Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump kenakan tarif lebih rendah, 20% terhadap eksport Vietnam

Jul 3, 2025 | 12:01 PM
Kilang membuat pakaian di wilayah Thai Nguyen di Vietnam bergantung kepada eksport yang berdepan dengan tarif Amerika Syarikat sebanyak 20 peratus - lebih rendah daripada yang diumumkan sebelum ini.
Kilang membuat pakaian di wilayah Thai Nguyen di Vietnam bergantung kepada eksport yang berdepan dengan tarif Amerika Syarikat sebanyak 20 peratus - lebih rendah daripada yang diumumkan sebelum ini. - Foto: AFP

WASHINGTON/HANOI: Amerika Syarikat akan mengenakan tarif 20 peratus yang lebih rendah daripada yang dijanjikan ke atas banyak eksport Vietnam, kata Presiden Donald Trump pada 2 Julai.

Langkah itu bertujuan meredakan ketegangan dengan rakan dagangan ke-10 terbesarnya - beberapa hari sebelum presiden Amerika itu dijangka menaikkan tarif ke atas kebanyakan import daripada negara lain.

Barangan Vietnam akan dikenakan tarif 20 peratus dan penghantaran daripada negara ketiga menerusi Vietnam akan dikenakan tarif 40 peratus.

Presiden Trump juga berkata Vietnam boleh mengimport produk Amerika dengan tarif sifar peratus.

“Saya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa saya baru saja memeteri perjanjian dagangan dengan Republik Sosialis Vietnam,” kata Encik Trump menerusi platform Truth Social selepas bercakap dengan Encik To Lam, pemimpin tertinggi Vietnam.

Encik Lam juga meminta Encik Trump agar Amerika mengiktiraf Vietnam sebagai ekonomi pasaran dan menghapuskan sekatan ke atas eksport produk berteknologi tinggi ke negara itu.

Pengumuman Encik Trump itu dibuat hanya beberapa hari sebelum tarikh menaikkan tarif ke atas kebanyakan import berakhir pada 9 Julai.

Di bawah rancangan yang diumumkan pada April, pengimport Amerika bagi barangan Vietnam perlu membayar tarif 46 peratus.

Bagaimanapun, tidak jelas jenis produk yang dikenakan tarif 20 peratus itu, atau sama ada lebih rendah atau lebih tinggi tarif yang akan dikenakan.

Perbincangan selanjutnya akan diadakan mengenai pelaksanaan tarif ke atas penghantaran produk yang dibuat di China tetapi dilabel “Buatan Vietnam”.

Pemerintah Vietnam tidak mengesahkan kadar tarif tertentu dalam satu kenyataan yang meraikan apa yang disifatkannya sebagai perjanjian rangka kerja dagangan.

Vietnam akan komited untuk “menyediakan keutamaan akses pasaran untuk barangan Amerika termasuk kereta berenjin besar,” kata kenyataan yang dikeluarkan di Hanoi itu.

Perjanjian antara kedua-dua negara itu akan menjadi rangsangan politik untuk Encik Trump dan pasukannya yang bekerja keras untuk segera memeteri perjanjian dengan rakan dagangan terbesar Washington sebelum tarikh akhir.

Pentadbiran Amerika sedang giat mencapai perjanjian dengan India, namun perjanjian yang dicapai lebih awal dengan Britain dan China adalah terhad skopnya.

Rundingan dengan Jepun, rakan dagang keenam terbesar Amerika dan sekutu terdekat di Asia, nampaknya menemui halangan.

Amerika ialah pasaran eksport terbesar Vietnam dan hubungan ekonomi, diplomatik dan ketenteraan kedua-dua negara yang semakin meningkat, merupakan lindung nilai terhadap pesaing strategik terbesar Washington, China. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg