WASHINGTON: Presiden Donald Trump menandatangani perintah mengenakan tarif sehingga 50 peratus ke atas pelbagai barangan import dari Canada, sekali gus menghidupkan semula perang dagangan antara dua rakan dagang terbesar di Amerika Utara.

Tarif baharu itu dijadual berkuat kuasa dalam tempoh 30 hari dan akan dikenakan terhadap pelbagai produk Kanada termasuk wain, kayu hoki, simen, produk tenusu, papan lapis, kertas serta perabot.

Pentadbiran Trump berkata langkah itu diambil sebagai tindak balas terhadap apa yang didakwanya sebagai layanan tidak adil Canada terhadap tiga industri utama Amerika Syarikat, iaitu automotif, produk tenusu dan minuman beralkohol.

Menurut pegawai Rumah Putih, Canada mengenakan pelbagai sekatan termasuk tarif, kuota dan halangan perdagangan yang didakwa merugikan syarikat Amerika Syarikat.

Tarif baharu itu dijangka mencetuskan semula ketegangan perdagangan antara kedua-dua negara yang mempunyai hubungan ekonomi rapat, dengan Canada merupakan rakan dagang kedua terbesar Amerika Syarikat selepas Mexico.

Hubungan perdagangan antara kedua-dua negara mula tegang sejak tahun lalu apabila Canada bertindak balas terhadap tarif yang diperkenalkan Trump dengan mengenakan cukai balas ke atas beberapa produk Amerika Syarikat.

Washington turut mendakwa beberapa wilayah di Canada menghentikan pembelian minuman beralkohol dari Amerika Syarikat sebagai tindak balas terhadap dasar tarif Trump.

Selain itu, Amerika Syarikat menuduh Canada mengenakan tarif dan kuota terhadap kenderaan buatan Amerika serta sekatan terhadap import keju dari negara itu.

Tarif baharu berkenaan dilaksanakan di bawah Seksyen 338 Akta Tarif 1930, satu peruntukan undang-undang yang jarang digunakan sejak era Kemelesetan Besar.

Peruntukan itu memberi kuasa kepada presiden untuk mengenakan tarif sehingga 50 peratus terhadap negara yang didapati mendiskriminasi perdagangan Amerika Syarikat.

Perdana Menteri Canada, Mark Carney, menyifatkan tindakan Washington sebagai melanggar Perjanjian Amerika Syarikat-Mexico-Canada (USMCA), iaitu perjanjian perdagangan bebas yang ditandatangani sendiri oleh Trump ketika penggal pertamanya.

“Tindakan ini adalah pelanggaran secara langsung terhadap perjanjian perdagangan antara Canada, Amerika Syarikat dan Mexico,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata tarif balas yang dikenakan Canada sebelum ini hanyalah tindak balas terhadap tarif yang terlebih dahulu diperkenalkan oleh Washington.

“Kanada hanya menyamai langkah yang diambil oleh Amerika Syarikat, dan itu adalah hak kami,” katanya.

Carney turut menegaskan rakyat Canada akan terus mempertahankan kepentingan ekonomi negara.

“Sebagai tindak balas terhadap langkah ini dan ancaman terhadap kedaulatan Canada, rakyat kami berdiri teguh bagi melindungi pekerja, petani, perniagaan dan keluarga,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa pertikaian perdagangan itu meningkatkan kos sara hidup, terutama kepada pengguna di Amerika Syarikat.

“Canada bersedia mengadakan rundingan secara intensif bagi menyelesaikan isu-isu yang masih tertangguh,” katanya.

Bagaimanapun, beberapa produk dikecualikan daripada tarif baharu itu, termasuk tenaga, baja potash, sesetengah hasil perikanan, mineral serta produk yang sudah dikenakan tarif keselamatan negara seperti keluli.

Namun, tidak seperti tarif sebelum ini, tiada pengecualian diberikan kepada barangan Canada yang dilindungi di bawah USMCA.

Pentadbiran Trump kini sedang berusaha merundingkan semula perjanjian perdagangan itu.

Pegawai Amerika Syarikat dijadual mengadakan pusingan ketiga rundingan dengan Mexico minggu ini, namun rundingan rasmi dengan Canada masih belum dimulakan berikutan hubungan perdagangan yang semakin tegang.

Peguam perdagangan antarabangsa dari firma King & Spalding, Ryan Majerus, berkata penggunaan Seksyen 338 adalah sesuatu yang luar biasa kerana peruntukan itu hampir tidak pernah digunakan.

“Peruntukan undang-undang ini sangat luas, tetapi belum pernah benar-benar diuji di mahkamah dan hampir pasti akan dicabar,” katanya.

Beliau berpendapat tarif itu mungkin digunakan Washington sebagai strategi untuk mendapatkan kedudukan lebih kukuh dalam rundingan semula USMCA.

Pada masa sama, pentadbiran Trump dijangka mengumumkan beberapa lagi tarif global dalam masa terdekat.

Selepas Mahkamah Agung Amerika Syarikat membatalkan sebahagian dasar tarifnya pada Februari lalu, Trump menggunakan peruntukan undang-undang lain bagi mengenakan tarif global sebanyak 10 peratus, yang dijangka digantikan dengan langkah baharu minggu ini.

Trump sebelum ini turut mencetuskan kemarahan rakyat Kanada apabila beberapa kali mencadangkan negara itu menjadi negeri ke-51 Amerika Syarikat.

Beliau juga pernah mengugut mengenakan tarif terhadap Canada selepas asap kebakaran hutan dari negara itu menjejaskan beberapa negeri di timur laut dan barat tengah Amerika Syarikat, selain menghentikan rundingan perdagangan susulan kempen iklan di sebuah wilayah Canada yang memetik kritikan bekas Presiden Ronald Reagan terhadap tarif.

Profesor Dasar Perdagangan Universiti Cornell, Eswar Prasad, berkata langkah terbaharu itu menunjukkan Trump masih melihat tarif sebagai senjata utama dalam dasar ekonomi dan geopolitiknya.

“Perintah ini membuktikan bahawa walaupun berdepan keputusan mahkamah yang tidak memihak kepadanya, Trump masih belum selesai menggunakan tarif sebagai alat untuk memberi tekanan kepada rakan dagang Amerika Syarikat,” katanya. - Agensi berita