Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump kritik taktik Israel di Lebanon, ramai orang awam terbunuh
Trump kritik taktik Israel di Lebanon, ramai orang awam terbunuh
Trump kritik taktik Israel di Lebanon, ramai orang awam terbunuh
EVIAN (Perancis): Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 16 Jun mengeluarkan teguran terbuka yang jarang berlaku terhadap taktik ketenteraan Israel di Lebanon, dengan menyatakan serangan yang memusnahkan keseluruhan bangunan apartmen untuk memburu anggota Hezbollah tidak wajar dilakukan.
Ketika bercakap pada sidang puncak Kumpulan Tujuh (G7) di Evian, Perancis, Encik Trump berkata terlalu ramai orang awam terbunuh akibat serangan Israel ke atas kawasan kediaman di Beirut dan wilayah lain di Lebanon.
“Anda tidak perlu meruntuhkan sebuah bangunan apartmen setiap kali mahu mencari seseorang kerana terdapat ramai orang di dalam bangunan itu dan bukan semuanya anggota Hezbollah,” katanya.
Beliau turut menyatakan konflik antara Israel dengan Hezbollah sudah berlanjutan terlalu lama dan perlu dihentikan menerusi penyelesaian diplomatik.
Kenyataan itu dibuat hanya beberapa hari selepas Encik Trump menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap serangan Israel di Beirut yang menurutnya boleh menjejas perjanjian damai antara Amerika dengan Iran yang sedang dimuktamadkan.
Teguran terbuka itu juga memperlihatkan ketegangan semakin ketara antara Encik Trump dan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, walaupun kedua-duanya sejak sekian lama dikenali sebagai sekutu politik rapat.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pegawai Israel dilaporkan semakin kecewa dengan perjanjian damai Iran-Amerika yang dicapai pentadbiran Encik Trump, manakala Encik Trump pula dilaporkan semakin hilang sabar dengan tindakan ketenteraan Israel di Lebanon.
Menurut beberapa sumber diplomatik, serangan Israel di Beirut mencetuskan tindak balas Iran ketika Washington sedang berusaha memuktamadkan rundingan damai serantau.
Walaupun mengkritik tindakan Israel, Encik Trump tetap menegaskan beliau mempunyai hubungan baik dengan Benjamin Netanyahu.
“Saya mempunyai hubungan yang hebat dengan Netanyahu, tetapi beliau perlu lebih bertanggungjawab dalam isu Lebanon,” katanya.
Encik Trump turut menegaskan sokongan Amerika terhadap Israel kekal kukuh.
“Tanpa kami, tanpa Amerika, tidak akan ada Israel. Tanpa saya juga mungkin tidak ada Israel kerana tiada presiden lain sanggup melakukan apa yang saya lakukan,” katanya.
Sejak beberapa bulan lalu, kedua-dua pemimpin dilaporkan beberapa kali berbeza pendapat mengenai tindakan Israel yang enggan mengehadkan operasi ketenteraannya terhadap Hezbollah di Lebanon.
Penghentian permusuhan di Lebanon dilihat sebagai antara tuntutan utama Iran dalam rundingan damai dengan Washington.
Teguran Encik Trump terhadap taktik ketenteraan Israel dianggap luar biasa kerana kebanyakan presiden Amerika jarang mengkritik secara terbuka operasi ketenteraan Israel, terutama ketika konflik sedang berlangsung.
Tidak lama selepas Encik Trump membuat kenyataan itu, akaun media sosial rasmi Rumah Putih yang biasanya berkongsi petikan ucapan Presiden turut memuat naik video kenyataan berkenaan.
Bagaimanapun, Rumah Putih tidak menjelaskan sebab video itu dimuat naik secara khusus.
Seorang pegawai Rumah Putih berkata hubungan antara Encik Trump dengan EncikNetanyahu kekal kukuh selain menyifatkan tentera Israel sebagai “rakan luar biasa” Amerika.
“Tiada sahabat lebih besar kepada Israel dan perjuangan keamanan selain Presiden Trump. Rakyat Amerika dan sekutu kami kini lebih selamat hasil tindakan berani Amerika dan Israel dalam menghalang Iran membangunkan senjata nuklear,” katanya.
Namun setakat ini, tiada petunjuk bahawa kenyataan Encik Trump itu akan membawa perubahan besar terhadap dasar Amerika yang boleh memaksa Israel mengubah taktik ketenteraannya bagi memberi perlindungan lebih baik kepada orang awam.
Israel sebelum ini menerima kritikan hebat masyarakat antarabangsa khususnya susulan serangan ke atas Gaza yang menurut Kementerian Kesihatan Gaza mengorbankan lebih 73,000 penduduk, kebanyakannya orang awam.
Israel bagaimanapun menafikan pihaknya sengaja menyasarkan orang awam dan menuduh kumpulan seperti Hamas dan Hezbollah menggunakan penduduk sebagai perisai manusia.
Pihak Israel mendakwa anggota Hezbollah sering beroperasi di kawasan perumahan dan menyembunyikan kemudahan ketenteraan berhampiran kawasan awam.
Jurucakap Kedutaan Israel di Washington bagaimanapun enggan mengulas mengenai kenyataan Encik Trump itu.
Penganalisis politik melihat teguran terbuka Encik Trump sebagai isyarat bahawa Washington mahu mengurangkan ketegangan serantau selepas konflik berbulan-bulan antara Israel, Hezbollah dan Iran mula memberi kesan besar terhadap kestabilan Asia Barat.
Mereka juga berpendapat Encik Trump kini lebih memberi tumpuan kepada kejayaan diplomatik termasuk perjanjian damai Iran-Amerika berbanding peningkatan operasi ketenteraan yang boleh menggagalkan rundingan tersebut.
Ketegangan di Lebanon terus menjadi perhatian dunia apabila serangan udara Israel dan pelancaran roket Hezbollah sejak beberapa bulan lalu menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal selain meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan tercetusnya perang lebih besar di rantau itu. – Agensi. berita
