WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengumumkan bahawa beliau akan melanjutkan gencatan senjata dengan Iran tanpa tempoh masa tertentu bagi memberi ruang kepada rundingan damai diteruskan.

Namun, belum jelas sama ada Iran atau Israel akan bersetuju dengan langkah tersebut, sekali gus menimbulkan ketidaktentuan terhadap masa depan konflik yang telah berlarutan hampir dua bulan.

Dalam kenyataan di media sosial, Encik Trump berkata keputusan itu dibuat atas permintaan pengantara dari Pakistan.

“Kami bersetuju untuk menangguhkan serangan ke atas Iran sehingga pemimpin dan wakil mereka dapat mengemukakan cadangan bersama dan rundingan diselesaikan,” katanya.

Dalam temu bual dengan CNBC, Encik Trump menyatakan Amerika berada dalam kedudukan rundingan yang kukuh dan akan memperoleh apa yang disifatkannya sebagai “perjanjian yang hebat”.

Pakistan sebelum ini menjadi tuan rumah rundingan damai di Islamabad dalam usaha menamatkan konflik yang telah meragut ribuan nyawa dan menggoncang ekonomi global.

Namun, kenyataan Encik Trump dilihat sebagai langkah unilateral, dengan Iran menunjukkan reaksi ragu-ragu terhadap pengumuman tersebut.

Agensi berita Tasnim, yang berkait dengan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), menyatakan bahawa Teheran tidak pernah meminta lanjutan gencatan senjata dan menegaskan kesediaan untuk menentang sekatan Amerika secara paksa.

Seorang penasihat kepada Speaker Parlimen Iran, Encik Mohammad Baqer Qalibaf, turut mempersoalkan niat sebenar Washington. “Pengumuman ini tidak membawa makna besar dan mungkin sekadar taktik politik,” katanya.

Walaupun membuka ruang kepada diplomasi, Encik Trump menegaskan bahawa sekatan laut oleh Tentera Laut Amerika terhadap Iran akan diteruskan.

Langkah itu dianggap Iran sebagai satu tindakan perang, terutama kerana ia melibatkan sekatan perdagangan di Selat Hormuz, laluan penting bagi bekalan tenaga dunia.

Iran mengecam tindakan Amerika merampas kapal komersialnya sebagai “lanun di laut” dan “keganasan negara”.

Pendekatan Encik Trump terhadap konflik ini dilihat tidak konsisten, dengan retorik yang berubah antara ancaman ketenteraan dan usaha diplomasi.

Hanya dua minggu lalu, beliau memberi amaran keras bahawa “seluruh tamadun (Iran) akan musnah dalam satu malam”, namun kini mengambil pendekatan lebih berhati-hati.

Pengumuman terbaharu itu juga menyaksikan beliau menarik balik ancaman untuk menyerang prasarana awam Iran seperti loji tenaga dan jambatan, yang sebelum ini dikecam oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Perang yang bermula pada 28 Februari hasil serangan bersama Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran telah mengorbankan lebih 5,000 orang awam serta menyebabkan ratusan ribu kehilangan tempat tinggal, terutama di Iran dan Lebanon.

Penutupan Selat Hormuz turut memberi kesan besar kepada pasaran tenaga global, dengan harga minyak melonjak dan kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi meningkat.

Pasaran kewangan menunjukkan reaksi segera terhadap pengumuman Trump, dengan harga minyak menurun manakala pasaran saham mencatat pemulihan.

Perbincangan damai terus tertumpu kepada program nuklear Iran, khususnya stok uranium yang diperkaya tinggi.

Encik Trump menegaskan bahawa Amerika mahu uranium tersebut dikeluarkan dari Iran bagi menghalang pembangunan senjata nuklear. Iran pula menegaskan program nuklearnya adalah untuk tujuan aman dan merupakan hak kedaulatan negara di bawah perjanjian antarabangsa.

Seorang pegawai Iran berkata rundingan hanya boleh diteruskan jika tekanan dihentikan. “Kami tidak akan berunding di bawah ancaman atau tekanan yang memaksa penyerahan,” katanya.

Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif, dalam kenyataan di media sosial, mengucapkan terima kasih kepada Encik Trump kerana “dengan penuh ihsan menerima permintaannya untuk melanjutkan gencatan senjata bagi membolehkan usaha diplomatik diteruskan”.

“Saya berharap kedua-dua pihak akan terus mematuhi gencatan senjata dan berjaya memuktamadkan satu ‘Perjanjian Damai’ yang komprehensif dalam pusingan kedua rundingan yang dijadual berlangsung di Islamabad bagi menamatkan konflik secara kekal,” tulis Encik Sharif.

Bagaimanapun, tidak jelas bila atau sama ada pusingan kedua rundingan itu akan diadakan. – Agensi berita.