Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump kecam calon Senator Muslim, cetus kemarahan masyarakat Arab Amerika
Trump kecam calon Senator Muslim, cetus kemarahan masyarakat Arab Amerika
PORT HURON, Michigan: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mencetuskan kontroversi baru selepas melancarkan serangan terhadap calon Senator Parti Demokrat yang beragama Islam, Encik Abdul El-Sayed, dengan menuduhnya mempunyai kaitan dengan pengganasan dan mempersoalkan kesetiaannya kepada negara itu.
Kenyataan Encik Trump dalam satu perhimpunan kempen di Michigan pada 25 Oktober menerima kecaman keras, termasuk daripada bekas sekutunya dalam masyarakat Arab Amerika yang menyifatkan serangan tersebut sebagai berbaur perkauman dan melampaui batas.
Encik Trump menggelar Encik El-Sayed, bekas pegawai kanan kesihatan Detroit, sebagai seorang “jihadis” yang didakwanya menyebelahi pengganas.
Beliau turut mendakwa calon Demokrat itu perlu melalui pemeriksaan pengesan logam sebelum dibenarkan memasuki Dewan Senat Amerika sekiranya memenangi pilihan raya.
Dalam ucapannya, Encik Trump beberapa kali merujuk serangan pengganasan 11 September 2001 dan membandingkan usaha menghalang Encik El-Sayed daripada memasuki Senat dengan tindakan penumpang pesawat United Airlines Penerbangan 93 yang melawan perampas pesawat.
Beliau juga mendakwa datang ke Michigan untuk menghalang seorang anggota Ikhwanul Muslimin daripada menjadi Senator Amerika.
Bagaimanapun, tiada bukti menunjukkan Encik El-Sayed mempunyai hubungan dengan pertubuhan tersebut atau mana-mana kumpulan pelampau.
Encik El-Sayed, yang dilahirkan di Amerika kepada ibu bapa pendatang dari Mesir, berulang kali menafikan sebarang kaitan dengan kumpulan pengganas.
Sekiranya dipilih, beliau bakal menjadi Senator Muslim pertama dalam sejarah Amerika.
Beliau menyifatkan tindakan mempersoalkan kesetiaannya kepada Amerika berdasarkan agama sebagai sesuatu yang memalukan.
Jurucakap kempennya, Encik Cole Wozniak, berkata Encik El-Sayed tidak akan terganggu dengan serangan politik tersebut dan sebaliknya terus memberikan tumpuan kepada usaha mengurangkan kos sara hidup serta menangani rasuah di Washington.
“Ketika mereka berbohong dan menggunakan serangan terdesak yang tidak berasas, Abdul terus memberikan sepenuh perhatian kepada rancangannya untuk mengurangkan kos dan menentang kekacauan serta rasuah di Washington,” katanya.
Kenyataan Encik Trump turut menerima kecaman daripada pengasas bersama Arab Amerika untuk Trump, Encik Bishara Bahbah, yang sebelum ini membantu mendapatkan sokongan pengundi Arab Amerika untuk Presiden itu dalam pilihan raya 2024.
Encik Bahbah, yang pertubuhannya kini dikenali sebagai Arab Amerika untuk Keamanan, menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak boleh diterima.
“Kenyataan Presiden itu melampaui batas. Ia sudah melewati garis merah. Ia bersifat perkauman,” katanya kepada Associated Press (AP).
Menurut beliau, serangan terhadap seseorang berdasarkan agama tidak boleh diterima masyarakat Arab dan Islam, termasuk penganut Kristian Arab.
Beliau turut memberi amaran bahawa pengundi akan mengingati kenyataan Encik Trump apabila keluar mengundi pada 3 November.
Kecaman itu amat penting kerana Encik Trump sebelum ini berjaya meningkatkan sokongan dalam kalangan pengundi Arab Amerika di Michigan.
Pada pilihan raya Presiden 2024, beliau menjadi calon Republikan pertama sejak 2000 yang memenangi Dearborn, sebuah bandar yang mempunyai antara masyarakat Arab Amerika terbesar di negara itu.
Ramai pengundi di bandar tersebut ketika itu tidak berpuas hati dengan pendekatan pentadbiran bekas Presiden Joe Biden terhadap perang Gaza.
Namun, serangan terbaru Encik Trump berisiko menjejaskan hubungan politik yang dibinanya dengan masyarakat tersebut.
Persaingan merebut kerusi Senat Michigan antara Encik El-Sayed dengan calon Republikan, Encik Mike Rogers, merupakan antara pertandingan penting yang boleh menentukan parti mana menguasai Dewan Senat.
Kedua-duanya bertanding bagi menggantikan Senator Demokrat, Encik Gary Peters, yang bakal bersara.
Sepanjang kempen, pihak Republikan berusaha mengaitkan Encik El-Sayed dengan Ikhwanul Muslimin, termasuk menggunakan kenyataan lama kakak tirinya, Cik Eman Abdelhadi, mengenai sejarah penglibatan keluarganya dengan pertubuhan itu.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut tidak membuktikan Encik El-Sayed mempunyai hubungan dengan Ikhwanul Muslimin.
Encik El-Sayed dibesarkan oleh bapanya selepas ibu bapanya bercerai ketika beliau masih kecil.
Beliau juga menerima kritikan kerana hubungannya dengan personaliti Internet, Encik Hasan Piker, yang pernah membuat kenyataan kontroversi mengenai Hamas, Israel dan serangan 11 September.
Selain itu, Encik El-Sayed sebelum ini memohon maaf atas kenyataannya selepas serangan terhadap sebuah rumah ibadat Yahudi di kawasan Detroit, yang dianggap sesetengah pihak sebagai cuba memberikan alasan bagi keganasan tersebut.
Beliau menegaskan bahawa kenyataannya tidak bertujuan membenarkan serangan berkenaan.
Dalam debat terakhir kempen, Encik Rogers turut mempersoalkan kesetiaan Encik El-Sayed dengan bertanya sama ada beliau menyokong Amerika atau kumpulan pengganas di luar negara.
Encik El-Sayed mengecam pertanyaan itu dan menegaskan kebanggaannya terhadap Perlembagaan Amerika yang menjamin kebebasan beragama.
Serangan politik terhadap beliau berlaku ketika Parti Republikan berdepan tekanan pengundi berhubung inflasi, kenaikan harga bahan api dan perang dengan Iran.
Pemerhati melihat isu agama dan keselamatan kini menjadi antara tumpuan kempen Republikan bagi menggerakkan penyokong menjelang pilihan raya pertengahan penggal.
Dengan persaingan Michigan semakin sengit, kontroversi tersebut bukan sahaja menguji sokongan terhadap kedua-dua calon, malah turut menyerlahkan ketegangan hubungan antara masyarakat Islam, Arab Amerika dan kepimpinan politik negara itu. – Agensi berita