Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump kenakan sekatan ke atas Mahkamah Jenayah Antarabangsa

Trump dakwa ICC lancar siasatan tidak berasas sasar AS dan sekutu
Feb 7, 2025 | 1:12 PM
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, telah menandatangani perintah eksekutif pada 6 Februari yang membenarkan sekatan dikenakan terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, Belanda
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, telah menandatangani perintah eksekutif pada 6 Februari yang membenarkan sekatan dikenakan terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, Belanda - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 6 Februari mengarahkan sekatan ekonomi dan perjalanan ke atas mereka yang bekerja dalam siasatan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) ke atas warga Amerika atau sekutunya seperti Israel.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Rumah Putih, perintah itu mentakrifkan bahawa mahkamah di The Hague menyalahgunakan kuasanya dengan mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu.

Ia juga menyebut bahawa tribunal berkenaan turut mengambil tindakan yang tidak sah dan tidak berasas dengan menyasarkan Amerika serta Israel.

Langkah itu bertepatan dengan lawatan Encik Netanyahu ke Washington.

Arahan terbarunya itu adalah sama seperti tindakan yang pernah diambilnya semasa penggal pertama sebagai Presiden.

Encik Netanyahu bersama mantan menteri pertahanannya, Encik Yoav Gallant dan pemimpin Hamas, Encik Mohammed Deif, disertakan dalam senarai orang dikehendaki oleh ICC.

Pada 21 November 2024, ICC telah mengeluarkan waran tangkap ke atas mereka bertiga atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Tidak jelas berapa cepat Amerika akan mengumumkan nama individu yang terjejas oleh sekatan itu.

Semasa penggal pertama pentadbiran Encik Trump pada 2020, Washington mengenakan sekatan ke atas pendakwa raya ketika itu, Encik Fatou Bensouda, dan salah seorang pembantu utamanya berhubung siasatan ICC terhadap dakwaan jenayah perang oleh tentera Amerika di Afghanistan.

ICC tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas mengenai perkara itu.

Sekatan itu termasuk membekukan mana-mana aset Amerika bagi mereka yang dikenakan sekatan dan menghalang mereka dan keluarga daripada mengunjungi Amerika.

ICC yang mempunyai 125 anggota, merupakan mahkamah tetap yang boleh mendakwa individu atas kesalahan jenayah perang, jenayah kemanusiaan, pembunuhan beramai-ramai dan jenayah pencerobohan terhadap wilayah negara anggota atau oleh warga negara mereka.

Amerika, China, Russia dan Israel tidak menganggotai ICC.

Encik Trump menandatangani perintah eksekutif itu selepas Demokrat Senat Amerika menyekat usaha pimpinan parti Republikan meluluskan undang-undang membentuk rejim sekatan yang menyasarkan mahkamah jenayah perang.

Memo Rumah Putih yang diedarkan pada 6 Februari menuduh ICC mencipta “kesetaraan moral yang memalukan” antara Hamas dengan Israel kerana mengeluarkan waran pada masa yang sama.

Perintah eksekutif Encik Trump berkata tindakan ICC itu membahayakan rakyat Amerika dengan mendedahkan mereka kepada “gangguan, penderaan dan kemungkinan penangkapan”.

“Tindakan jahat ini seterusnya mengancam dan melanggar kedaulatan Amerika dan menjejas keselamatan negara dan tugas dasar luar negara yang dijalankan pemerintah Amerika dan sekutu kami, termasuk Israel,” kata perintah itu.

Ekoran arahan itu, ICC telah mengambil langkah melindungi kakitangannya daripada kemungkinan dikenakan sekatan oleh Amerika seperti membayar gaji tiga bulan lebih awal, sebagai persediaan menghadapi sekatan kewangan yang boleh melumpuhkan tribunal jenayah perang itu, kata satu sumber kepada Reuters sebelum ini.

Pada Disember 2024, presiden mahkamah, Hakim Tomoko Akane, memberi amaran sekatan akan “dengan cepat menjejas operasi mahkamah dalam semua situasi dan kes, serta mengancam kewujudannya”.

Russia juga telah menyasarkan ICC.

Pada 2023, ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Presiden Vladimir Putin, menuduhnya melakukan jenayah perang dengan menghantar pulang ratusan kanak-kanak secara haram dari Ukraine.

Russia telah melarang kemasukan ketua pendakwa raya ICC, Encik Karim Khan, dan meletakkan beliau dan dua hakim ICC dalam senarai orang dikehendakinya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg