuali politik dengan menyokong Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

FairSquare berkata aduan itu akan dikemukakan kepada IOC berhubung “pelanggaran berulang terhadap peraturan berkecuali politik” oleh Infantino.

Infantino telah menjadi ahli IOC sejak 2020.

FairSquare sebelum ini memfailkan aduan kepada Jawatankuasa Etika Fifa pada Disember 2025, dengan memetik beberapa contoh di mana Infantino “menyatakan sokongan terbuka terhadap tindakan dan dasar” Trump.

“Ia juga meminta Jawatankuasa Etika menyiasat peranan Infantino dalam keputusan memperkenalkan Hadiah Keamanan Fifa, keputusan menganugerahkannya kepada Trump, serta sama ada proses itu mematuhi peraturan prosedur Fifa,” kata FairSquare.

Reuters telah menghubungi Fifa untuk mendapatkan ulasan.

FairSquare mendakwa Infantino melanggar kod etika Fifa yang menghendaki pegawainya tidak memihak dalam hal politik.

Individu yang terikat dengan kod itu tidak boleh memihak dalam urusan rasmi.

Sebarang pelanggaran boleh dikenakan denda sekurang-kurangnya 10,000 franc Switzerland ($16,005) serta larangan sehingga dua tahun daripada sebarang kegiatan bola sepak.

Aduan tersebut turut meminta Jawatankuasa Etika menyiasat sama ada keputusan memperkenalkan Hadiah Keamanan tahunan dan menganugerahkannya kepada Trump semasa majlis undian Piala Dunia dibuat oleh Majlis Fifa atau oleh Infantino sendiri.

“Jika Infantino bertindak sendirian tanpa kuasa berkanun, perkara ini wajar dianggap sebagai penyalahgunaan kuasa yang amat serius,” kata FairSquare.

Presiden IOC, Kirsty Coventry, berkata pada 7 Julai bahawa tiada aduan telah diterima untuk dipertimbangkan, namun menambah:

“Sudah tentu, jika mereka menerimanya, mereka akan menelitinya.”

Walaupun Sekretariat Dewan Penyiasatan Fifa mengesahkan pihaknya telah menerima aduan itu pada Disember, badan induk bola sepak dunia itu tidak memberikan “sebarang petunjuk” bahawa siasatan telah dimulakan, menurut FairSquare.

Dalam surat yang dilihat Reuters, Fifa memberitahu FairSquare bahawa urusetianya boleh memulakan siasatan awal terhadap kemungkinan pelanggaran Kod Etika Fifa atas arahan Pengerusi Dewan Penyiasatan.

Bagaimanapun, pemfailan aduan tidak menjamin prosiding etika akan dibuka, manakala pengadu tidak akan menerima perkembangan lanjut atas alasan kerahsiaan.

FairSquare telah melancarkan satu kempen awam bagi menuntut pembaharuan serius Fifa yang bertajuk ‘Reboot’, seminggu sebelum Piala Dunia bermula.

Minggu lalu, FairSquare berkata 50 Anggota Parlimen Eropah telah menulis surat kepada Jawatankuasa Etika Fifa untuk menyatakan sokongan terhadap aduan itu.

Persekutuan Bola Sepak Norway juga secara rasmi menyokong satu aduan rasmi serta meminta Jawatankuasa Etika itu menilai sama ada Infantino telah melanggar peraturan Fifa yang melarang pegawainya memihak dalam hal politik, berikutan penganugerahan Hadiah Keamanan itu dan tindakan-tindakan yang berkaitan.

Baru-baru ini, Fifa telah menggantung larangan kad merah ke atas pemain penyerang Amerika, Folarin Balogun, dan membolehkannya beraksi menentang Belgium selepas Trump menggesa Infantino menyemak semula kes itu. Amerika tewas 4-1 dalam perlawanan tersebut.

Bagaimanapun, Infantino menafikan beliau terlibat dalam keputusan muktamad itu. – Agensi berita.