Trump lancar sidang puncak Lembaga Keamanan, tumpu isu Gaza

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump lancar sidang puncak Lembaga Keamanan, tumpu isu Gaza

Rumah Putih umum komitmen lebih AS$5 bilion bagi pembinaan semula, bantuan kemanusiaan di Gaza
Feb 19, 2026 | 1:35 PM

Trump lancar sidang puncak Lembaga Keamanan, tumpu isu Gaza

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Donald Trump, Board of Peace
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berucap semasa pengumuman piagam inisiatif Lembaga Keamanan yang bertujuan menyelesaikan konflik sejagat, bersempena Forum Ekonomi Sedunia (WEF) ke-56 di Davos, Switzerland, pada 22 Januari 2026. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 19 Februari menghimpunkan sekutu di Washington untuk merasmikan Lembaga Keamanan, sebuah institusi baru yang pada mulanya memberi tumpuan kepada Gaza, namun dilihat mempunyai cita-cita geopolitik jauh lebih besar.

Sekitar 24 pemimpin dunia dan pegawai kanan menghadiri mesyuarat itu, termasuk beberapa pemimpin yang rapat dengan Encik Trump.

Bagaimanapun, kebanyakan negara demokrasi Eropah tradisional memilih untuk tidak menyertainya.

Rumah Putih memaklumkan negara anggota akan mengumumkan komitmen lebih AS$5 bilion ($6.34 bilion) bagi pembinaan semula dan bantuan kemanusiaan di Gaza.

Jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, berkata lebih 20 negara menyertai mesyuarat dan turut berjanji menyediakan ribuan anggota untuk pasukan penstabil antarabangsa di wilayah itu.

“Presiden mempunyai pelan yang berani dan bercita-cita tinggi untuk membina semula Gaza, dan usaha itu sedang berjalan melalui Lembaga Keamanan,” katanya.

“Ini organisasi sah dengan penyertaan banyak negara di seluruh dunia.”

Encik Trump menandatangani dokumen penubuhan lembaga itu di Davos, Switzerland pada 23 Januari lalu dan pembentukannya disokong resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai sebahagian pelan damai Gaza.

Mesyuarat itu berlangsung di bangunan Institut Keamanan Amerika, sekali gus menandakan peralihan simbolik peranan institusi lama kepada mekanisme baru yang dicadangkan.

Di bawah struktur Lembaga Keamanan, Encik Trump diberi kuasa veto dan dibenarkan kekal sebagai pengerusi walaupun selepas tidak lagi memegang jawatan presiden.

Selain itu, negara yang ingin menjadi anggota tetap berbanding keanggotaan dua tahun perlu membayar yuran AS$1 bilion.

Walaupun kuasa serantau Asia Barat seperti Turkey, Mesir, Arab Saudi dan Qatar menyertai lembaga itu, banyak kuasa Barat dan sekutu tradisional Washington mengambil pendekatan berhati-hati.

Ketua diplomat Vatican, Encik Pietro Parolin, berkata pengurusan krisis antarabangsa sepatutnya berada di bawah PBB.

Paus Leo, paus pertama dari Amerika Syarikat, sebelum ini diundang menyertai lembaga tetapi tidak berbuat demikian.

Cik Leavitt menyifatkan keputusan Vatican tidak menyertai inisiatif itu sebagai “amat mengecewakan”.

Lembaga Keamanan diwujudkan selepas pentadbiran Encik Trump bersama Qatar dan Mesir merundingkan gencatan senjata pada Oktober lalu bagi menamatkan dua tahun perang dahsyat di Gaza.

Washington menyatakan pelan kini memasuki fasa kedua dengan tumpuan melucutkan senjata Hamas.

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 601 orang terbunuh akibat tindakan tentera Israel sejak gencatan senjata bermula.

Encik Trump dijangka memperincikan janji dana lebih AS$5 bilion untuk wilayah yang majoriti bangunannya musnah.

Malah, beliau sebelum ini mencadangkan pembangunan pusat peranginan di kawasan berkenaan.

Mesyuarat turut membincangkan penubuhan Pasukan Penstabil Antarabangsa bagi menjamin keselamatan Gaza.

Indonesia dijangka memainkan peranan penting dan menyatakan kesediaan menghantar sehingga 8,000 anggota jika pasukan itu diluluskan.

Presiden Indonesia Prabowo Subianto menyertai mesyuarat sulung itu selepas menghadiri pelancarannya di Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Davos pada Januari.

Pegawai Amerika termasuk utusan khas, Encik Steve Witkoff, berkata kemajuan sedang dicapai dan Hamas semakin tertekan menyerahkan senjata.

Israel pula mencadangkan sekatan ketat termasuk merampas senjata individu milik kumpulan itu.

“Senjata berat yang paling merosakkan ialah AK-47,” kata Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu.

“Itu senjata utama dan ia mesti dihapuskan.”

Pakar Hal Ehwal Strategik Universiti Reichman, Encik Jeremy Issacharoff, mengakui pelucutan senjata Hamas bukan tugas mudah.

“Bagi Israel, laluan yang boleh dipercayai amat penting untuk menentukan sama ada usaha ini boleh bermula,” katanya.

Walaupun pegawai Amerika menyatakan tumpuan awal adalah Gaza, mereka turut menggambarkan lembaga itu boleh menangani konflik lain di dunia.

Penganalisis dari Brookings Institution, Dr Bruce Jones, mengkritik pendekatan itu.

“Ia campuran cita-cita besar dan keinginan peribadi tanpa kerangka pemikiran yang jelas,” katanya.

Inisiatif itu muncul ketika Encik Trump mengurangkan pembiayaan kepada badan PBB dan menarik Amerika keluar daripada beberapa organisasi antarabangsa.

Mesyuarat pertama menghimpunkan sekutu ideologi Encik Trump seperti Perdana Menteri Hungary, Encik Viktor Orban dan Presiden Argentina, Encik Javier Milei.

Turut hadir Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif, yang dilihat mahu mendapatkan sokongan Washington dalam konflik dengan India.

Namun, sekutu utama Amerika seperti Perancis dan Canada tidak menyertai, manakala Jepun hanya menghantar wakil khas tanpa membuat keputusan menyertai.

Presiden Brazil, Encik Luiz Inacio Lula da Silva, menolak jemputan dan berkata lembaga itu perlu terhad kepada Gaza serta memberi tempat kepada Palestin.

Pada Januari, beliau menyifatkannya sebagai “PBB baru di mana hanya seorang pemilik”.

Dalam usaha mewujudkan pentadbiran pascaperang di Gaza, sebuah jawatankuasa teknokrat ditubuhkan pada Januari lalu bagi mengurus hal ehwal harian wilayah itu dan diketuai oleh jurutera, Encik Ali Shaath.

Dalam konteks sama, jurucakap Hamas, Encik Hazem Qassem, berkata Lembaga Keamanan sepatutnya memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan pelanggaran serta menamatkan sekatan ke atas Gaza.

Di bawah pelan asal, lembaga itu bertujuan menyelia pentadbiran sementara Gaza selepas gencatan senjata.

Namun Encik Trump kemudian mencadangkan ia diperluas untuk menangani konflik sejagat lain.

Cadangan itu mencetuskan kebimbangan antarabangsa bahawa Lembaga Keamanan boleh bersaing dengan PBB dalam menyelesaikan konflik dunia.

Bagi mesyuarat sulung 19 Februari, perbincangan dijangka memberi tumpuan kepada Gaza, tetapi arah masa depannya masih menjadi tanda tanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg