TOKYO: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dijadual ke Jepun pada 27 Oktober untuk pusingan kedua jelajah Asia yang dijangka berakhir dengan pertemuan dengan Presiden China, Encik Xi Jinping.
Perjalanan itu, yang merupakan lawatan pertama Encik Trump ke rantau itu sejak kembali memegang jawatan, bermula di Malaysia pada 26 Oktober dengan memeterai pelbagai perjanjian.
Ini termasuk memberi ganjaran kepada Kemboja dan Thailand dengan perjanjian dagangan selepas menandatangani bersama pakatan gencatan senjata di luar Sidang Kemuncak Asean di Kuala Lumpur.
Beliau turut memeterai perjanjian dagangan dan mineral dengan Malaysia, dan mengambil langkah memperbaiki hubungan dengan Presiden Brazil, Encik Luiz Inacio Lula da Silva, selepas berbulan-bulan bermusuhan.
Tetapi hadiah terbesar untuk Encik Trump tetap merupakan perjanjian dagangan dengan China.
Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, dan Naib Perdana Menteri China, Encik He Lifeng, telah mengadakan rundingan dagangan selama dua hari, mencari persetujuan untuk mengelakkan tarif tambahan 100 peratus yang akan berkuat kuasa pada 1 November.
Naib Menteri Perdagangan China, Encik Li Chenggang, berkata “permuafakatan awal” telah dicapai.
Menurut Encik Bessent, tarif tambahan telah dapat dielakkan, dan menandakan perjanjian mengenai eksport nadir bumi dan kacang soya Amerika telah dicapai.
“Ia akan menjadi hebat untuk China, hebat untuk kami,” kata Encik Trump kepada pemberita di Kuala Lumpur.
Namun, sebelum kesemua itu menjadi kenyataan, Encik Trump dijadual menuju ke Tokyo pada pagi 27 Oktober untuk mengunjungi maharaja Jepun, menjelang pertemuan 28 Oktober dengan Perdana Menteri baru, Cik Sanae Takaichi.
Kemuncak perjalanan itu akan menyaksikan Encik Trump bertemu Presiden Xi buat kali pertama sejak kembali memegang jawatan.
Encik Trump dijadual berada di bandar pelabuhan selatan Busan, Korea, pada 29 Oktober – menjelang Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec), dan akan bertemu Presiden Korea Selatan, Encik Lee Jae Myung.
Pasaran sejagat akan memerhatikan dengan teliti sama ada pertemuan dengan Presiden Xi pada 30 Oktober dapat menghentikan perang dagangan yang dicetuskan oleh tarif meluas Encik Trump, terutama selepas pertikaian baru-baru ini mengenai sekatan nadir bumi Beijing.
Encik Trump turut membayangkan beliau terbuka untuk bertemu pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong Un, ketika berada di semenanjung Korea.
Menteri penyatuan semula Korea Selatan berkata terdapat kemungkinan “besar” Encik Trump dan Encik Kim akan bertemu. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg