NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 20 November telah menghapuskan tarif 40 peratus ke atas produk makanan Brazil, termasuk daging lembu, kopi, koko dan buah-buahan yang dikenakan pada Julai untuk menghukum Brazil kerana mendakwa bekas presidennya yang juga sekutu Encik Trump, Encik Jair Bolsonaro.
Langkah tersebut merupakan susulan perintah serupa oleh pentadbiran pada 14 November untuk menghapuskan tarif ke atas beberapa produk pertanian daripada negara lain apabila Rumah Putih membuat pusingan U ke atas beberapa tarif yang telah meningkatkan kos makanan di Amerika.
Perintah itu akan menjejas import Brazil ke Amerika pada atau selepas 13 November dan mungkin memerlukan bayaran balik cukai yang dikutip ke atas barangan tersebut semasa tarif masih dikenakan, menurut teks perintah yang dikeluarkan oleh Rumah Putih.
Brazil membekalkan sepertiga daripada kopi yang digunakan di Amerika, peminum kopi terbesar di dunia, dan baru-baru ini menjadi pembekal daging lembu yang penting, terutamanya jenis yang digunakan untuk membuat burger.
Harga kopi runcit Amerika meningkat sehingga 40 peratus pada 2025 disebabkan oleh tarif Encik Trump itu dan faktor pasaran lain seperti kekurangan pengeluaran yang disebabkan oleh cuaca.
Kenaikan harga makanan merupakan faktor utama di sebalik penurunan penilaian kelulusan Encik Trump, yang telah jatuh ke tahap terendah sejak beliau kembali berkuasa, menurut tinjauan pendapat Reuters/Ipsos.
“Anda boleh menjangkakan beberapa ribu beg kopi Brazil yang berada di gudang akan mula bergerak dengan cepat ke pasaran Amerika,” kata penganalisis komoditi Cik Judith Ganes, yang juga presiden firma J. Ganes Consulting.
Gudang sedemikian merupakan kemudahan yang membolehkan pengimport meninggalkan produk tanpa membayar cukai import.
Beberapa pengimport menyimpan produk di kemudahan tersebut selepas tarif Brazil yang tinggi diumumkan, sementara mereka menunggu semakan tarif dibuat akhirnya.
“Keputusan (untuk menarik balik tarif Brazil) menunjukkan keberkesanan rundingan perdagangan,” kata kumpulan industri daging lembu Brazil (Abiec), sambil menambah ia akan terus berusaha untuk meningkatkan bekalan di pasaran.
Perintah eksekutif Encik Trump pada 20 November tidak menyebut tindakan terhadap pihak berkuasa Brazil yang terlibat dalam pendakwaan dan sabitan bekas Presiden Jair Bolsonaro kerana merancang rampasan kuasa untuk kekal berkuasa selepas tewas dalam pilihan raya pada 2022.
Media sebelum ini melaporkan bahawa panel hakim Mahkamah Agung Brazil pada 11 September telah menjatuhkan hukuman penjara 27 tahun dan tiga bulan terhadap Bolsonaro, selepas didapati bersalah dalam percubaan merampas kuasa.
Bolsonaro, yang sentiasa menafikan sebarang salah laku, boleh cuba merayu terhadap keputusan itu.
Dia kini berada di bawah tahanan rumah di Brasilia.
Selain Bolsonaro, empat daripada lima hakim mendapati ahli politik sayap kanan itu bersalah atas lima pertuduhan, dalam keputusan yang akan memperdalam perpecahan politik dan dijangka menimbulkan tindak balas Amerika.
Presiden Brazil, Encik Luiz Inacio Lula da Silva, berkata pada 20 November bahawa beliau gembira kerana tarif 40 peratus telah dihapuskan. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg