STERLING (Virginia): Bakal Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, tiba di kawasan Washington pada 18 Januari bagi sambutan kembalinya beliau ke tampuk kuasa menjelang upacara pelantikan yang terjejas akibat cuaca sejuk yang luar biasa.
Beliau terbang dengan pesawat Air Force yang dihantar oleh Presiden Joe Biden ke Palm Beach, Florida, untuk peralihan kuasa selepas memenangi pilihan raya 5 November 2024 menentang Naib Presiden Kamala Harris.
Isteri Encik Trump, Cik Melania, anak perempuannya Cik Ivanka, dan menantunya, Encik Jared Kushner, turut bersamanya.
Setibanya di lapangan terbang Dulles di Virginia, Encik Trump terus ke kelab golf miliknya di Sterling, yang terletak di pinggir Washington.
Encik Trump, 78 tahun, dijadualkan mengadakan perhimpunan dengan penyokong di Capital One Arena di pusat bandar Washington pada 19 Januari, sehari sebelum majlis pelantikannya serta acara selepas pelantikan pada petang 20 Januari.
Cuaca sejuk pada 20 Januari memaksa Encik Trump memindahkan upacara pelantikan dari depan Capitol ke dalam Rotunda Capitol, dan upacara perarakan ke Capital One Arena.
Encik Trump akan mengangkat sumpah pada 12 tengah hari waktu Amerika (12 malam waktu Singapura, 21 Januari) di Rotunda Capitol, kemudian menyampaikan ucapan pelantikan yang biasanya menetapkan arah penggal empat tahun presiden.
Ini akan menjadi kali pertama sejak pelantikan kedua Encik Ronald Reagan pada Januari 1985, bahawa acara besar ini dipindahkan ke dalam bangunan.
Kebanyakan lebih 220,000 tetamu yang dijadual menonton dari kawasan Capitol tidak dapat menyaksikan upacara angkat sumpah di dalam bangunan.
Hanya sebahagian kecil yang dapat masuk ke Capital One Arena, di mana upacara dan persembahan perarakan akan disiarkan.
Pada 18 Januari, penyokong Encik Trump yang merancang untuk menghadiri pelantikan sudah pun tiba dan bersiar-siar di pusat bandar Washington.
Encik Arthur Caisse, 78 tahun, dan abangnya Encik Richard Caisse, 64 tahun, dari Connecticut, sanggup datang untuk menyaksikan pelantikan kedua Encik Trump, setelah hadir pada 2017.
“Memang mengecewakan, kami sudah berjalan jauh dan dapat tiket, tetapi sekarang mereka kata kami mungkin tidak dapat masuk,” kata Encik Arthur.
“Saya tidak kecewa, Isnin nanti kita akan dapat negara kita semula,” kata Encik Richard.
Setibanya di Rumah Putih pada petang 20 Januari, Encik Trump dijangka menandatangani banyak perintah eksekutif untuk menangani migrasi, meningkatkan pengeluaran tenaga Amerika dan keutamaan lain.
Encik Trump, yang penggal pertamanya dari 2017 hingga 2021, menolak untuk menghadiri pelantikan Presiden Biden, yang mengalahkannya pada 2020.
Beliau meninggalkan Washington ke Florida sebelum majlis itu, dengan janji “akan kembali”.
Dua minggu sebelumnya, penyokong Encik Trump menyerang bangunan Capitol pada 6 Januari 2021, untuk menghalang pengesahan kemenangan Presiden Biden.
Beliau akan menghadiri majlis pelantikan Encik Trump pada 20 Januari. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg