WASHINGTON: Ucapan kebencian anti-Islam yang menyasarkan calon Senat Amerika Syarikat di Michigan, Encik Abdul El-Sayed, melonjak hampir 20 kali ganda selepas beliau memenangi pemilihan awal Parti Demokrat pada 4 Ogos lalu, menurut satu kajian baharu.

Peningkatan mendadak itu dikesan Pusat Kajian Kebencian Terancang (CSOH) yang berpangkalan di Washington, sekali gus menunjukkan bagaimana serangan berunsur Islamofobia meningkat apabila seorang calon Muslim mencapai kejayaan besar dalam politik Amerika.

Menurut dapatan pusat itu yang dikongsi dengan agensi berita Anadolu, purata catatan yang menyebut Encik El-Sayed bersama kandungan berunsur kebencian anti-Islam ialah 155 sehari antara 1 Jun dengan 3 Ogos.

Jumlah itu melonjak kepada purata 3,099 catatan sehari antara 4 dengan 10 Ogos, iaitu peningkatan sebanyak 1,895 peratus.

Dalam tempoh tujuh hari selepas kemenangan beliau, sebanyak 56.7 peratus daripada keseluruhan 38,280 catatan Islamofobia yang menyasarkan Encik El-Sayed sejak 1 Januari telah dikesan.

Serangan itu memuncak pada 5 Ogos, sehari selepas kemenangannya, apabila sebanyak 6,923 catatan direkodkan dalam tempoh hanya 24 jam.

Secara berasingan, CSOH mengesan 409,640 catatan yang mengandungi sentimen kebencian anti-Islam di platform media sosial X di Amerika antara 1 Jun dengan 10 Ogos.

Jumlah tertinggi dalam sehari sepanjang musim panas turut dicatatkan pada 5 Ogos, dengan 11,883 catatan.

Menurut pusat itu, antara naratif paling banyak digunakan untuk menyerang Encik El-Sayed ialah dakwaan yang menggambarkannya sebagai seorang “jihadis Islam” serta mengaitkannya secara palsu dengan Hamas, Hezbollah dan Ikhwanul Muslimin.

Sebahagian catatan turut mendakwa beliau mahu melaksanakan “undang-undang Islam” di Amerika, selain menggambarkan sumbangan kempen daripada pertubuhan Muslim sebagai “pembiayaan pengganasan”.

Terdapat juga teori konspirasi yang mendakwa seorang “Islamis dan komunis” sedang mengambil alih Parti Demokrat.

Sebahagian pengguna media sosial turut membangkitkan serangan pengganas 11 September 2001 bagi menggambarkan Encik El-Sayed sebagai individu asing dan bermusuhan dengan Amerika.

Catatan lain pula menyeru kepada “penghijrahan semula”, istilah yang digunakan bagi merujuk kepada usaha mengeluarkan secara beramai-ramai penduduk Muslim dari negara Barat.

CSOH berkata corak serangan itu hampir sama dengan retorik yang dikesannya ketika kempen Encik Zohran Mamdani dalam pilihan raya Datuk Bandar New York pada 2025.

Menurut pusat berkenaan, dapatan itu menunjukkan terdapat corak naratif anti-Islam yang berulang dan kembali digunakan apabila seorang calon Muslim menjadi pencabar politik yang serius atau memenangi pilihan raya.

Encik El-Sayed, mantan pegawai kesihatan awam yang berhaluan progresif, menewaskan anggota Dewan Perwakilan, Cik Haley Stevens, dalam persaingan sengit bagi pencalonan Demokrat di Michigan pada 4 Ogos.

Kemenangan itu turut dilihat sebagai tamparan kepada Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika-Israel (AIPAC), yang membelanjakan lebih AS$30 juta ($38.4 juta) untuk menyokong Cik Stevens.

Encik El-Sayed kini akan berdepan calon Republikan, Encik Mike Rogers, dalam pilihan raya November bagi mengisi kerusi Senat yang bakal dikosongkan Senator Gary Peters yang bersara.

Pertarungan itu dianggap penting dalam usaha Parti Demokrat untuk merampas semula penguasaan Senat.

Kempen Encik El-Sayed memberi tumpuan kepada isu kos sara hidup, pelaksanaan skim penjagaan kesihatan sejagat Medicare for All serta usaha mengurangkan pengaruh wang dan kepentingan korporat dalam politik.

Beliau juga menggesa Amerika menghentikan bantuan ketenteraan tanpa syarat kepada Israel dan negara lain.

“Saya mahu mengeluarkan wang daripada politik, memasukkan wang ke dalam poket anda dan meluluskan Medicare for All,” katanya dalam wawancara dengan CNN baru-baru ini.

Beliau berkata serangan Presiden Donald Trump terhadapnya hanya mengalihkan perhatian daripada masalah ekonomi yang dihadapi rakyat Amerika.

Encik Trump sebelum ini melabel Encik El-Sayed sebagai seorang “sosialis kiri radikal” dan “komunis”, selain mendakwa beliau membenci masyarakat Yahudi dan Israel.

Encik El-Sayed bagaimanapun menolak gambaran bahawa dasar ekonominya bersifat sosialis.

“Saya bukan seorang sosialis. Saya cuma seorang kapitalis yang memahami bagaimana kapitalisme berfungsi,” katanya ketika satu perbahasan bulan lalu ketika mengkritik penguasaan monopoli korporat.

Naib Presiden JD Vance turut menyindir beliau dengan merujuknya sebagai ‘Presiden Abdul El-Sayed’ ketika satu perbincangan meja bulat di Rumah Putih.

Jika menang pada November, Encik El-Sayed akan mencatat sejarah sebagai Muslim pertama dipilih menganggotai Senat Amerika.

Beliau bagaimanapun berkata tumpuannya bukan untuk mencipta sejarah berdasarkan latar belakang agamanya.

“Saya tidak terlalu memikirkan tentang menjadi orang pertama dalam apa-apa perkara. Saya cuma mahu menjadi senator yang benar-benar baik untuk negeri saya,” katanya kepada program Democracy Now!

Menurutnya, kejayaan seorang calon daripada latar belakang berbeza juga boleh mencerminkan keluasan masyarakat Amerika.

“Saya tahu Amerika itu besar. Ia terbuka dan menerima orang lain. Ia sebuah negara yang bertimbang rasa,” katanya. – Agensi berita.