Topik diikuti
Pergi ke BHkuFifa tarik balik penggantungan pemain AS selepas campur tangan Trump
Fifa tarik balik penggantungan pemain AS selepas campur tangan Trump
Fifa tarik balik penggantungan pemain AS selepas campur tangan Trump
WASHINGTON: Keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) menarik balik penggantungan penyerang utama Amerika Syarikat, Folarin Balogun, mencetuskan kontroversi besar apabila laporan mendakwa Presiden Amerika, Donald Trump sendiri campur tangan bagi membantu pemain itu kembali beraksi dalam Piala Dunia.
Balogun sebelum ini dikenakan kad merah ketika Amerika menewaskan Bosnia Herzegovina pada 1 Julai lalu, sekali gus membawa hukuman penggantungan automatik satu perlawanan menjelang aksi penting menentang Belgium pada 6 Julai.
Bagaimanapun, Fifa pada 5 Julai mengumumkan Balogun dibenarkan bermain semula selepas hukuman itu digantung selama tempoh percubaan setahun.
Menurut beberapa individu yang mengetahui perbualan tersebut, Trump dikatakan menghubungi Presiden Fifa, Gianni Infantino, beberapa jam selepas perlawanan dan meminta badan induk bola sepak dunia itu menyemak semula penggantungan Balogun.
Keputusan Fifa itu dianggap luar biasa kerana ia kali pertama sejak 1962 seorang pemain dibenarkan beraksi walaupun sepatutnya menjalani penggantungan akibat kad merah dalam Piala Dunia.
Tidak lama selepas Balogun dilayangkan kad merah, beberapa pegawai kanan pentadbiran Trump termasuk Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick, dan pengarah eksekutif pasukan petugas Rumah Putih bagi Piala Dunia, Andrew Giuliani, dilaporkan mendapatkan khidmat peguam untuk membantu Persekutuan Bola Sepak Amerika membuat rayuan.
Menurut sumber, pihak Amerika berhujah kad merah itu tidak sepatutnya diberikan kerana pengadil menggunakan tayangan ulang gerak perlahan ketika membuat keputusan.
Namun, penggunaan video bantuan pengadil (VAR) dan tayangan ulang semula adalah prosedur biasa dalam bola sepak moden dan banyak pemain lain sebelum ini turut dilayangkan kad merah selepas semakan video.
Kontroversi semakin memuncak apabila pengurus dana lindung nilai yang juga penderma utama bola sepak Amerika, Scott Goodwin, membangkitkan semula dakwaan lama terhadap pengadil Brazil, Raphael Claus, kepada pegawai pentadbiran Trump.
Claus pernah dikaitkan dengan dakwaan pemberian kad merah yang mencurigakan dalam beberapa perlawanan di Brazil. Bagaimanapun, Fifa dan pihak berkuasa Brazil sebelum ini menyatakan tiada bukti yang menunjukkan beliau terbabit dalam sebarang salah laku.
Trump dilaporkan membangkitkan dakwaan itu ketika bercakap dengan Infantino.
Dalam perlawanan menentang Bosnia Herzegovina di Santa Clara, California, Balogun sebelum itu membuka jaringan untuk Amerika sebelum terlibat dalam perebutan bola dengan pemain lawan.
Kakinya didakwa terpijak buku lali pemain Bosnia hingga menyebabkan kecederaan, sebelum pengadil menukar keputusan asal selepas semakan video dan melayangkan kad merah.
Pada 5 Julai, Fifa mengesahkan Balogun layak diturunkan menentang Belgium.
“Selaras dengan Artikel 27 Kod Disiplin FIFA, pelaksanaan penggantungan perlawanan itu ditangguhkan bagi tempoh percubaan selama setahun,” kata Fifa dalam kenyataan.
Fifa bagaimanapun tidak menjelaskan mengapa Balogun tidak dikenakan penggantungan automatik seperti pemain lain yang menerima kad merah sepanjang kejohanan.
Trump kemudian meraikan keputusan itu menerusi platform Truth Social.
“Terima kasih kepada Fifa kerana melakukan perkara yang betul dan membetulkan ketidakadilan besar,” tulis beliau.
Presiden Amerika itu juga dilaporkan menghubungi jurulatih Amerika, Mauricio Pochettino, untuk mengucapkan selamat maju jaya menjelang aksi menentang Belgium.
Pochettino pula mempertahankan pasukannya ketika sidang media.
“Kami bukan pihak jahat,” katanya.
Sementara itu, Belgium bertindak balas dengan penuh kemarahan terhadap keputusan Fifa.
Dalam kenyataan rasmi, Persekutuan Bola Sepak Belgium menyatakan mereka “terkejut” dengan tindakan Fifa membenarkan Balogun bermain walaupun digantung.
“Kami sedang meneliti semua pilihan yang ada,” menurut kenyataan itu.
Belgium turut mendakwa Fifa bertindak bertentangan dengan peraturannya sendiri serta taklimat rasmi yang diberikan kepada semua pasukan sebelum kejohanan bermula.
Laporan media antarabangsa turut mendedahkan kewujudan memorandum tiga halaman disediakan peguam yang pernah bekerja dengan Trump bagi membantu Persekutuan Bola Sepak Amerika mencari ruang dalam peraturan disiplin Fifa untuk mengukuhkan rayuan mereka.
Dokumen itu dikatakan mencadangkan Fifa mempunyai peraturan yang kabur mengenai kad merah sehingga membuka peluang untuk rayuan dibuat, malah mencadangkan Amerika menggunakan hujah hak negara dan ancaman membawa kes ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Kes itu turut menimbulkan persoalan baharu mengenai hubungan rapat antara Infantino dan Trump.
Sebelum ini, Fifa pernah menghadiahkan “Anugerah Keamanan Fifa” kepada Trump ketika beliau sedang berusaha memenangi Hadiah Nobel Keamanan.
Presiden Persekutuan Bola Sepak Norway turut menyertai aduan etika terhadap Infantino atas dakwaan melanggar prinsip berkecuali politik FIFA susulan hubungan rapatnya dengan Trump.
Pengkritik turut membandingkan layanan diberikan kepada Balogun dengan layanan lebih ketat terhadap Iran sepanjang kejohanan.
Pemain Iran sebelum ini diwajibkan tinggal di Mexico dan dihadkan tempoh berada di Amerika susulan ketegangan politik antara kedua-dua negara.
Keputusan membenarkan Balogun bermain dianggap memberi kelebihan besar kepada Amerika yang sedang memburu tempat ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 24 tahun.
Beberapa pegawai kanan bola sepak antarabangsa secara tertutup turut mempersoalkan sama ada keputusan itu kini membuka duluan baharu untuk pasukan lain menuntut pemain mereka dibenarkan bermain semula selepas dikenakan penggantungan.
Kes Balogun juga mengingatkan ramai kepada insiden Piala Dunia 1962 apabila pemain legenda Brazil, Garrincha, dibenarkan bermain di final selepas campur tangan pemerintah Brazil walaupun digantung akibat kad merah di separuh akhir. - Agensi berita
