Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump janji bawa keluar AS dari ‘kemerosotan’

Garis visi baru AS dengan dasar untuk ekonomi, keselamatan dan perubahan sosial
Jan 21, 2025 | 10:58 AM
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menyampaikan ucapan di Arena Capital One pada hari pelantikan penggal kedua pentadbirannya, di Washington, pada 20 Januari.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menyampaikan ucapan di Arena Capital One pada hari pelantikan penggal kedua pentadbirannya, di Washington, pada 20 Januari. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyampaikan ucapan pelantikan penggal kedua beliau pada 20 Januari dengan penuh keyakinan, menggambarkan dirinya sebagai penyelamat yang akan membawa Amerika keluar dari “kekacauan radikal dan korup” yang dikatakan telah mencengkam negara itu selama bertahun-tahun.

Dalam ucapan selama 29 minit yang berlangsung di Rotunda Capitol, Encik Trump mengisytiharkan bahawa era “kejatuhan Amerika” telah berakhir, dan negara itu kini menuju ke arah “zaman keemasan”.

“Saya diselamatkan Tuhan untuk menjadikan Amerika hebat semula,” katanya dengan penuh emosi. “Seperti yang anda lihat hari ini, di sinilah saya. Rakyat Amerika telah bersuara.”

Encik Trump memulakan ucapan dengan gambaran suram tentang keadaan negara, mendakwa bahawa institusi-institusi asas Amerika telah “rosak dan hampir tidak berfungsi”. Beliau turut menyelar pentadbiran sebelum ini yang dituduhnya gagal menguruskan dengan baik krisis domestik dan antarabangsa.

Namun, kenyataan ini bertentangan dengan fakta bahawa ekonomi Amerika sedang berkembang, inflasi menurun, kadar jenayah keganasan berada pada tahap terendah dalam beberapa tahun, dan tentera Amerika tidak terlibat dalam konflik besar.

“Pilihan raya saya baru-baru ini adalah mandat untuk membalikkan pengkhianatan yang dahsyat ini,” katanya, dengan menyatakan komitmen untuk mengembalikan kepercayaan rakyat, kekayaan dan kebebasan mereka.

Dalam ucapan yang lebih tersusun berbanding gaya spontannya di perhimpunan-perhimpunan sebelum ini, Encik Trump memperincikan dasar-dasar yang akan menjadi keutamaan pentadbirannya.

Antara dasar utama adalah menggunakan kuasa penuh undang-undang untuk membanteras jenayah berkaitan imigran dan kumpulan samseng; menolak dasar kenderaan elektrik dan mengutamakan bahan api fosil; melaksanakan tarif terhadap negara-negara lain tanpa kompromi; serta mengambil alih Terusan Panama dan menukar nama Teluk Mexico kepada Teluk Amerika.

“Kita tidak akan tunduk kepada tekanan atau kompromi,” tegas Encik Trump sambil menerima tepukan gemuruh dari hadirin.

Beliau juga menegaskan bahawa hanya dua jantina akan diiktiraf di Amerika, lelaki dan perempuan, sekali gus membatalkan dasar kepelbagaian gender yang diperkenalkan pentadbiran sebelumnya.

Ucapan beliau mengingatkan ramai kepada pelantikan pertamanya pada 2017, di mana beliau melakar gambaran tentang kemiskinan, jenayah dan keruntuhan infrastruktur di Amerika. Kali ini, beliau menyalahkan pentadbiran terdahulu kerana “cuba menyusun semula sosial dalam aspek bangsa dan jantina”.

Namun, terdapat elemen baru dalam ucapan kedua ini. Encik Trump menyentuh tentang Hari Martin Luther King Jr, dengan berkata: “Saya akan berusaha untuk merealisasikan impian beliau.”

Beliau turut menekankan cita-cita untuk menjadi penyatu dan pembawa damai, walaupun tafsiran ini lebih kepada menyatukan rakyat di bawah agendanya. “Seluruh negara akan bersatu di belakang agenda kita,” katanya.

Ucapan Encik Trump mencetuskan reaksi bercampur dari pelbagai pihak. Penyokongnya memuji keberanian dan visi beliau untuk membawa perubahan drastik. “Trump adalah pemimpin yang kita perlukan untuk menyelamatkan negara,” kata seorang hadirin.

Namun, pengkritiknya mendakwa bahawa retorik beliau hanya memburukkan lagi perpecahan. “Beliau menggambarkan keadaan yang lebih buruk daripada realiti untuk mengukuhkan kuasanya,” kata seorang pakar politik.

Encik Trump mengakhiri ucapannya dengan optimis sambil berkata bahawa rakyat Amerika telah memilih perubahan. “Kita telah menang dengan kuat di tujuh negeri utama dan undi popular. Kita menang dengan jutaan undi,” katanya.

Namun penganalsis berpendapat cabaran besar menanti beliau, termasuk mengekalkan sokongan dua parti dan menangani kesan dasar kontroversi yang bakal diperkenalkannya.

Bagi Encik Trump, penggal kedua ini bukan sekadar kesinambungan, tetapi medan untuk mengukuhkan warisannya sebagai presiden yang tidak gentar berdepan rintangan, sama ada di dalam atau luar negara. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg